#ktt
“Kau buat apa dekat sini? Puas aku cari kau.” Tegur Ikmal yang baru muncul dari pintu dapur. Tersenyum Iqlima melihat wajah suaminya yang baru bangun tidur.
“Ima ambil angin aje dekat sini.”
Ikmal duduk di sisi Iqlima. Kedua tangannya ditongkat ke belakang.
“Dekat sini juga kau nak ambil angin. Macam tak ada tempat lain kau nak melepak,” sindir Ikmal.
Iqlima menjeling manja. Lengan suaminya dirangkul erat.
“Abang...” Meleret Iqlima memanggil suaminya.
“Ehmmm...”
“Abang agak-agak, anak kita ni lelaki ke perempuan?” Wajah Ikmal ditatap dalam. Ikmal tersenyum lebar.
“Aku tak kisah, janji sihat. Tapi kalau dapat anak perempuan, biarlah jangan cengeng macam kau. Kecil-kecil dah pandai buli orang,” ejek Ikmal.
Tercengang Iqlima mendengarnya.
“Bila pula Ima buli orang? Abang jangan nak fitnah Ima.” Geram juga dia dituduh begitu.
“Kau mana tahu. Masa tu kau kecil lagi. Setiap kali aku makan paha ayam, mesti kau nak berebut. Ni jari aku. Kau pernah gigit. Sakit gila tu. Lagi satu, muka aku pun kau siap tenyeh dengan tahi ayam.”
Tanpa dapat ditahan, Iqlima tergelak lucu. Sakit perutnya menahan rasa senak.
“Ima buat macam tu dekat abang?”
“Diamlah. Kan aku tenyeh pula muka kau dengan tahi ayam tu.” Ugut Ikmal sambil menghala jari telunjuknya ke tanah.
Iqlima masih lagi ketawa. Tak sangka sebelum ini dia pernah senakal Ikmal. Tiba-tiba tawanya mati apabila teringatkan keluarga angkatnya.
“Ima harap, lepas anak kita ni lahir, papa akan maafkan kita.”
Wajah Ikmal berubah tegang. Keluhan kasar terlepas dari bibirnya.
“Tak payahlah berharap. Kalau papa boleh terima, dia takkan tergamak buang aku.”
Tangan suaminya digenggam kemas. Dia tahu, selama ini Ikmal sangat rindukan keluarganya. Semasa Irwan mengajak mereka ke kenduri akikah anak kembar mereka, Ikmal tidak datang kerana tidak mahu terserempak dengan mama dan papa.
“Abang jangan cakap macam tu. Abang bertuah sangat ada mama dan papa. Ima? Hanya ada belas ihsan orang aje untuk dapatkan kasih sayang. Selagi mama dan papa masih hidup, kita sama-sama berdoa semoga mereka boleh terima kita. Anak ni...”
Tangan Ikmal dibawa ke perutnya.
“Insya-Allah, akan jadi lambang kekuatan cinta kita. Ima tak sabar sangat nak tengok wajah anak kita ni.” Teruja Iqlima apabila bercerita tentang anak mereka.
Ikmal tersenyum lebar.
“Aku pun tak sabar nak tengok anak kita ni. Kau masih ada aku. Dan bakal anak kita ni.” Perut isterinya diusap dengan lembut.
Iqlima jatuhkan kepalanya ke bahu Ikmal. Gembira melihat perubahan lelaki ini. Suaminya sekarang sudah mampu dibawa berbincang.
“Berbuka nanti, jangan lupa masak sambal telur itik,” pesan Ikmal dengan tiba-tiba.
Tergelak Iqlima. Kepalanya digeleng perlahan. Sejak pagi tadi lagi Ikmal teringin menjamah sambal telur itik. Hampir seminggu juga Ikmal inginkan lauk yang sama. Nak tak nak, terpaksalah dia tunaikan.
🌹
YOU ARE READING
kau takdir terindahku (Sold Out)
RomanceSpin Off dari kisah Tak Sempurna Tanpamu. kisah Ikmal dan Iqlima preorder sehingga 15/10/2021