Boss Tolong Jaga Saya - Bab 2

44 4 0
                                    

MISHA menguap kecil sebelum membuka pintu dengan berhati-hati. Dia tidak mahu isi rumah itu mendengar kepulangannya. Sudahlah malam tadi diam-diam dia keluar tanpa memberitahu. Kecuali...

"Hah, macam inilah perangai seorang isteri ya? Keluar malam, pagi baru balik!" Hilang serta-merta kantuk Misha tadi apabila disergah begitu.

Dihelakan nafas sebelum memasukkan kunci ke dalam tas tangannya.

"Sha pergi kerja, mak..." Lemah Misha membalas sebelum melangkah masuk.

"Kerja? Kerja apa sampai ke pagi baru balik? Entah-entah kamu curang dengan anak aku!" Tuduhan yang tidak berasas keluar daripada bibir ibu mentuanya itu.

Panas terus hati Misha jadinya. Dia penat-penat bekerja untuk menyara seisi rumah itu, dituduh curang pula!

"Saya bekerja, mak! Rumah, bil-bil, makan minum ni semua perlukan duit. Mak fikir saya ada masa ke nak curang bila semua beban atas bahu saya?" Nada Misha meninggi. Dia sudah penat menahan semuanya.

"Mak, Misha, apa bising-bising ni?" Suara seorang lelaki muncul menegur mereka.

"Bini kamu ni hah. Kurang ajar dengan mak. Mak cuma tanya aje kenapa pagi ni baru dia balik." Bernanah telinga Misha mendengar aduan ibu mentuanya itu.

Misha berpaling kepada lelaki yang sedang menguap kecil sambil menggaru pipi itu. Makin panas hati dia jadinya.

"Awak tak beritahu mak awak ke saya kena temankan bos saya yang sakit malam tadi?" Misha mencerun suaminya itu.

"Ya ke bos sakit?" Sinis lagi ibu mentuanya memerli.

"Sha ada beritahu Jeff dia kena teman bos dia tu. Tak ada apalah mak. Jangan fikir bukan-bukanlah." Jeffri, suami Misha sambung menguap dan masuk ke dalam bilik semula.

Misha mengekori lelaki itu dari belakang.

"Hei! Sarapannya tak beli ke?" laung ibu mentuanya itu sebelum dia menutup pintu bilik.

Berbulu mata Misha apabila melihat sang suami menyambung tidur seperti tak ada apa yang berlaku. Seperti hinaan si ibu kepada isterinya tidak terkesan langsung di hati.

Misha mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik air yang terletak di dalam bilik mereka itu. Bersandar ke pintu, badan Misha melorot ke bawah. Sakit hatinya membuatkan dada Misha sesak dan berat. Air matanya gugur satu per satu hingga tersedu-sedan.

'Kenapa Misha? Kenapa kau masih bertahan dengan lelaki seperti Jeffri?' Kerana sebuah pengharapan... berharap yang Jeffri akan berubah menjadi suami yang seperti diidaminya. Berharap yang rumah tangga mereka akan normal seperti orang lain. Apakah ia Cuma impiannya saja?


KELUAR DARIPADA bilik air, dengkuran Jeffri kedengaran kuat. Misha melepaskan keluhan sebelum mengenakan pakaian.

"Jeff... Jeff..." Misha mencuit bahu Jeffri.

"Apa?" Bahu Jeffri bergerak tanda tidak mahu diganggu.

"Awak kata nak cari kerja hari ni," Misha mengingatkan Jeffri.

"Esoklah... mengantuk ni." Jeffri mengambil bantal dan menutup mukanya.

"Janganlah macam ni, Jeff. Awak asyik janji aje, tapi tak pernah pun tunaikan. Saya dah tak mampu nak tolong awak sara keluarga awak." Misha tak kira. Dia sudah terlalu penat. Sama ada Jeffri cari kerja dan menafkahi keluarganya atau Misha terpaksa ambil kata putusnya sendiri.

Sekarang ini, dia masih cuba bertoleransi. Kerana apa? Kerana masih ada sekelumit sayang buat lelaki itu. Lelaki yang pernah berjanji mahu menjaganya dengan sepenuh hati sebelum mereka bernikah. Malangnya, janji Jeffri Cuma tinggal janji.

Jeffri masih dengan dengkurannya.

Akhirnya Misha menepuk kuat bahu lelaki itu.

"Hoi! Apa ni? Aku nak tidurlah. Kau tahu tak aku tak tidur malam tadi? Bodohlah kau ni!" Jeffri bangkit bertempik apabila lenanya diganggu.

