(TW: DISCLAIMER: SUICIDE MENTIONED. Read at your own risk.)--
Kalau pun ada satu benda dalam dunia ni yang paling aku benci, iaitu orang yang lemah. Insan lemah yang hanya berpaut pada takdir, doa, dan fantasi mereka tanpa ada nekad dan tingkah untuk berubah. Mulut mereka sentiasa terkumat-kamit kata-kata doa yang tidak pernah mereka usahakan. Naik muak aku dengan mereka yang sentiasa menyorok dari perasaan sebenar mereka. Oleh sebab itu aku akan pastikan mereka yang lemah ini bangkit. Bangkit untuk melepaskan segala jiwa iblis yang terikat dalam diri mereka.
"Azim, dah makan? Makcik ada masak lauk kesukaan Azim."
Aku memandang sekilas Makcik Kay, ibu tiri yang sentiasa cuba menjadi seorang isteri dan ibu tiri yang terbaik. Namun tanpa dia sedar, perkahwinanya dengan lelaki yang dipanggil suaminya itu hanyalah satu perangkap. Dia dijadikan hamba secara percuma oleh lelaki tidak berguna itu untuk menjaga pewaris sialnya.
Aku yang terdiam dari tadi tanpa kata itu diajukan soalan sekali lagi. "dah makan?"
Mataku sekilas memandang lauk pauk yang siap terhidang di atas meja makan itu. Pajeri terung kesukaanku dan sambal ikan bilis. Namun aku yang tidak suka berdua-duaan dengannya itu akhirnya menolak pelawaannya.
"dah kenyang. Nak tidur. Penat." Aku melepaskan batuk kecil sebelum berjalan masuk ke dalam bilikku.
Aku hanya meninggalkan dia dengan wajah kasihannya. Entah mengapa aku bersimpati dengannya. Dia bukanlah janda ketika dia bernikah dengan lelaki tua di rumah ini. Aku masih bersekolah menengah. Sudah sepuluh tahun masa berlalu. Memori hitam itu masih melekat dalam ingatanku.
"Aku terima nikahnya Kay Nazlin binti Amiruddin..."
Bernula dari detik lafaz nikah itu terluah dari mulut lelaki tua itu, dunia perempuan itu hancur sepenuhnya di tangan suami durjananya.
"Abang, abang mesej dengan perempuan mana ni? Ni gambar apa yang abang hantar kat dia? Kenapa abang mengaku abang masih duda?"
Kuat suara pekikannya. Aku yang sedang belajar dari bilikku itu terkejut terdengar suara terikan dan cacian itu berulang lagi meski berbeza suara pemiliknya. Sudah ku duga perkara itu akan berlaku. Namun kali ini berbeza. Perempuan yang berdiri di hadapanku itu ternyata lebih tenang dari perempuan yang melahirkanku.
Sudah sepuluh tahun dia membiarkan dirinya terus terseksa. Raga dan batinnya dibiarkan saja diremuk oleh seorang lelaki yang tidak pernah menganggapnya isteri, malah mengaku-ngaku dia sebagai seorang pembantu di rumah ini pada kawan-kawannya. Sekuat mana cintanya kepada lelaki miang yang sentiasa dahagakan seks haram itu? Apakah dia sememangnya bodoh atau keadaan yang memaksanya kerana faktor umurnya yang sudah tua dan tiada penjaga yang mampu menjaganya?
Aku tidak pernah berani menyuarakan persoalan itu kerana semua itu dengan mudahnya terjawab dari kelakuannya sahaja. Setiap kali aku terserempak dengannya. Aku kenal wajah sedihnya. Aku kenal matanya yang sembab. Meski pekikan sudah jarang kedengaran, namun tidak aku sangka dia masih bertahan sehingga ke hari ini. Apakah itu yang dipanggil jati diri yang kuat? Atau sememangnya dia adalah orang yang lemah yang hanya mampu menerima hakikat dirinya berhak dilayan sebegitu?
Tapi sejujurnya aku tidak boleh menyalahkannya seratus peratus. Semua yang dilakukannya itu adalah hasil buah mulut masyarakat yang menghasutnya. Isteri harus taat pada suami. Isteri teraniaya harus tetap berdoa, semoga suami berubah. Berdoa, bertawakal dan terus istiqamah dalam berdoa. Berbuat baik pada suami apa jua keadaan sekalipun. Semua perbuatan zalim suami itu dibutakan dan dipekakkan oleh kata-kata masyarakat yang menganggap kezaliman terhadap mereka itu adalah bekalan pahala sabar yang terkumpul untuk ke syurga. Namun hati yang tidak pernah ikhlas dan redha dengan kezaliman itu tidak dapat diselindung dari-Nya, manakan mereka dapat pahala itu? Mulut ini mudah berkata-kata untuk menutup hari yang binasa.

ANDA SEDANG MEMBACA
Hate
Mystery / ThrillerAzim, seorang guru yang bertugas di tempat baru. Bertemu dengan seorang pelajar yang dibuli. Namun pihak sekolah tidak pernah mengambil berat akan isu buli itu. Malah membiarkan isu itu dengan membutakan mata atas alasan untuk membantu para pelajar...