SEPATUTNYA shift kerjaku berakhir pada jam 5 petang tetapi aku perlu on call pada hari ini sehingga jam 8 pagi pada hari esok.
Malang lagi nasibku apabila MO yang bertugas pada malam ini ialah Dr Isaac. Dialah satu-satunya manusia yang aku paling tidak mahu ketemu langsung. Sepanjang aku berada di sini, dia tak sudah-sudah memarahiku. Ada sahaja yang tidak kena di matanya. Sudahnya, aku ditengking sesuka hati.
Setiap kali berada dekat dengannya, kesabaranku menjadi senipis kulit bawang. Berbagai-bagai sumpah seranah terdetik dalam hati. Kalau diikutkan, mahu sahaja aku lumur mulutnya dengan cili. Baru dia tahu hendak cakap elok-elok. Geram sungguh dengan orang yang tak reti beradab sopan dalam berkata-kata.
"Intern, sini." Dr Isaac mengarahku supaya mendekatinya di hujung katil seorang pesakit wanita.
"Aina. Nama saya Aina Qistina." Aku membetulkannya. Suka hati dia sahaja memanggil aku 'intern' sejak kali pertama aku bertemu dengannya. Tahulah aku berpangkat doktor pelatih sahaja, tapi aku ada nama.
"Menjawab. Sekarang ni I nak tanya you, you yang review pesakit ni pagi tadi, kan?" tanyanya dengan tegas. Wajahnya serius memandangku tanpa lepas.
"Ya, saya Dr," jawabku perlahan.
"Kenapa documentation pesakit ini tak lengkap?" soalnya dengan nada yang tinggi.
Aku memberanikan diri untuk bertentang mata dengannya untuk kali pertama. Selama ini, aku hanya akan tunduk apabila dimarahi.
Terpana aku untuk seketika. Wajah lelaki di hadapanku ini sangat kacak. Barangkali ada kacukan Cina kerana dia mempunyai sepasang mata yang sepet dan kulitnya yang cerah.
"Hei, you termenung apa?" Dia memetik jarinya di hadapanku, menyentakkan aku daripada lamunan.
"Apa dia, Dr?" Terus aku lupa apa yang ditanya olehnya sebentar tadi.
"Patutlah documentation pesakit ni tak lengkap. Kerja you berangan dan termenung je. Kalau macam inilah sikap you, baik tak payah jadi doktor. Bazir duit kerajaan je gajikan doktor macam you." Dia memerliku dengan suara yang kuat sehingga menarik perhatian orang sekeliling kami.
Mukaku serta-merta bertukar merah. Aku memandangnya dengan pandangan geram dan marah. Aku tarik balik segala kata-kata pujianku sebentar tadi.
"Dr Isaac ada apa-apa tak puas hati dengan saya ke?" Aku mengetap bibir geram. Walaupun aku tahu memang salah aku tapi cara dia menegurku juga salah.
"Kalau you tak buat salah, I tak akan bising macam ini. Jadi, tolonglah jadi lebih alert selepas ini. You berurusan dengan pesakit. Kalau you buat kesilapan walaupun nampak kecil, silap-silap nyawa pesakit boleh melayang. You sedar tak benda tu?" Tangannya dicekak ke pinggang dan matanya merenung tepat ke dalam mataku dengan wajah yang begitu serius.
"Kalau you jenis yang tak boleh terima teguran, resign je." Sinis.
Aku menarik nafas panjang untuk meredakan kemarahan yang kian memuncak sebelum berkata, "Saya minta maaf, Dr. Saya tak akan ulangi kesilapan kecil seperti ini lagi."
"Kalau jadi apa-apa pada pesakit sebab kesilapan yang you buat, perkataan maaf itu tak ada guna tahu tak," sambungnya lagi.
Akhirnya, aku hanya mendiamkan diri lalu mengikut dia melakukan ward round dengan perasaan yang berkecamuk. Minta maaf, salah. Tak minta maaf pun salah.
Doaku di dalam hati semoga aku dapat bersabar dengannya sehingga esok pagi. Harap muka je kacak, tapi macam bapa singa!
Menyampah.
"DOKTOR!"
"Kenapa?" soal doktor pakar kecemasan yang bertugas, Dr Khairul. Beliau menghampiri jururawat bertugas yang berada di sebelah katil pesakit.
