C-IV

5 0 0
                                    

MALAM semakin larut, Faliq belum pulang dari kerja. Jika petang tadi Shareen masih boleh bersangka baik, tapi sekarang tidak lagi. Kegelisahannya semakin menonjol. Hampir setiap minit dia akan menyelak langsir untuk melihat garaj kereta. Namun tetap juga sama, kosong. Puas dia menelefon, tidak juga berjawab. Kerisauannya terhadap keselamatan Faliq semakin menjadi-jadi. Dia turut berkira untuk keluar mencari jika lelaki itu tidak pulang sebelum pukul sebelas malam. Fikirannya hampir turun ke nombor negatif paling hujung. Bermacam spekulasi bermain di benaknya.

"Mana abang ni!" Tuturnya separa teriak. Semuanya akibat lelah menunggu dan mendengar pelbagai spekulasi negatif yang bermain di minda.

"Astagfirullahaladzim.... Allahuakhbar...." Dia beristighfar setelah menyedari dirinya hampir hanyut dengan bisikan syaitan.

Punggung dilabuhkan ke atas sofa. Bibirnya masih menuturkan kalimat-kalimat suci. Hati turut merasa sedikit tenang.

Sekejap lagi baliklah tu, bisiknya sekadar menenangkan hati sendiri.

Dia memandang Zea yang sedang lena di sebelah. Melihat sahaja wajah polos anak tidak berdosa itu, serta-merta kerisauannya menurun.

"Mana papa ni sayang... mama risaulah."

Walaupun terkadang Faliq sering pulang lewat tetapi lelaki itu akan menghubungi dia terlebih dahulu namun tidak pula hari ini.

"Zea... mama risau sangat ni."

Kepala dilentokkan di sebelah Zea. Shareen turut merebahkan badan di atas sofa kebetulan saiz sofa memuatkan mereka dua beranak. Tangan naik menepuk badan Zea meskipun anaknya sedang enak dibuai lena.

"Zea...." Tiada siapa hendak dijadikan tempat mengadu. Panggil Zea pun jadilah asalkan hatinya tenang.

Dia sambung beristighfar dalam hati sehingga tidak sedar, matanya kuyu dan terkatup rapat.

----------------------------------------------------------------------------------

Kunci pintu dipulas perlahan supaya tidak menghasilkan sebarang bunyi. Sambil berjalan masuk ke dalam rumah, dia mengeluh berat. Keadaan ruang tamu agak suram dek kekurangan cahaya. Hanya lampu tangga sahaja terpasang. Kunci kereta dan kunci rumah diletakkan di atas meja. Dia berjalan ke dapur untuk meneguk segelas air sejuk. Setelah dia kembali semula ke ruang tamu. Baru sahaja hendak mendaki anak tangga, telinganya menangkap bunyi tangisan Zea. Langkah kakinya terhenti. Dia berpaling ke belakang. Dia yakin, tangisan itu datang dari arah sofa yang mengadap televisyen.

"Reen...?"

Faliq terkaku seketika. Entah kenapa, serta-merta dia dihimpit rasa bersalah kerana telah mengabaikan isteri dan anaknya hari ini.

Rambut dikuak ke belakang. Zea yang sedang merengek didukung dan ditepuk perlahan. Dia membawa naik Zea ke dalam bilik. Setelah itu, lelaki itu turun kembali dan mendukung Shareen ke bilik tidur.

Sekembalinya ke bilik, Zea masih lagi merengek. Tangisannya makin kuat. Faliq kembali mendodoi Zea tapi malangnya tangisannya Zea makin nyaring sehingga membangunkan Shareen. Dalam keadaan mamai, wanita itu segera mendapatkan anaknya.

"Abang? Bila abang balik?" Shareen memandang Faliq dalam keadaan mata separa terbuka. Apabila tubuh baru sahaja ingin nyenyak, mata pula dipaksa celik, begitulah keadaannya.

"Err... tadi. Err... kenapa Zea tak berhenti nangis ni? Dia nak susu ke?"

Dia segera mengalih topik. Keadaan juga tidak sesuai untuk bersoal jawab memandangkan Zea lebih memerlukan perhatian buat masa sekarang.

"Lampin penuh." Dengan lincah, Shareen menukar lampin dan turut menyusukan Zea.

"Abang pergi mana sebenarnya? Kenapa Reen call abang tak jawab?"

"Abang ada hal yang tak dapat dielakkan tadi. Kebetulan phone abang tertinggal dalam kereta... sorry, abang tak return call Reen, abang takut Reen dah tidur."

"Tertinggal dalam kereta? Habis tu abang pergi mana?"

Faliq melepas keluh. Dari menunduk, dia memandang isterinya. "Reen... abang penat. Kita discuss esok ya?"

"Reen tak ada benda nak discuss, Reen cuma tanya abang, abang pergi mana tadi? Itu aje."

"Abang tolong kawan abang... dia ada masalah tadi. Masalah apa, abang tak boleh beritahu Reen. Abang minta maaf."

Lelaki itu bangun dari duduk. Baju kerja yang sudah berkedut seribu ditanggalkan. Dia mengikat tuala di paras pinggang dan melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Tidak lama, kedengaran bunyi air pancut menimpa lantai.

Shareen kecewa. Seharian dia menunggu suaminya pulang dan mendengar alasan Faliq seolah-olah lelaki itu meminggirkan dia. Ternyata teman Faliq lebih penting daripada dirinya.

Dalam keadaan hati yang retak seribu, Shareen menyambung tidur setelah Zea kembali lena. Tidurnya mengiring dan membelakangi tempat tidur Faliq. Telinga dipekakkan apabila ia menangkap bunyi pintu bilik mandi dibuka. Malas hendak bersoal jawab lagi. Sesungguhnya dia terasa hati dengan Faliq.

Shareen tidak dapat lena. Setiap bunyi pergerakan Faliq ditangkap oleh deria pendengarannya. Dari berjalan sehinggalah lelaki itu memanjat katil. Bunyi mesej daripada telefon Faliq juga tidak pernah lekang. Shareen terbungkam. Apa yang penting sangat sampai ke pagi harus berhubung? Detiknya.

Dia berkira-kira, agak lama lelaki itu dengan telefonnya. Sekitar lima belas minit barulah Faliq merebahkan kepala pada bantal. Hati Shareen mula berlagu tidak senang.

Dan, pada malam itu juga, tiada pelukan hangat daripada Faliq seperti selalunya. Shareen memalingkan wajahnya perlahan-lahan. Faliq sudah pun lena. Tidak semena, air mata Shareen gugur. Mudah benar hatinya tersentuh.

Tidak mengapa, mungkin Faliq benar-benar ada masalah yang tidak boleh dikongsi sekarang. Esok lusa pasti lelaki itu akan berkongsi cerita padanya. Sabarlah Shareen.

Tak henti dia membisik kata-kata semangat pada diri sendiri.

BERSAMBUNG
21:20
05Jul22

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 05, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

MASIH KAMUWhere stories live. Discover now