'SUBJEK: Naga Bangkit
Kod nama pemimpin: Druk
Daerah kegiatan: Petaling dan Sepang
Sesiapa yang tahu maklumat lanjut mengenai subjek ini, hubungi Noir. Tempoh masa hingga tiga minggu selepas buku ini mula terbit di pasaran.'Ini merupakan kali kedua Ren Kurusu menampilkan Naga Bangkit dalam novelnya. Selepas Naga Bangkit muncul buat pertama kalinya dekat novel 'Misi: Warna', kali ini ia ada lagi. Seperti novel yang tergantung itu, subjek itu tertulis dalam kod rahsia dan kali ini ia ditulis tangan, mungkin oleh penulisnya sendiri.
Aku berasa hairan. Sejak kebelakangan ini, Ren Kurusu semakin kerap menulis mengenai Naga Bangkit dalam penulisannya. Sedangkan dalam novelnya, subjek itu langsung tidak muncul pun. Aku syak, mesti ada sesuatu yang tidak kena berlaku mengenai Naga Bangkit itu.
Aku selidik dan kaji sedikit fasal apa itu Naga Bangkit. Pemimpinnya mempunyai kod nama Druk. Ia bermaksud naga kilat dalam bahasa Dzongkha (bahasa rasmi di negara Bhutan, sebuah negara kecil di banjaran Himalaya). Memang aneh untuk aku mendengar satu perkataan dalam bahasa yang agak asing untuk didengari oleh rakyat Malaysia dan mungkin juga umat dunia.
Aku sampai terpaksa menyamar menjadi seorang polis (penyamaran aku berjaya sebab aku dibantu oleh seorang rakan yang bekerja sebagai polis). Setelah aku selidik sedalam-dalamnya, aku berjaya menemui beberapa lagi maklumat yang orang lain tidak tahu. Pertama, orang-orang kuat di dalam Naga Bangkit itu memegang kod nama dalam beberapa bahasa yang berbeza, namun semuanya membawa maksud yang sama, iaitu 'naga'. Kedua, Naga Bangkit mempunyai cawangan di 17 buah negara, antaranya Jepun, Mexico, dan Jerman.
Dan dapatan ketiga inilah yang menjadi tumpuan aku. Selama ini, aku menganggap Naga Bangkit ini merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang mengendalikan kebajikan untuk para veteran tentera. Namun itu hanyalah ilusi yang mengaburi mata orang ramai. Ia sebenarnya merupakan organisasi jenayah antarabangsa yang dipimpin oleh rakyat tempatan. Patutlah di setiap cawangan, ia tidak dinamakan sebagai Naga Bangkit dalam bahasa masing-masing, sebaliknya organisasi ini mempunyai nama lain.
Namun di sini, aku mula menemui satu lagi misteri. Ia bagaikan lapisan kek. Ada lapisan lain di sebalik lapisan atas. Subjek ini diketahui oleh orang ramai, tetapi dokumen pembongkaran itu merupakan satu rahsia besar dalam kalangan pihak berkuasa. Sengaja mereka tidak mahu menyebarkannya kepada orang awam untuk mengelakkan tercetusnya huru-hara.
Persoalannya di sini, bagaimana individu seperti Ren Kurusu boleh mengetahui semua ini? Jika dia tahu sekadar nama organisasi dan pusat mereka, itu dikira okeylah. Ini sehingga ke kod nama pemimpin sekali dia tahu. Di sini fikiran aku kembali bergelojak. Siapa Ren Kurusu ini sebenarnya? Bagaimanakah dia boleh mengetahui semua maklumat ini? Apa pekerjaan sebenar Ren?
Tok! Tok! Tumpuan aku terus terarah kepada bunyi ketukan pintu bilikku. Ah, sudah pasti si Fuad dan Hannan yang datang. Aku persilakan sahaja mereka untuk masuk dan duduk, memulakan celoteh biasa setiap kali waktu rehat petang.
"Weh, kau tahu kan hujung minggu ni ada sesi meet and greet dengan Ren Kurusu?"
Riak wajah aku yang nampak serius bertukar ceria. Aku terus melupakan apa yang bersarang dalam minda tadi.
"Ya? Di mana? Bila?" aku mahukan kepastian.
"Hujung minggu ni dekat Kinokuniya KLCC. Aku tahu kau nak sangat jumpa dia. Sehari lepas malam anugerah tu kau ada cerita kat aku. Jadi dah ada peluang ni, ambillah."
"Baik, nanti kita pergi sama-sama, eh? Nak jumpa, nak minta sign Ren Kurusu. Cuma, aku ada masalah sikit. Korang tak apa-apa kan kalau aku cerita benda ni?"
Mereka berdua menggeleng. Cantik, aku ceritakan kembali dari A ke Z tentang masalah aku.
Sepanjang itu aku bentangkan buku yang dibeli semalam. Aku siap ceritakan masalah yang ada dekat buku itu. Aku yakin, buku itu juga bukan biasa-biasa seperti novel tergantung itu.
YOU ARE READING
Di Sebalik Ceritera Itu
Teen FictionNovel itu sudah berbulan-bulan tanpa sambungan. Situasi ini membuatkan Sara Damia, seorang gadis pencinta buku nekad untuk menyambung sendiri novel tersebut. Semakin jauh dia menyambung, satu demi satu misteri dan rahsia novel itu terungkap. Pertemu...