"Lambat pula pensyarah kita hari ini, Baha." Irfan Hakimi memandang sekeliling.
Minggu ini sudah minggu kedua pembelajaran bermula. Walaupun Ramadhan, universiti di Jordan tetap berjalan seperti biasa. Bezanya, waktu pembelajaran akan dipendekkan sedikit.
Faiz Hamzah mengangguk. Hari ini, dia sekuliah dengan Irfan Hakimi dalam Bahasa Arab 2, antara mata pelajaran wajib di Universiti Yarmouk.
Walaupun Irfan Hakimi merupakan pelajar tahun empat manakala Faiz Hamzah adalah pelajar tahun tiga, mereka berada dalam satu kelas yang sama. Sistem pembelajaran di Yarmouk membolehkan keadaan sedemikian berlaku kerana tiada tahun pengajian. Yang ada hanyalah bilangan mata pelajaran.
Oleh itu, jika pelajar tahun satu mengambil mata pelajaran Sirah dan pelajar tahun empat juga mengambil mata pelajaran Sirah, serta mereka mengambil dengan pensyarah yang sama dan pada waktu yang sama, maka mereka akan sekelas.
Faiz Hamzah juga memandang sekeliling.
"Ada hal agaknya. Dr. Zohierah selalunya tepati masa." Nama pensyarah perempuan di Fakulti Bahasa dan Sastera itu disebutnya.
"Boleh sembang-sembang." Irfan Hakimi mengoyakkan senyuman.
Faiz Hamzah ketawa kecil.
Mereka tenang di kerusi panjang di hadapan dewan kuliah. Koridor tingkat pertama bangunan Fakulti Bahasa dan Sastera Yarmouk masih ramai orang. Majoritinya lelaki. Antara kebiasaan yang baik di Universiti Yarmouk adalah pelajar perempuan akan menunggu di dalam dewan kuliah manakala pelajar lelaki akan menunggu di luar. Tidak tahu sama ada ini semata-mata kebiasaan atau demi menjaga pergaulan seperti yang dituntut dalam Islam, namun tradisi ini amat baik dan patut diamalkan.
"Macam mana jadi Presiden PERMAI?" Irfan Hakimi menyentuh peha Faiz Hamzah.
Faiz Hamzah mengangguk. "Alhamdulillah. Bolehlah."
"Tak penat?"
"Penat jangan ceritalah."
Terkeluar tawa Irfan Hakimi. Dia tahu, bukan mudah menjadi Presiden PERMAI. Pelbagai tanggungjawab perlu dilaksanakan. Kalau menjadi Ketua Pelajar, Ketua Umum, Ketua Pengawas di sekolah menengah dikatakan susah, maka menjadi Presiden bagi pelajar Melayu di satu zon, tambahan pula di negara orang, lebih susah dan berat. Dia sudah melaluinya tahun lepas.
"Boleh imbang dengan pelajaran tak? Jangan turun muaddal sudahlah."
Muaddal adalah perkataan Arab yang membawa maksud 'peratus'. Sering digunakan oleh pelajar di Jordan untuk menyatakan tahap pencapaian mereka.
"Boleh imbang. Jangan risau. Tawazun, tawazun."
Irfan Hakimi mengangguk.
Tawazun bermaksud keseimbangan. Sebagai hamba Allah SWT yang baik, seorang muslim itu perlu mengamalkan tawazun dalam kehidupan. Barulah hidup ini boleh berjalan dengan baik, dalam keadaan seseorang itu mampu melaksanakan pelbagai kerja dan tugas. Dengan ini, barulah Islam akan bergerak ke hadapan kerana mempunyai orang-orang yang proaktif lagi efisien.
"Pendaftaran pelajar baru ke universiti macam mana? Selesai semua?"
"Selesai. Alhamdulillah. JUST dengan Yarmouk, dua-dua baik."
Di Jordan, pelajar Melayu baharu akan dibantu. Pihak PERMAI akan menugaskan beberapa orang senior bagi menguruskan pendaftaran pelajar baharu ini. Selain melicinkan urusan, gerak kerja ini membuka ruang agar pelajar junior merapati dan mengenali pelajar senior.
YOU ARE READING
Sinergi
General FictionIrfan Hakimi dan Rasyid Zakwan merupakan dua sahabat yang amat erat hubungannya. Sudah seperti adik beradik. Kedua-duanya belajar di Irbid, Jordan dan merupakan pelajar yang disegani di sana. Sehinggalah sekumpulan pelajar bermasalah datang menyambu...