PROLOG- Novel Itu

30 0 1
                                    


LIMA juta salinan. Puas hatinya. Siapa sangka, novel sulungnya itu berjaya mencapai angka setinggi itu. Padahal nilai yang disasarkan pada awalnya tidaklah sebegitu tinggi. Setakat setengah juta pun cukuplah.

'Kalau jumlah naskhah yang terjual mencecah sejuta, itu sudah lebih daripada cukup baik. Yang penting sasaran awal tercapai.'

Apa yang membuatkan dirinya lebih terkejut ialah novel itu berjaya menembusi pasaran global. Bila dilihat, ternyata bukunya itu agak popular di Jepun dan Amerika Syarikat. Buku itu juga diterjemah dalam bahasa Jepun dan dijangka akan mula berada di pasaran bulan hadapan. Lebih membanggakan, novelnya itu diterjemahkan oleh seorang penterjemah terkenal di sana. Jadi, siapa sahaja yang tidak bangga apabila novelnya itu menjalani proses penterjemahan oleh seseorang yang agak popular dalam bidang itu.

Itu hasil karya pertamanya. Kini, karya keduanya pula akan menyusul. Hakikatnya, buku itu merupakan kesinambungan kepada novel yang dia tulis dahulu. Jalan ceritanya pula sama sahaja. Apa yang memberikan perbezaan cumalah sudut pandang pembaca. Dalam novel pertama, dia memberikan sudut pandang ketiga dalam novel itu. Kali ini, sudut pandang pertama pula akan digunakan, yakni dirinya sendiri yang bercerita. Senang kata, autobiografi fasal dirinya sendiri berhadapan dengan situasi yang dia kisahkan dalam novelnya itu.

"Jadi, dah sedia nak sidang media kejap lagi?"

Soalan itu menghentikan lamunannya. Dia sendiri tidak perasan sudah berapa lama dia melayari bahtera memorinya. Jam di dinding dipandangnya. 2 petang. Masih ada setengah jam lagi sebelum sesi sidang media itu bermula.

"Ya, saya dah sedia. Jom! Nanti terlambat, menyusahkan pihak media je."

Kot yang digantungnya dicapai dan dipakai. Dia tidak mahu masa yang ada dibazirkan begitu sahaja.

Setelah beberapa minit, akhirnya Proton Exora merah yang dinaiki meluncur megah di atas jalan raya. Perjalanan dari pejabatnya ke The Everly hanya mengambil masa 20 minit. Hari ini hari Sabtu, jadi trafik tidaklah seteruk hari-hari biasa, saat di mana warga Cyberjaya dan sekitar dengannya bekerja.

Sepanjang perjalanan, dirinya tidak henti-henti berfikir. Apa jadi kalau dia tidak ditakdirkan untuk bertemu dengan lelaki itu? Mungkinkah mimpi yang dialami itu akan terus menghantui dirinya sehingga hari ini? Atau keselamatan negara semakin memburuk? Atau yang lebih hebat lagi, mungkinkah karya yang dia tulis selama ini tidak akan menjadi suatu realiti dan hanya ilusi semata-mata?

Segala persoalan itu membawanya kembali ke masa lalu. Dia cuba untuk mengimbas kembali detik itu. Detik di mana segalanya yang dia sangkakan selama ini meleset dan realiti di sebalik semua sangkaan itu tersingkap.

---

Tiga bulan lepas, spesifiknya bulan Jun

Dia hanya termenung diam. Tidak disangkanya, apa yang hadir dalam mimpinya beberapa malam yang lalu benar-benar berlaku. Siapa sangka, mimpi-mimpi itu menjadi pembayang kepada dirinya tentang apa yang akan terjadi kelaknya.

Dia kini berada di sebelah lelaki yang menjadi idola ramai di Malaysia. Semua orang mengenali individu itu yang 'bernama' Ren Kurusu. Namun kini, bukan Ren Kurusu yang berada di depan mata gadis muda itu. Detik itu, dia tampil dengan identitinya yang sebenar. Identiti yang hanya lelaki itu dan rakannya sahaja yang tahu.

