Bab 5

20 2 0
                                    

"Kurang ajar kau, Fijal!" Ayah Azhar melepaskan penumbuk. Semua penduduk kampung tergamam dengan cerita Fijal itu. Haji Murad mengucap panjang manakala Mek Biah hanya mampu menangis atas sifat binatang yang ada dalam diri anaknya itu.

Hardi mula membuat perkiraan di dalam kepalanya. "Sekarang ni, kita dah tau apa yang langsuir tu mahukan. Kita kena cari Yot sekarang!" suara Hardi menghentikan amarah Ayah Azhar itu.

"Kita nak buat apa dengan Fijal ni, Tok?" tanya salah seorang penduduk kampung.

"Beginilah, Pak Jan, Mek Biah dengan beberapa orang yang ada di sini pergilah ke balai polis dan laporkan kes ni, bawalah si Fijal ni sekali. Tok dengan Hardi pula akan ke rumah Tok untuk dapatkan Yot." Minta Haji Murad. Ayah Azhar sekadar mengangguk lalu bergerak ke rumahnya untuk mendapatkan kereta.

......

Yot yang kini berada di dalam biliknya dilihat mengambil pakaian yang berada di dalam almarinya kemudian dicampaknya ke dalam beg yang tersedia di atas katil. Mukanya disaluti peluh akibat keresahan yang melanda jiwanya apabila ayahnya memberitahu Fijal sedang luka parah diserang langsuir. Yot tahu dia akan menjadi mangsa seterusnya makhluk tersebut.

Tiba-tiba pintu rumahnya diketuk kuat sehingga mengejutkan dia daripada leka mengemaskan beg untuk melarikan diri. Dia terus bergegas ke ruang tamu untuk melihat gerangan yang mengetuk pintu rumah.

"Siapa tu?" tiada jawapan yang diterima Yot. Dia memberanikan diri untuk membuka pintu namun tiada sesiapa yang berada di hadapan rumahnya itu. Yot mula takut dan menutup kembali pintu. Sebaik sahaja dia menoleh ke belakang, tersergamlah satu lembaga yang kini berada di hadapannya. Satu lembaga yang amat ditakutinya iaitu Suri yang kini dikenali sebagai langsuir.

"Sial kau syaitan, jangan ganggu aku! Aku tak takut pada kau!" pekik Yot namun berbeza dengan degupan jantungnya yang semakin laju.

"Aku akan balas apa yang kau telah lakukan pada aku dan anak aku! Hutang nyawa dibalas nyawa!" balas Suri dalam suara yang halus tapi cukup mendirikan bulu roma sesiapa sahaja yang mendengarnya.

Yot terus berundur apabila Suri menghampirinya secara perlahan-lahan namun terhenti apabila dia tersandar di pintu rumahnya itu. Yot hanya mampu menjerit meminta tolong sambil menghayunkan tangannya ke kiri dan ke kanan.

Hardi yang kini sudah berada di hadapan pintu rumah Haji Murad mengetuk pintu berulang kali namun masih tiada jawapan. Dia tidak mendengar suara Yot meminta tolong malah Haji Murad juga tidak mendengar rintihan anaknya yang kini sedang bergelut dengan gangguan langsuir. Hardi memerhati sekeliling dan sedar ada perkara yang tidak kena kerana telinganya berdesing namun tidak terlalu kuat. Hal ini sama ada makhluk itu berada pada jarak yang jauh atau menyembunyikan dirinya.

Hardi berundur setapak dan meminta Haji Murad berdiri di belakangnya lalu melaungkan azan sekuat-kuatnya. Pintu rumah Haji Murad bergegar dengan kuat, begitu juga seluruh tingkap yang tadinya sunyi tetapi kini bergegar umpama gempa bumi sedang melanda perkarangan rumahnya. Sebaik habis sahaja laungan azan oleh Hardi, pintu rumah terbuka dan Yot jatuh ke luar rumah. Haji Murad yang menyorok di belakang Hardi terus menyambut anaknya tetapi malangnya Yot sudah tidak bernyawa.

