C-II

12 0 0
                                    

SHAREEN berdiri di beranda sambil menongkat dagu. Pandangannya jatuh pada satu arah. Melihat Faliq bermandi peluh sedang membasuh kereta. Dia tidak berura ingin turun. Fikirannya masih sarat dengan pelbagai masalah yang masih tiada penyelesaian.

Sejak dua menjak ini, fikiran Shareen masih lagi dihantui oleh permasalahan anak. Walaupun berkali-kali Faliq menasihatinya namun dia tidak dapat halang otaknya dari terus memikirkan soal itu. Walaupun dirinya tidak begitu ditekan oleh orang sekeliling tetapi Shareen sendiri yang mahukan malaikat kecil itu. Sedari remaja lagi dia amat menyukai anak kecil dan berharap dikurniakan anak yang ramai namun begitulah, salah satu dari ujian hidup adalah Allah SWT akan menangguhkan dahulu apa yang benar-benar kita inginkan. Ketika itulah diri kita akan dinilai dan bagaimana penilaiannya, hanya Dia sahaja yang mengetahui.

"Ya Allah, andai keputusan itu dapat menggembirakan hati suamiku, maka Kau permudahkanlah urusan kami. Sesungguhnya hanya pada-Mu tempat kami bergantung harap."

Ucap Shareen dengan nada perlahan. Dia mendongak, berharap doanya segera dimakbulkan. Entah kenapa, secara tiba-tiba rohnya seperti ditiup semangat yang berkobar-kobar. Dia pandang semula sang suami di bawah. Faliq bersiul-siul kecil sambil mengelap kereta. Mood suaminya seperti memberi green light sahaja pagi ini. Mungkin ini adalah masa yang sesuai untuk berbicara soal anak.

Shareen tersenyum nipis. Langkah kaki diatur menuruni anak tangga dan segera mendapatkan Faliq.

"Abang."

Siulan Faliq terhenti. Fokusnya teralih pada Shareen. Kening terangkat sebagai isyarat dia mendengar panggilan wanita itu.

Shareen melangkah semakin rapat, "boleh Reen cakap sesuatu?"

Dahi Faliq berkerut, "macam serius aje... apa sayang?"

Shareen mengetap bibir. Dia mengira sampai tiga dalam hati. Nafas ditarik kemudian dihembus perlahan. Dia ukir senyum manis pada Faliq.

"Reen dah buat keputusan. Reen setuju kalau kita ambil anak angkat."

Span ditangan Faliq terlepas. Mulutnya sedikit terlopong.

"Betul ke ni, Reen?" Wajah isterinya dipandang dengan rasa tidak percaya.

Shareen mengangguk.

"Reen tak... tak rasa macam terpaksa kan? Reen rela hati nak ambil anak angkat?"

"Ya, abang. Tiada paksaan dalam keputusan ni."

Faliq tersenyum lebar. Tubuh Shareen didakap dan diangkat. Kedua-duanya tertawa kegelian. Faliq yang masih mengangkat Shareen memusingkan badannya beberapa pusingan. Hampir terbang si isteri dibuatnya.

Mendengarkan tawa Faliq, hati Shareen lega tidak terkata. Terasa beban yang bergayut pada bahu selama ini turut terbang ketika dia berpusing tadi.

"Tapi... macam mana nak uruskan proses tu abang?"

"Sebenarnya, ada seorang kenalan abang yang nak bagi anak tu pada kita. Dia tak nak anak tu disebabkan keadaan ekonomi keluarga dia. Sebab tulah abang nak sangat kita ambil budak tu."

"Kenapa abang tak cerita hal yang sebenar? Reen ingatkan abang nak ambil anak yatim. Habis tu, sekarang ni macam mana dengan budak tu?"

"Masih dalam kandungan. InshaAllah bulan disember ni dia lahir."

"Oh... nasib baik dia tak apa-apakan baby tu. Kadang-kadang nasib baby macam tu memang sedih. Bila tak nak, dicampak dalam longkang macam sampah. Sedikit pun tak ada belas kasihan. Perangai macam syaitan. Binatang yang tak ada akal pun sayang anak. Kalau dah tak nak sangat, hantar jelah ke rumah anak-anak yatim, biar orang yang berhati malaikat yang jaga. Atau pun bagi aje pada orang yang nak anak. Kalau malu sangat nak bagi, letak jelah dekat tempat yang selamat dan senang dijumpai. Baby tu pun berhak untuk hidup sebab dia yang pilih untuk lahir ke dunia ini. Tapi lahir aje, terus kena campak."

MASIH KAMUWhere stories live. Discover now