"HEI, intern."
Sedar bahawa diriku dipanggil, aku mendekati medical officer lelaki yang sedang berdiri di sebelah katil pesakit. Medical officer merupakan doktor senior yang juga dipanggil sebagai MO. Keadaan di emergency department tidaklah setenang department yang lain. Dalam sehari sahaja, berpuluh-puluh malah beratus-ratus pesakit yang diterima.
"Intubate pesakit ni." Arahan jelas daripadanya membuatkan aku meneguk air liur. Terasa begitu payah sekali.
"Tapi saya..."
"Saya apa?" tengkingnya di hadapan pesakit dan jururawat yang lain. Pesakit itu tidak sedarkan diri kerana dia berada dalam keadaan shock.
Aku tidak menjawab pertanyaannya. Tiub plastik yang dihulur oleh jururawat aku sambut lambat-lambat.
Dengan kekuatan yang ada, aku cuba melakukan arahan yang disuruh olehnya. Sudahlah aku tak pernah buat benda ini.
Setelah beberapa ketika, aku masih gagal untuk memasukkan tiub tersebut ke dalam kerongkong pesakit. Terketar-ketar tanganku sewaktu melakukan prosedur tersebut.
"Ke tepi." Lelaki itu menolakku ke tepi lalu mengambil tiub plastik yang berada di tanganku.
"Baik tak payah jadi doktor kalau prosedur senang macam ini pun tak boleh buat. Berhenti housemanship dan tanam saja anggur di rumah," perlinya namun tangannya tangkas melakukan intubation pada pesakit itu.
"Keluar dari bilik ni." Dia menghalauku dengan kasar.
Dan kakiku melangkah keluar dari bilik tersebut dengan sumpah seranah yang berbakul-bakul di dada.
HARUMAN kopi panas mencucuk segenap deria rasaku, memberikan ketenangan kepada jiwa. Aku suka kopi. Lagi-lagi kopi hitam pekat tanpa tambahan gula. Semakin pahit, semakin membuatkan aku ketagih. Setelah membancuh kopi, langkahku dibawa ke kerusi yang disediakan khas di pantri itu. Ruangnya kecil sahaja, cukup untuk memuatkan lima orang dewasa dalam suatu masa.
Baru seminggu aku berada di hospital yang terletak nun jauh di pedalaman negeri Sabah. Aku masih cuba untuk menyesuaikan diri dengan keadaan hidup yang serba kekurangan di sini, jauh berbeza dengan kehidupan di Bangi, Selangor.
Hospitalnya kecil sahaja, tidaklah sebesar Hospital Kuala Lumpur atau hospital-hospital lain. Tetapi pesakit yang diterima dalam masa sehari banyak jumlahnya.
Pada mulanya, aku tidak mahu langsung menjejakkan kaki ke sini. Namun, mengenangkan impian kedua ibu bapaku yang ingin melihat anak mereka berjaya sebagai seorang doktor, aku gagahkan diri. Mungkin aku perlu menghabiskan masa beberapa tahun di sini sebelum dipindahkan ke hospital di Semenanjung Malaysia.
Memikirkan apa yang berlaku sebentar tadi, hatiku kembali panas. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku menjawab dan membidas kata-katanya. Namun memandangkan aku baru sahaja seminggu di sini, jadi aku memilih untuk tidak timbulkan sebarang masalah.
Boleh dia tengking aku depan semua orang? Dia boleh je cakap elok-elok, tak perlu sampai tengking dan malukan aku sampai macam itu sekali.
"Dr Aina?" Suara seseorang menyentakkan lamunanku.
Aku memandangnya tidak berkelip. Jururawat muda itu mendekati aku lalu mengambil tempat bersebelahan denganku. Aku masih belum mengenali kesemua staf di hospital ini.
"Dr Aina, kan?" tanyanya meminta kepastian lantas disambut dengan anggukan olehku.
"Saya Najwa. Jururawat di sini." Dia memperkenalkan diri. Berdasarkan raut wajahnya, kukira tidak jauh umurnya daripadaku, barangkali sebaya atau paling tidak pun hanya berbeza setahun dua.
"Lama dah ke kerja sini? Saya baru seminggu di sini," tanyaku, cuba beramah mesra dengan jururawat itu.
"Tak lama, dalam lima tahun," balasnya bersahaja.
"Orang Semenanjung juga?" soalku kerana langsung tiada loghat Sabah dalam percakapannya.
Dia menjawab pertanyaanku dengan anggukan.
"Dr Aina, okey?" soalnya prihatin, barangkali kerana melihat air mukaku yang keruh.
Bibirku mengukir senyum tipis dan memilih untuk tidak menjawab pertanyaannya. Mestilah aku tidak okey setelah dimarahi dan ditengking sedemikian rupa. Orang yang tiada hati dan perasaan sahaja kut yang boleh tahan dengan MO yang berperangai seperti bapa singa macam dia.