Hardi terus berlari ke dalam rumah dan melihat langsuir yang sedang memegang satu objek yang diselaputi darah yang banyak sehingga menitik membentuk lopak darah di lantai rumah. Hardi mengecam objek itu, itu jantung Yot.

"Hoi syaitan yang dilaknat, pergi jauh kau dari sini" pekik Hardi kepada langsuir itu namun makhluk itu hanya sekadar ketawa mengilai sebelum dituruti oleh jawapan "Mereka telah merampas segalanya, kini giliran aku membalas akan perbuatan mereka"

Hardi tidak menunggu lama lalu mencampakkan sepaket serbuk lada hitam ke arah makhluk tersebut sehingga membakar sebahagian kainnya. Langsuir itu terus bergerak laju ke arah Hardi lalu mencekik dirinya. Hardi bergelut dengan kekuatan langsuir itu yang kuat. Tumbukan yang kuat diberikan Hardi namun tidak memberikan kesan.

Hardi semakin bengang lalu menghadiahkan satu lagi tumbukan namun kali ini disertakan laungan "Allahhu Akbar." Langsuir itu berganjak ke belakang dalam keadaan yang kesakitan. Hardi lantas mengambil dua paket garam dan mencampaknya tinggi ke udara. Garam itu bertebaran lalu membentuk bulatan apabila ia mencecah ke lantai mengelilingi lamgsuir tersebut.

Langsuir itu bersiap untuk terbang melarikan diri namun gagal seolah-olah kuasa yang ada pada dirinya disekat sesuatu.

"Aku dah pagar diri kau dalam bulatan tu. Sekarang pergilah kau ke alam yang sepatutnya. Urusan kau di alam manusia sudah lama tamat sejak kau meninggal dunia." Jawab Hardi

"Aku tidak akan pergi selagi manusia yang merosakkan aku tidak mati." Langsuir itu membentak dengan perasaan yang marah.

"Mereka akan menerima hukuman mereka di dunia dan di akhirat, tuhan yang akan menghitung dosa-dosa mereka, bukan kau." Sekali lagi Hardi membalas. Hardi menggengam tangannya lalu terkumat-kamit membacakan ayat al-Quran. Setelah selesai membacanya, tanggannya dituju ke arah langsuir tersebut.

Langsuir itu menjerit kesakitan seolah-olah sedang dibakar api yang tidak kelihatan oleh mata kasar manusia. Rintihan makhluk itu semakin lama semakin sayup kedengaran sehinggalah langsuir itu hilang.

Hardi mengucap syukur lalu bergerak ke luar rumah untuk melihat keadaan Haji Murad. Haji Murad sekadar menangis meratapi pemergian anaknya dalam keadaan yang jahil dan tidak sempat bertaubat.

......

Keesokan paginya, Hardi kembali mengemas begnya untuk bergerak balik ke Kota Kalam. Fijal kini dalam tahanan polis dan sedang menunggu perbicaraan mahkamah. Jenazah Yot pula telah selamat dikebumikan selepas subuh tadi. Haji Murad, ayah Azhar dan Mek Biah pula menjadi saksi polis untuk kejahatan lima pemuda tersebut. Polis dan penduduk kampung berkumpul di dewan Kampung Teritib dan dalam persediaan untuk menggali semula kubur yang tidak bernisan Suri itu. Hardi tidak mahu terlibat dan meminta orang kampung supaya tidak menyebut namanya kepada pihak polis kerana tugas penjejak adalah rahsia daripada kerajaan.

Proton Wiranya memecut laju meninggalkan Kampung Teritib dan kisah langsuir mereka yang terkandung kesedihan dan penderitaan wanita yang teraniaya dan nafsu rakus manusia tanpa pedoman. Dia akan pulang semula ke Kota Kalam dan bersiap sedia menghadapi kisah seterusnya sebagai seorang penjejak. Sempat dia menjeling bungkusan paku yang tidak digunakan dia untuk menghadapi makhluk itu, "Aku lupa aku ada beli paku eh, tak patut." Gelengnya bersendirian.

KorbanWhere stories live. Discover now