PROLOG

688 42 1
                                    

KAFE berdekatan dengan apartmen yang baharu sahaja aku duduki menjadi tujuan. Tak sampai lima minit sudah sampai. Aku masih tidak tahu-menahu tentang lokasi atau geografi di kawasan ini, tetapi aku lihat kafe ini tular di feed Instagram aku. Kebetulan dekat sahaja, jadi aku memutuskan untuk ke sini, meluangkan masa sendiri sebelum aku mula bekerja pada esok hari.

Setelah memesan americano coffee dan juga sepotong kek keju oreo, aku mengambil tempat duduk yang agak tersembunyi sedikit. Sementara menunggu kopiku siap dibancuh, aku membuang pandang ke luar tingkap.

Kafe ini dihias dengan dinding kaca, jadi dapat aku lihat keindahan di luar sana yang berlatarbelakangkan gunung-ganang yang menghijau. Disebabkan lokasinya yang berada di atas bukit, pemandangan alam semula jadi sangat mengasyikkan dan menyejukkan mata sesiapa sahaja yang memandang.

Dalam asyik mengelamun, nomborku dipanggil. Kebiasaannya, pelayan akan menghantar pesanan ke meja pelanggan. Namun, di kafe ini ternyata berbeza. Pelanggan perlu mengambil makanan dan minuman yang dipesan sendiri di kaunter. Kata orang, kafe layan diri.

Sambil menatang dulang, aku berjalan ke arah meja yang aku duduki sebentar tadi. Di hadapanku ada satu susuk tubuh lelaki yang sangat tegap dan maskulin. Dalam tak sedar, aku sempat mencuci mata melihat dirinya.

Dari belakang pun dah nampak kacak dan berkarisma. Kalau depan-depan, lagilah.

Tidak semena-mena, lelaki itu memberhentikan langkahnya secara tiba-tiba dan aku tak sempat membrek. Akibatnya...

Prang!

Dulang yang aku tatang terjatuh ke atas lantai. Habis kopiku tersimbah ke belakang badannya. Itulah padahnya kerana terlalu asyik merenung anak teruna orang.

Basah kuyup baju kemeja putih yang dipakainya. Bertompok-tompok dek kerana kopi hitam pekat yang tertumpah atas bajunya. Nampak seperti baju berjenama dan mahal. Mujurlah aku meminta kopi sejuk. Jika tidak, pasti melecur badan lelaki di hadapanku ini.

Bibir bawahku gigit. Lelaki itu berpaling ke belakang dan wajahnya agak berang. Cermin mata hitam yang tersangkut kemas dipangkal hidung langsung tidak ditanggalkan. Jadi, aku tidak dapat mengecam wajahnya.

"Excuse me?" Suara garau lelaki itu menerjah gegendang telingaku.

"I am so sorry, sir." Berkali-kali aku menundukkan badan tanda meminta maaf kerana sedar akan kealpaan diriku sendiri.

"Habis baju aku." Wajah ditolehkan sedikit ke belakang untuk melihat bajunya yang basah kerana kopi yang aku tak sengaja tumpahkan.

"Saya minta maaf." Wajahku serta-merta merah. Orang di sekeliling mula memandang-mandang ke arah kami. Seorang pekerja merapati kami lalu membersihkan sisa makanan dan minuman yang tertumpah di atas lantai. Sungguh, aku berasa amat malu saat ini.

"Lain kali, mata tu pandang ke hadapan sewaktu berjalan. Jangan menonong je." Keras nadanya memberi amaran. Di sebalik kaca mata hitamnya, aku tahu dia sedang merenung tajam bagai hendak ditelan aku hidup-hidup.

"Saya tak sengaja. Saya minta maaf sekali lagi." Termasuk kali ini, sudah beberapa kali perkataan maaf aku sebut.

"Ugh, whatever!" dengusnya kasar. Tanpa pamit, terus dia berlalu pergi dari situ. Langsung tidak mempedulikan aku.

Eh, sombong betul mamat ni! Orang minta maaf, dia boleh buat tak tahu saja. Aku tahulah salah aku, tapi sekurang-kurangnya senyumlah sikit. Hatiku mendongkol geram.

Suasana kafe yang sepi bertukar menjadi hingar-bingar dengan suara orang menjerit. Perhatian penghuni kafe itu kini tertumpu pada seorang ibu yang sedang menjerit memanggil-manggil nama anaknya yang kelihatan seperti tidak cukup nafas.

"Nana! Nana!" Wanita itu kelihatan sangat panik.

Aku segera merapati mereka, tetapi lelaki yang kulanggar sebentar tadi lebih tangkas. Dia terlebih dahulu tiba ke meja makan yang menempatkan wanita dan anaknya itu.

"Puan, dia tercekik ni," ujar lelaki itu.

"Saya doktor." Sempat lelaki itu perkenalkan dirinya sebelum dia bertindak untuk berdiri di belakang kanak-kanak yang kukira berusia sepuluh tahun itu. Lantas dia memeluk kanak-kanak itu dari arah belakang dan melakukan Heimlich Manouvre iaitu tekanan di bawah diafragma sehinggalah makanan dari esofagus kanak-kanak itu terkeluar.

"Adik okey?" soal lelaki itu. Kanak-kanak itu terbatuk-batuk. Sesaat dia mengangguk lemah.

Aku yang melihat kejadian itu turut berasa lega dengan tindakan pantas lelaki itu.

"Terima kasih, Dr."

"Terima kasih." Berkali-kali ibu kanak-kanak itu mengucapkan terima kasih kepada lelaki yang kulanggar sebentar tadi merangkap seorang doktor yang telah menyelamatkan nyawa anaknya.

"Sama-sama, puan. Dah memang tugas saya sebagai seorang doktor untuk selamatkan orang," kata lelaki itu.

Setelah itu, doktor itu terus berlalu pergi dari situ. Dalam diam, aku kagum dengan tindakannya sangat cepat.

DR. ISAAC LUTH (TERBIT: EBOOK)Where stories live. Discover now