"Dr Isaac memang sifat dia macam itu. Tapi dia baik hati orangnya. Dr Aina janganlah ambil hati," pujuknya. Kukira dia memaksudkan MO yang memarahiku sebentar tadi kerana dia juga turut berada di situ.
"Panggil saya Aina je. Tak perlu panggil Dr." Aku menegahnya. Seperti ada jurang pula antara aku dengan dia jika dia memanggilku sebegitu.
"Dr Isaac?" soalku. Tidak tahu pula aku namanya. Lagipun hari ini merupakan kali pertama aku bersua muka dengan lelaki itu.
"Ya, Dr Isaac Luth. Berasal dari Kuala Lumpur dan berumur 28 tahun." Amboi, semua benda si Najwa ni tahu. Dia ada apa-apa ke dengan Dr Isaac tu?
"Oh, dia layan semua orang macam itu ke?" soalku bersahaja. Lelaki itu tua beberapa tahun daripadaku.
"Selalunya dengan orang yang dia baru kenal, dia akan tunjuk sifat garang dia itu. Tapi bila dah lama kenal, dia okey je. Dia seorang doktor yang sempoi sebenarnya." Dia menjawab pertanyaanku. Seperti sukar untuk kupercaya kata-katanya.
"Tapi tak patut dia tengking orang lain macam itu. Boleh sahaja dia tegur elok-elok. MO lain okey sahaja," luahku tidak puas hati.
Sebelum ini, aku ada juga mendengar cerita dari senior-seniorku bahawa ada MO yang akan layan HO (House Officer) dengan teruk. Ada yang dibuli dan dilayan umpama kuli sehingga ada yang pilih untuk berhenti kerana tidak tahan dengan persekitaran kerja yang sedemikian rupa.
"Sabar ya, Aina. Insya-Allah lama-lama nanti dia okeylah tu," pujuknya.
Serba sedikit perasaan geram yang berbakul di dada surut. Sudahlah aku tiada sesiapa di sini untuk kuluah segala yang aku rasa. Hanya mengharapkan rakan-rakan yang duduk jauh di Semenanjung untuk aku hamburkan segalanya. Itu pun kena tunggu masing-masing cuti. Maklumlah, apabila dah masuk alam pekerjaan, nak tunggu masing-masing ada masa lapang pun sangat susah.
"Terima kasih, Najwa." Senyuman terukir di bibirku. Seketika, telefon bimbitku berbunyi menandakan ada panggilan masuk.
Panggilan dari wad kecemasan itu kuangkat segera. "Hello."
"Dr Aina, semua HO diminta berkumpul di sini sekarang." Suara di hujung talian menyampaikan pesan.
"Baik, saya datang sekarang juga," ujarku lantas memutuskan panggilan telefon.
"Najwa, saya pergi dulu, ya." Lalu langkah segera diatur ke wad kecemasan.
Aku melangkah dengan tergesa-gesa dan tanpa sedar aku terlanggar seseorang. Habis berterabur fail di tangannya.
"Saya minta maaf." Tindakan spontan, aku terus menunduk lalu mengutip fail-fail yang berterabur di lantai.
Saat aku menghulurkan fail tersebut, huluranku tidak bersambut. Muka kuangkat sedikit untuk melihat wajahnya. Perutku serta-merta kecut dan air liur ditelan kesat.
"Mata tu letak dekat mana?" Suaranya meninggi selepas berkali-kali aku meminta maaf kepadanya.
"Saya nak cepat tadi," terangku.
"Lain kali, mata tu pandang ke hadapan sewaktu berjalan. Jangan menonong je." Seperti kukenal ayat ini, tetapi tidak mungkinlah mereka orang yang sama.
"Kalau yang awak langgar tadi ialah pesakit, macam mana? Kalau jadi apa-apa pada dia, awak nak tanggung ke?" Dia memarahiku tanpa belas kasihan.
"Saya tak sengaja. Saya betul-betul minta maaf." Kepalaku tunduk sambil menekur lantai. Tidak berani memandang wajahnya yang sedang menyinga itu.
"Kalau rasa kerja cuma nak main-main, baik berhenti saja." Terselit ketegasan dalam nada suaranya. Lantas dia menyambut huluran fail aku sebentar tadi dan berlalu pergi tanpa sebarang kata.
Aku hanya membisu. Menerima salahku. Apalah malang sangat nasibku kena marah dengan lelaki itu dua kali dalam masa satu hari. Sudahlah banyak mata yang melihat dan telinga yang mendengar.
YOU ARE READING
DR. ISAAC LUTH (TERBIT: EBOOK)
RomanceDisebabkan terlalu kecewa dengan bakal tunangnya yang bertindak untuk memutuskan hubungan meraka yang telah terjalin selama lima tahun lamanya, Aina telah menutup pintu hati serapat-rapatnya untuk semua lelaki. "Blah dari hidup saya. Saya bukan lela...