"Assalamu'alaikum!" Syafiq dan Erman, pelajar baharu, tahun satu Pergigian melangkah ke dalam rumah PERMAI.
Semua yang ada di dalam rumah itu menjawab salam.
"Masuklah, Erman." Syafiq menoleh ke belakang sebentar.
"Tak apa ke?" Erman menjengok ke dalam terlebih dahulu.
Rumah itu dipenuhi senior. Semuanya kelihatan sibuk. Ada yang mengangkat fail-fail, ada yang sibuk dengan komputer, ada yang sibuk menulis, ada yang sedang berbincang. Pelbagai ragam.
"Tak apalah. Mereka semua baik." Syafiq menarik tangan Erman.
Kedua-dua mereka masuk ke rumah.
"Ha, datang pun adik-adik aku ni." Satu suara ceria menerpa.
"Abang Baha!"
Syafiq bersalam dengan lelaki yang menghampiri mereka. Berjambang, sederhana tinggi, dan berjubah hitam.
"Inikah kawan yang kau cerita tu?" Faiz Hamzah menghulurkan tangan kepada Erman.
Lambat-lambat Erman menyambutnya.
"Ya, inilah Erman. Teman serumah saya yang baru sampai semalam."
"Aku Faiz Hamzah. Orang sini panggil aku Baha."
"Oh, inikah ..." Erman kenal akan nama itu.
"Presiden PERMAI kita." Syafiq ceria memotong.
Faiz Hamzah tersenyum. Dia memang terkenal ceria dan ramah dengan semua orang. Gayanya menyebabkan tiada siapa menjangka bahawa dia adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid, Jordan (PERMAI). Tambahan, di sini dia dikenali sebagai Baha, bukan Faiz Hamzah.
"Kami datang nak tolong apa-apa yang patut, Abang Baha." Syafiq tersenyum.
"Baiknya adik aku ni." Faiz Hamzah senang hati. "Baru datang sudah rajin. Nak tolong masa bulan puasa pula."
"Kita kenalah tolong-menolong. Lagipun, bulan puasa ini berganda-ganda pahalanya."
Ramadhan baru sahaja bermula tiga hari lepas. Kebetulan, kedatangan Ramadhan tahun ini pada bulan September, yakni masa permulaan sesi baharu bagi pelajar-pelajar yang menuntut di Jordan.
Ketika ini, Erman perasan sesuatu yang tidak kena di dalam rumah itu. Bahu Faiz Hamzah ditariknya perlahan.
"Abang Baha, siapa tu?"
Faiz Hamzah menoleh ke arah yang ditunjukkan oleh Erman. Syafiq juga menujukan pandangan ke arah yang sama. Mata Syafiq membesar manakala senyuman Faiz Hamzah meleret.
Di satu sudut rumah, kelihatan dua lelaki sedang duduk bersandar pada dinding dengan kaki melunjur ke hadapan. Seorang menjadikan bahu sahabat di sebelah sebagai bantal, manakala seorang lagi meletakkan kepalanya atas kepala sahabat tadi. Mereka tidur dengan nyenyak sekali, teramat kontra dengan suasana di sekeliling mereka yang begitu sibuk.
Daripada mereka, seakan-akan ada aura amat harmonis yang bersemburan ke sekeliling.
"Adakah patut tidur masa orang lain sibuk buat kerja?" Erman berwajah tidak puas hati walaupun sebenarnya dia agak terkesan dengan keakraban kedua-dua mereka.
Faiz Hamzah menggeleng. "Itulah kembar Irbid."
"Kembar? Tak sama pun. Kembar tak seiras ke?" Syafiq bertanya hairan. Dia seperti pernah mendengar perkataan kembar Irbid sebelum ini. Cuma dia tidak dapat mengingatinya sekarang.
YOU ARE READING
Sinergi
General FictionIrfan Hakimi dan Rasyid Zakwan merupakan dua sahabat yang amat erat hubungannya. Sudah seperti adik beradik. Kedua-duanya belajar di Irbid, Jordan dan merupakan pelajar yang disegani di sana. Sehinggalah sekumpulan pelajar bermasalah datang menyambu...