Karya yang dia baca itupun sebenarnya ada rahsia yang dia berjaya pecahkan saat segalanya terbongkar. Ya, akhirnya dia tahu punca sebenar kenapa karya itu tergantung hanya sampai bab enam. Dia, seperti pembaca yang lain pada mulanya berasa hairan. Mengapa novel itu tergantung selama lebih setengah tahun lamanya? Ren Kurusu itu sudah dikira agak lama berkecimpung dalam dunia penulisan. Sudah lima buah novel tulisannya diterbitkan. Kesemua novel itu siap dimuat naik ke laman web Wattpad dalam tempoh kurang tiga bulan sahaja. Jadi, apabila novel keenamnya itu tergantung dan belum siap-siap sehingga menjangkau enam bulan, dalam mindanya, mesti ada sesuatu yang tidak kena. Kawan-kawannya pula berfikir yang mungkin Ren Kurusu sengaja membiarkan novelnya tergantung agar kreativiti pembaca dapat dijana. Tetapi dia tidak berfikiran sebegitu.

Kenapa dia berfikiran berbeza daripada kawannya yang lain? Dia perasan yang pada akhir bab keenam novel itu sebelum terbiar begitu sahaja, ada satu ayat misteri dan agak aneh yang terkandung dalam teks itu.

'Kod: Misi Mustahak. Maklumat diperlukan. Subjek, Naga Bangkit. Siapa yang tahu, tolong khabarkan dengan saya. Panggil saya Noir untuk berhubung.'

Mungkin orang lain tidak perasan. Ayat ini ditulis dalam bentuk kod rahsia. Sudahlah dalam kod rahsia, ditulisnya pula ayat itu dalam empat bentuk sifer yang berbeza. Manalah orang lain yang tidak belajar bidang pengkomputeran akan tahu dan sedar mengenai kod-kod rahsia itu.

Kelebihan yang ada padanya selaku pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Komputer dari Universiti Multimedia merupakan satu kredit buat dirinya. Namun, untuk memecahkan kod tersebut bukan mudah. Dia ambil masa satu minggu untuk selesaikannya. Apabila dia berjaya menyahsulitkan kod itu, pelbagai persoalan lain mula datang menjengah mindanya.

Hanya sehingga malam pertama siri mimpi itu datang, ia seolah-olah sudah memberi jawapan kepada persoalannya. Ternyata, novel yang tergantung itu bukan novel biasa. Ada sesuatu yang sulit tertulis sekali di dalamnya.

"Jadi, bagaimana? Awak dah tahu siapa saya yang sebenarnya."

Ayat itu menyedarkan kembali dirinya yang mengelamun mengenangkan kejadian beberapa hari kebelakangan. Lelaki itu membuka bicaranya.

"Ya, awaklah Noir yang tertulis di dalam novel tu. Awak juga Ren Kurusu yang menulisnya. Tapi awak pada hakikatnya bukan Noir atau Ren Kurusu yang orang lain lihat selama ni. Awak ada identiti sebenar yang lain di sebalik semua ni."

Lelaki itu tergelak mendengar jawapan yang diberikan.

"Ya, tapi awak mungkin kurang jelas sedikit. Awak belum faham keadaan yang berlaku sepenuhnya. Saya Noir dan saya juga Ren Kurusu. Namun, itu semua merupakan identiti samaran saya. Mungkin lebih baik saya dedahkan identiti sebenar saya. Awak pun dah perkenalkan diri awak dekat saya. Heh, nama saya—"

---

"Cik. Cik okey ke ni?"

Dia tersedar kembali. Lamunan panjangnya itu berakhir apabila kenderaan yang membawanya ke destinasi sudah tiba. Jam di tangan dilihatnya. Masih ada lima minit lagi.

"Erm, saya okey. Saya nak pergi tandas dulu. Saya mengantuk sebenarnya," dalihnya.

Pengiringnya mengangguk tanda faham. Tanpa berlengah lagi, dia keluar dari kereta dan masuk ke dalam bangunan hotel. Destinasinya terus membawa dirinya menuju ke billik media. Sebelum melangkah masuk ke bilik media, ditatapnya sebuah buku nota yang dibawanya.

Bagi orang lain, itu cuma buku nota biasa sahaja. Ramai orang akan menganggap dia membawanya untuk mencatat apa sahaja yang akan disoal oleh pihak media. Tetapi sebenarnya mereka salah. Di dalamnya, ada kisah yang menjadi asas untuk dirinya menulis buku keduanya. Ya, buku nota itu menyimpan sebuah memoir tentang dirinya, Ren Kurusu, novel yang tergantung dan rahsia di sebalik segalanya yang terjadi.

Di Sebalik Ceritera ItuWhere stories live. Discover now