HELEN menghela nafas panjang. Entah kenapa, dia dibayangi sesuatu yang tidak diingini. Untuk menghilangkan perasaan gundahnya itu, secawan kopi dihirupnya. Setiap pagi, kopi itulah yang akan menjadi santapan buat dirinya.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, dia seringkali dibebani dengan mimpi-mimpi yang kurang menyenangkan. Saban hari, ada sahaja adegan ganas yang singgah di dalam mimpinya. Sudah beberapa malam dia menghadapi detik ngeri itu.
Bukan setakat itu, setiap kali dia ingin bangun dari tidurnya, muncul seorang lelaki yang memakai pakaian serba hitam. Entah kenapa, dia tidak berasa takut langsung apabila berhadapan dengan lelaki misteri itu. Jika diikutkan, rupa wajah lelaki itu jauh lebih mengerikan berbanding dengan semua babak-babak hitam yang dia temui sebelumnya.
Dalam pertemuan itu, lelaki itu dinamakan Noir. Noir dalam bahasa Perancis bermaksud hitam, sepadan dengan warna yang dipakai oleh lelaki itu. Dia seringkali memberikan amaran tentang sesuatu yang tidak diingini akan berlaku jika dia memberikan jawapan yang berbentuk sebuah penolakan. Kata Noir, Jepun kini di ambang kemusnahan. Kata Noir, Jepun memerlukan individu yang sangat genius untuk menghentikan barah yang membahayakan negara. Kata Noir, Jepun sangat bergantung harap dengan individu yang memegang kod nama Violet.
Di sini persoalan utamanya timbul. Violet. Dia pernah melihat perkataan itu beberapa hari lepas. Dia teringat yang pada saat itu, ada seseorang menghantar mesej kepadanya dengan membahasakan dirinya sebagai Violet. Sengaja Helen tidak menjawab mesej itu. Manakan tidak, dia keliru dan tidak pasti mengapa mesej itu dihantar.
Namun di sini, dia berjaya mendapat klu yang pertama. Mesej dan mimpinya itu kedua-duanya membahasakan dirinya sebagai Violet. Dia berfikir panjang. Adakah Violet itu merujuk kepada dirinya? Apa misi utama yang Violet perlu selesaikan demi Jepun itu? Sejauh manakah perihal itu amat penting bagi negara?
"Haih, saya rasa ada sesuatu yang tak kenalah."
Helen membuka cerita. Sesi konsultasi pagi mingguan berakhir beberapa minit lalu. Hanya dia dan beberapa orang rakannya sahaja yang masih berada di dalam bilik mesyuarat.
"Ceritalah. Mana tahu kami boleh tolong."
"Begini ceritanya. Sudah empat malam berturut-turut saya tak dapat tidur nyenyak. Asal tidur je, memang ada mimpi buruk datang. Dahlah semua tu berlaku dekat tempat yang sama. Suasana pun gelap je.
Lepas tu, nak bangun je, mesti ada seorang lelaki berpakaian hitam datang. Habis pakai pakaian hitam. Baju dia, seluar dia, topi dia, kot dia, sampai topeng dia semua warna hitam. Setiap kali jumpa, benda yang sama akan dia ulang balik. Katanya, Jepun sedang menuju ke dalam sebuah krisis yang mengancam negara dan seseorang yang bernama Violet sangat diperlukan untuk menghalangnya daripada terjadi.
Masalah utama berlaku di sini. Hari tu saya terima mesej dengan nama Violet. Lepas tu dalam mimpi, Noir pula yang panggil saya Violet. Apa kaitannya? Adakah Violet dalam mesej dan mimpi tu diri saya sendiri?"
Beberapa minit mereka diam membatu. Tidak lama kemudian, salah seorang daripada mereka mula bersuara.
"Begitu. Saya dapat tahu sesuatu perkara. Awak sebenarnya penting dan perlu dalam mimpi tu. Kalau tak, mana mungkin mimpi tu boleh sampai beberapa hari.
Saya cadangkan awak untuk hubungi nombor ni. Mungkin nombor yang saya bagi ni boleh selesaikan masalah awak tu."
Saranannya itu diterima. Meskipun begitu, dia masih belum bersedia untuk menghubungi nombor itu. Di lubuk hatinya, masih timbul keraguan yang nyata. Siapa di sebalik nombor itu?
YOU ARE READING
Di Sebalik Ceritera Itu
Teen FictionNovel itu sudah berbulan-bulan tanpa sambungan. Situasi ini membuatkan Sara Damia, seorang gadis pencinta buku nekad untuk menyambung sendiri novel tersebut. Semakin jauh dia menyambung, satu demi satu misteri dan rahsia novel itu terungkap. Pertemu...