Bab 3: Ramadhan & Taqwa

38 1 1
                                    

Separuh Ramadhan sudah berlalu. Betapa cepat masa berjalan. Terasa betapa amalan yang dijalankan dalam bulan mulia, di madrasah rohani ini, masih sedikit. Separuh bulan yang berbaki perlu diisi sebaik-baiknya. Jika tidak, Ramadhan akan berlalu dengan sia-sia, dan ijazah taqwa akan tidak mampu dicapai.

Irfan Hakimi mencatit nota-nota yang disampaikan oleh ulama' terkenal Jordan yang merangkap pensyarahnya di Yarmouk, Dr. Mahmud Malkawi. Seorang pensyarah yang suka mengajar sepenuh perasaan. Ada masa suaranya meninggi. Ada masa dirinya tenggelam dalam tangisan. Sesiapa yang mengambil kelasnya hanya untuk lulus periksa, tidak akan mendapat apa-apa. Hanya yang mahu mendalami ilmu akan merasai kelebihan Dr. Mahmud Malkawi.

Pengajian mata pelajaran Firaq untuk hari ini telah selesai. Namun, waktunya masih berbaki. Dr. Mahmud Malkawi memberikan kebebasan untuk pelajarnya keluar awal.

"Tetapi jika kamu memilih untuk kekal di dewan ini, aku punya perkongsian untuk diri kita."

Tiada pelajar yang angkat punggung. Sekurang-kurangnya, itulah yang Irfan Hakimi lihat dalam kalangan pelajar lelaki di hadapannya. Pelajar perempuan di bahagian belakang kelas, dia tidak pasti kerana tidak memandang ke arah itu. Perkongsian Dr Mahmud Malkawi, semestinya menusuk.

"Ini yang aku rasa semangat." Ciku, atau nama sebenarnya, Fakhrurrazi, menggosok telapak tangan. Gaya orang yang teruja apabila melihat makanan yang enak dan lazat.

Irfan Hakimi tersengih.

Fakhrurrazi memang seorang yang cintakan ilmu. Rumahnya ibarat perpustakaan mini. Penuh dengan segala jenis buku dan kitab. Baik dalam Bahasa Arab, Inggeris mahupun Melayu. Ilmu, padanya, ibarat makanan. Kalau tidak bertambah sehari, akan berasa kelaparan.

"Nak kongsi apalah itu." Nik Naim, seorang lagi pelajar Melayu seangkatan dengan Irfan Hakimi, bersuara.

"Ini mesti ada kena-mengena dengan Ramadhan. Kita dengar dan cuba ambil manfaat."

Irfan Hakimi tenang. Dia melihat Dr. Mahmud Malkawi diam. Mungkin sedang mengumpul kudrat bagi perkongsian penuh keikhlasan. Sesungguhnya, apa yang dilontarkan dari mulut akan sampai ke telinga sahaja. Namun, apa yang dilontarkan dari hati, akan melekat di hati juga.

Tekaan Irfan Hakimi tidak silap. Dr. Mahmud Malkawi mula berbicara berkenaan Ramadhan serta kaitannya dengan taqwa.

"Ramadhan ibarat hentian rehat di tengah-tengah perjalanan panjang. Kehidupan ini adalah perjalanan dan Ramadhan adalah tempat rehatnya. Dalam Ramadhan, kita disediakan dengan pelbagai peluang bagi mengambil bekalan rohani. Sesiapa yang berusaha merehatkan rohaninya dengan kesungguhan, maka dia akan mendapat bekalan paling hebat semasa hendak berangkat meneruskan perjalanan."

Dr. Mahmud Malkawi menerangkan bahawa bekalan terhebat itu adalah taqwa. Kewujudan Ramadhan yang sebulan lamanya adalah pengisytiharan kepada kepentingan taqwa. Allah SWT mengarahkan hamba-hamba-Nya agar melalui Ramadhan dengan baik bagi menggapai ketaqwaan ini. Ibadah Ramadhan bukan hanya seminggu tetapi sebulan. Ibadah terpanjang dalam Islam.

"Kenapa taqwa diangkat sedemikian penting? Hingga Allah SWT menyediakan satu bulan khas untuk menggapainya?"

Seluruh kelas diam. Tertanya-tanya sama ada itu soalan atau hanya persoalan yang ditimbulkan bagi meneruskan syarahan. Tiada siapa mengangkat tangan.

"Yallah, ajib." Dr. Mahmud Malkawi menyeru, meminta sesiapa menjawab.

Irfan Hakimi mengangkat tangan.

SinergiWhere stories live. Discover now