"Awak fikir tidur awak aje. Tidur saya awak ada fikir?" Misha membalas sebal. Jeffri memang pentingkan dirinya saja. Dia yang bersengkang mata mencari rezeki, Jeffri pula yang melebih-lebih penatnya. Padahal haram satu kerja rumah pun tak dibuatnya. Semua pun Misha juga yang lakukan.

Bibir Jeffri terjongket sinis di hujung.

"Bukan kau suka kerja ke?"

Membesar anak mata Misha.

"Apa maksud awak?"

Jeffri bangkit dan meregangkan badan. Hilang rasa mengantuknya tadi.

"Aku tak kisah pun kau nak kerja sampai tak balik rumah, yang penting kau selesaikan hal dalam rumah dulu. Sakit telinga tahu tak dengar mak aku membebel kompelin pasal kau." Jeffri tunjukkan telinganya. Dia rimas dengan bebelan si emak.

"Habis, apa guna ada awak? Awaklah buat kerja rumah. Saya penat, tahu tak!" Misha membentak.

"Wah! Kau ni akhir-akhir ni makin tak hormat aku nampaknya. Aku ni suami kau, kau ingat tak?" Jeffri mencerun memandang isterinya sambil bercekak pinggang.

Misha yang duduk di birai katil sebentar tadi, bangkit berdiri menghadap Jeffri.

"Awak ingat rupanya yang awak tu suami saya. Kalau betul awak suami saya, jalankan tanggungjawab awak, Jeff! Pergi keluar cari kerja. Bagi keluarga awak makan!" Misha menuding jari ke arah pintu. Sabarnya sudah separas hidung. Selagi dia tak lafazkan apa yang terbuku di hati, selagi itu dirasakan dadanya sesak dan sendat.

"Hei! Siapa yang nak kahwin dengan aku dulu? Siapa yang kata akan hidup susah senang dengan aku? Siapa yang kata akan terima aku seadanya?" Bebola mata Jeffri merah menyala.

"Saya tak akan ungkit kalau awak ada usaha. Saya tak akan ungkit kalau awak tepati janji-janji awak. Tapi awak langsung tak berusaha. Malah, habiskan duit saya tanpa pengetahuan saya. Ingat saya bodoh ke? Saya tahu awak curi kad ATM saya diam-diam, Jeffri!" Misha mengambil bantal dan baling ke arah suaminya itu. Hari ini dia bakal mengamuk semahunya. Dia sudah cukup bersabar.

Malam tadi, ketika dia mahu mengeluarkan wang daripada ATM, yang tinggal cuma RM50 sahaja. Selebihnya lesap begitu saja. Dia tidak mahu menuduh, tapi dia tahu suaminya saja yang berani buat semua itu.

Jeffri mengelak. Wajahnya bertukar riak.

"Ak... aku pinjam ajelah! Nanti aku bayarlah!" Gugup Jeffri membela diri.

"Pinjam! Pinjam! Dah berapa banyak awak pinjam daripada saya, hah? Awak tahu tak duit yang awak curi tu belanja makan kita sebulan? Mana saya nak cari duit untuk bagi awak makan? Nak bagi mak dan adik-beradik awak tu makan?" Misha menjerit sehingga dia terduduk semula di birai katil.

"Jeff! Jeff! Apa ni bini kau terjerit-jerit macam kena sampuk hantu?" Suara si ibu mentua bising di luar pintu bilik diselangi oleh ketukan bertalu-talu.

Jeffri kecut perut. Tak pernah isterinya jadi begitu. Misha seorang yang tenang selalunya.

Misha mengesat air mata yang hampir gugur. Selendangnya disarung seadanya ke kepala. Tas tangannya diambil dari atas meja.

Melangkah ke muka pintu bilik, kemudian dibuka lebar daun pintu itu. Terjengul wajah si ibu mentua dan ahli keluarga Jeffri yang menumpang di rumahnya itu.

"Baguslah semua ada ni. Mulai hari ni, saya nak semua orang keluar daripada rumah saya. Termasuk awak, Jeffri!" Misha memandang wajah-wajah di situ satu per satu sebelum menolak bahu si ibu mentua dengan bahunya dan berlalu pergi.

Misha pejam mata seketika apabila mendengar si ibu mentua terjerit-jerit memanggilnya dan terpekik terlolong kepada Jeffri. Tapi cukup setakat ini. Dia sudah penat! Tersangat penat berharap rumah tangga yang dibina beberapa tahun yang lalu akan menjadi syurga buatnya.


Boss Tolong Jaga Saya - Mell Mariann (e-book)Where stories live. Discover now