"Tiada nadi dan jantungnya terhenti," ujar jururawat bertugas. Pesakit berada dalam keadaan cardiac arrest.
"Puan."
"Puan." Dr Khairul memanggil-manggil pesakit tersebut sambil menepuk bahunya, namun tiada respons.
"Dah berapa lama?"
"Satu minit."
"Dr Aina, buat CPR." Dr Khairul memberikan arahan.
Aku melakukan CPR iaitu Cardio-Pulmonary Resuscitation pada pesakit. Kedua-dua tangan diletakkan di atas dadanya lalu membuat compression pada sternum pesakit.
"Saya perlukan defibrilator dan tiub intubasi," kata Dr Khairul dan aku masih meneruskan CPR.
"Satu ampoule epinephrine setiap tiga minit," sambungnya lagi.
"Baik," sahut jururawat bertugas lalu dia bergegas mengambil segala peralatan dan ubat yang disebutkan oleh doktor pakar itu.
"Kenapa ni?" Suara seseorang yang sangat dikenali tiba-tiba muncul.
"Pesakit demam dan jantungnya terhenti." Berkemungkinan pesakit mengalami myocarditis. Diagnosis lanjut perlu dilakukan untuk mengesahkan keadaan pesakit.
"Intubation."
Setelah beberapa minit melakukan CPR, aku semakin kepenatan dan compression yang dilakukan semakin perlahan.
"Intern, ke tepi."
Aku tidak berganjak.
"Aina, saya sambung." Pertama kali Dr Isaac yang paling aku benci kehadirannya menyebut namaku, lalu dia menolak badanku ke tepi dan mengambil alih tempatku untuk membuat CPR pada pesakit.
Aku sedikit tercungap-cungap menyedut oksigen seberapa banyak yang boleh. Peluh tipis yang merenik di dahi kukesat.
"I am going to defibrillate this patient," ujar Dr Isaac.
"It is ventricular fibrillation. Charge 200 joules."
"Step away." Dan semua yang berada di situ menjauhi katil pesakit.
"Clear." Dada pesakit ternaik sedikit apabila alat yang dilekapkan ke dadanya diangkat ke atas.
Dia kembali melakukan compression pada pesakit.
"Periksa rentak jantung pesakit," arahnya. Namun, tiada tanda yang jantung pesakit berdegup.
"Charge 200 joules."
"Step away."
"Clear."
"Saya akan periksa rentak jantung pesakit." Lalu dia meletakkan jari telunjuk dan jari hantunya yang dirapatkan di bahagian leher pesakit.
"ROSC." Return of spontaneous circulation di mana nadi pesakit telah kembali dan semua yang berada di situ menarik nafas lega.
"Pantau pesakit ini dengan rapi," arah Dr Isaac kepada jururawat bertugas.
"Baik, Dr."
Dr Khairul menepuk-nepuk bahu Dr Isaac lalu mereka bertukar senyuman. Mereka berjaya menyelamatkan satu nyawa.
"Aina, dah pukul 1.00 tengah hari. Pergi lunch," kata Dr Khairul kepadaku. Lebih kepada arahan.
"Baik, Dr." Aku menundukkan kepalaku sedikit tanda hormat kepadanya sebelum dia berlalu pergi. Seorang doktor pakar yang sangat baik hati dan berbudi bahasa, berbeza sungguh dengan bapa singa yang berada di hadapanku sekarang.
Aku turut melangkah pergi dari situ tapi tak sampai beberapa saat...
"Intern."
Lalu aku memusingkan badanku menghadapnya. Apa lagi si bapa singa ini mahu?
"Malam ini saya MO yang bertugas. Jumpa nanti." Matanya memandang tepat ke arahku sambil dia memberikan senyuman sinis.
Dan bumi seakan-akan berhenti berputar saat itu. Aduhai, entah apalah nasib aku malam ini. Malang sungguh apabila aku terpaksa melakukan on call bersama-sama dengan MO yang aku paling tidak gemari.
Sabarlah, Aina.
YOU ARE READING
DR. ISAAC LUTH (TERBIT: EBOOK)
RomanceDisebabkan terlalu kecewa dengan bakal tunangnya yang bertindak untuk memutuskan hubungan meraka yang telah terjalin selama lima tahun lamanya, Aina telah menutup pintu hati serapat-rapatnya untuk semua lelaki. "Blah dari hidup saya. Saya bukan lela...