"KAU nak bayar atau aku belasah kau sekarang?"
Kuat suara itu bergema dari luar restoran. Menggamit perhatian semua pengunjung yang sedang menjamu selera. Panjang leher setiap insan yang berada di ruang dalam restoran mengintai apa yang sedang berlaku di luar.
"Samseng betul awek tu!"
Sebaris komen daripada bibir Razi, membuatkan Ikhlas mengangkat wajah daripada memandang telefon di tangan.Saat fokusnya beralih daripada telefon, telinganya sudah menangkap bunyi suara bertelingkah dari kawasan parkir di luar restoran. Suara gadis yang bernada kasar diselangi dengan suara pemuda yang merayu meminta tempoh. Entah apa halnya, dia tidak berminat untuk ambil tahu.
Mata Ikhlas kembali ke skrin telefon, meneruskan pembacaan buku digitalnya yang terhenti sekejap tadi. Sementara menanti pesanan mereka sampai, dia tidak mahu membuang masa begitu sahaja.
Tetapi, kawannya, si Razi sudah bangun dan menarik kerusi. Kaki itu melangkah untuk melihat dengan lebih dekat apa yang sedang terjadi di luar sana. Kepochi tak boleh bawa bincang!
Ikhlas menjeling dengan kerenah Razi."Aku rasa, mamat tu ada hutang dengan dia. Memang mamat tu bakal menyesal seumur hiduplah berhutang dengan awek samseng macam ni. Aku pun kecut perut dengar suara kasar perempuan tu."
Razi dengan semangatnya bercerita sambil memandang wajah Adha. Dia tahu, Ikhlas tidak mungkin akan berminat untuk mendengar topik sebegini. Lihat sajalah, betapa khusyuknya lelaki itu merenung skrin telefon di saat ini."Tapi, sayang... aku tak nampak muka awek tu." Sambung Razi dengan nada kecewa.
"Kenapa nak kena tengok muka?" soal Adha pelik.
"Supaya kita tak terhutang dengan dialah!" Balas Razi yakin. "Aku rasa, dia buat kegiatan ah long ni. Nampak gaya macam gitulah. Serba hitam semuanya." Komen Razi lagi.
Sekilas dia menjeling wajah Ikhlas yang langsung tidak bertanya apa-apa."Kau tak nak tahu ke, Ikhlas?" soalnya sengaja hendak menganggu konsentrasi temannya itu.
"Tahu apa?" soal Ikhlas tanpa nada.
"Tu, pergaduhan dahsyat dekat luar tu!" Ucap Razi hendak menarik perhatian.
"Ada yang maut ke?" soal Ikhlas.
"Maut jasad tu tak adalah. Tapi aku rasa, hati mamat tu memang dah maut dah kena jerkah dengan suara kasar perempuan tu." Komen Razi lagi tidak mahu menoktahkan topik itu.
"Aku tak suka perempuan kasar." Komen Ikhlas pendek.
Razi menyimpul senyum. "Aku tak suruh pun kau masuk meminang dia!" Sambutnya laju hendak mengusik si Ikhlas yang berwajah serius di saat ini.
Adha terus menyambut usikan Razi itu dengan ketawa. Ikhlas menjeling tajam keduanya. Tapi memang tak makan saman dua-dua insan di hadapan Ikhlas ini.Saat itu, makanan yang dipesan sudah sampai ke meja. Sepi terus semuanya dan mereka menikmati hidangan tanpa banyak bicara. Usai mengisi perut dan menyelesaikan bayaran, ketiga-tiga jejaka itu sudah bangun dan melangkah ke pintu gerbang restoran.
Saat Ikhlas, Razi dan Adha melangkah keluar dari restoran, si gadis 'samseng' tadi masih berada di kawasan parkir.
Tubuh itu sudah tersarung jaket hitam dengan kemas. Sepasang mata pula tersembunyi di sebalik ray ban yang terletak elok di atas batang hidung. Saat tubuh bersaiz sederhana itu memanjat superbike Yamaha YZF-R6 berwarna biru gelap di parkir, mulut Razi dan Adha membulat."Awek handsome rupanya. Bawa superbike tuuu." Komen mereka berdua serentak.
"Zaman sekarang ni, normallah perempuan pun bawa superbike. Yang korang berdua ni bagi reaction macam baru keluar dari hutan dah kenapa?" soal Ikhlas menjeling ke arah Razi dan Adha di sisinya.
YOU ARE READING
Awek Handsome (SUDAH TERBIT)
Romance"Kerja yang kau buat ni, cukup sekadar dibuat dengan tegas. Kau tak perlu show off dekat satu dunia yang kau tu kasar macam orang tak bertamadun. Dengan bahasa kesat lagi. Adab mana adab!" - Ikhlas PERTEMUAN pertama yang tidak begitu manis, namun it...