C-I

17 0 1
                                    

16 OKTOBER 2017

Air mata gugur lagi.

Suatu ketika dahulu, tarikh itu amat ditunggu. Dirai dengan penuh cinta. Dijadikan penanda aras usia perkahwinan mereka. Tarikh itulah bukti kesetiaan masing-masing dalam menjaga hubungan.

Tapi kini, ia diibaratkan tarikh yang menanti luput. Kesetiaan, cinta dan kasih sayang seperti berada di hujung tanduk. Bila ia akan berakhir, dia tidak pasti. Sesungguhnya, dia merasakan masa gelap itu semakin menghampiri.

Shareen merebahkan badan ke atas katil secara mengiring. Tubuhnya membentuk seperti udang. Tangisannya bisu. Hanya air mata lebat membasahi muka. Sesekali bahunya terhinjut dek esakan yang menekan dada.

Agak lama dia melayani perasaan sehinggalah terdengar pintu bilik dibuka dari luar. Cepat-cepat dia hapus air mata dan menerkam meja solek. Dia mengoles bedak pada muka bagi menutupi kesan merah pada mata dan juga hidung.

"Sayang...."

Faliq datang memeluk Shareen dari belakang. Lelaki itu merehatkan dagunya pada bahu Shareen. Sebelah tangan memeluk pinggang isterinya. Tatkala Faliq cuba bertentang mata di hadapan cermin, lekas dia melarikan muka dan berpura-pura sibuk dengan perkara lain.

"Abang nak makan?" Dia cuba mengalih perhatian, dia tahu Faliq tidak lupa tarikh hari ini.

"Happy fifth anniversary, my love." Ujarnya sambil menghulurkan sejambak bunga tulip kepada Shareen. Badan isterinya dipusing mengadap dia. Shareen menundukkan wajah dan mencium bauan bunga tulip tadi.

Dengan wajah yang tertunduk, Shareen melepaskan diri dan berjalan ke arah katil sambil mengucap,"terima kasih, abang."

Bunga tadi diletakkan di atas katil. Shareen mendekati almari pakaian walhal dia tidak ada tujuan ke situ. Semuanya sekadar mahu menyembunyikan pandangan dari suaminya.

"Sayang tak suka ke bunga tulip ni?"

Jambangan bunga diambil semula. Dia memeriksa setiap kelopak bunga takut ada yang rosak. Bibir Faliq tercebik, tak ada pula yang rosak. Telahnya.

"Eh, mana ada... Reen suka aje bunga tu. Kenapa abang tanya macam tu?"

"Tak adalah... selalunya sayang jadi tukang bomoh. Sayang kan suka tilik kelopak bunga satu-persatu lepas tu letak bunga dalam vase, ke... sayang lupa?"

"Oh... kejap lagilah Reen buat. Ni, abang nak makan dulu atau nak mandi dulu?"

Wajah Faliq dikerling sekejap-sekejap. Dia masih berpura-pura sibuk melakukan hal lain.

"Sayang...."

"Ya?"

"Sayang." Suara Faliq bertukar nada. Kali ini sedikit tegas.

"Ya, abang."

"Cuba pandang sini."

Tidak semena dada Shareen berdebar. Dia berdiri di hadapan rak buku. Konon sedang memilih buku untuk dibaca.

Diam Shareen membuatkan Faliq mendekat lalu memusingkan badan isterinya. Wajah Shareen diangkat.

"Kenapa abang ni?" Wanita itu masih lagi berdalih. Dia duduk di kerusi tempat untuk membaca buku. Helaian buku dibelek.

"Kenapa nangis lagi?"

"Mana ada Reen nangis."

"Tak payah tipu abang."

"Okey... tadi Reen tengok filem. Cerita dia sedih sangat jadi Reen ter-nangis tanpa sengaja."

Kening Faliq bertaut. Dia pandang Shareen dengan rasa tidak percaya, "sejak bila Reen suka tengok filem?"

MASIH KAMUWhere stories live. Discover now