ALHAMDULILLAH. Setelah lebih dua jam menempuh perjalanan, Ara selamat tiba di hadapan rumah banglo setingkat milik keluarganya.
Sengal habis segala anggota badan akibat memandu terlalu lama. Daripada Melaka sampailah ke Johor. Maklumlah, selama seminggu Ara kena menghadiri kursus yang telah dibuat untuk para guru. Sampai aje rumah, perasaan lega tu usah dikata.
Ara keluar dari perut kereta setelah meregangkan segala jenis urat yang berselirat. Sebuah bagasi kecil yang diletakkan di bahagian penumpang belah belakang diambil olehnya sebelum kereta Perodua Bezza itu dikunci.
Sedang dia menapak ke arah pintu utama rumah, langkah Ara lantas mati apabila menangkap sesuatu yang berada di rumah sebelah.
Aik? Ada orang ke dekat rumah tu? Siap ada kanopi bagai. Ara tertanya-tanya sendiri. Dalam kepalanya sudah terbayang seseorang yang sangat dirinduinya.
Betul ke ni?
Malas nak berlengah lagi, Ara terus mencabut kasut lalu masuk ke dalam rumah. Kelibat uminya pantas dicari di setiap pelosok.
“Umi… umi…” Punyalah tak menyabar, begnya hanya diletakkan di tepi sofa. Kemudian, dia sambung mencari figura wanita lebih separuh abad itu.
“Um…” Belum sempat Ara habiskan ayat, dia laju berlari mendapatkan Puan Haliza yang baru muncul dari arah dapur. Tangan wanita itu ditarik lembut untuk duduk di atas sofa.
“Ya, adik sayang. Kenapa ni kecoh-kecoh? Baru balik dah terpekik terlolong macam orang kena kesurupan. Tak tenang ibu nak memasak dekat dapur tu.”
Ara tayang giginya yang putih bersih. Lepas tu baru dia salam tangan Puan Haliza apabila tersedar akan kelupaannya. Kelam-kabut punya pasal.
“Umi.”
“Ya, Ara Adelia.”
“Amir dah balik sini ke?”
Puan Haliza automatik tayang muka malas tatkala soalan itu keluar. Haih. Budak bertuah betul. Ingatkan nak tanya khabar dia ke apa. Rupanya, lelaki itu juga yang dicari dulu. Ini mesti kes ternampak kanopi banyak-banyak dekat luar rumah Puan Miza.
“Hmm… yalah kut. Katanya, satu keluarga balik.”
Bersinar-sinar mata Ara mendengar respon positif itu. Maknanya, dapatlah dia jumpa Amir lagi? Tak sabarnya Ara nak bersua muka dengan lelaki itu. Dah lama mereka berdua tak berborak.
“Dia orang nak buat kenduri ke, umi? Kenapa siap ada kanopi dekat luar rumah ibu?” tanya Ara lagi. Membuak-buak sifat ingin tahunya. Dalam masa yang sama, dia turut teruja.
“Ikut apa yang umi dengar macam tulah. Kenduri kahwin tak silap.”
Mahu terbeliak biji mata Ara. Melopong terus mulutnya. “Hah? Seriuslah? Siapa kahwin, umi? Abang Man ke?”
Puan Haliza angkat bahu. “Yang tu umi tak tahu. Tak teringat pulak umi nak tanya. Eh dah la. Umi nak masak ni. Banyak tanya pulak dia. Adik pergi tukar baju dulu. Lepas tu tolong umi siapkan makanan tengah hari.”
Puan Haliza bangun daripada sofa apabila teringat ayam yang sedang digoreng. Melayankan anak dara dia yang sorang ni, silap hari bulan makan ayam rentunglah mereka nanti.
“Cepat! Jangan nak mengelat.” Sempat lagi Puan Haliza melaung sambil bergerak ke arah dapur.
Manakala Ara, masih statik bertafakur di atas sofa sambil mengelamun jauh. Dalam kepalanya sekarang hanya ada Amir. Tak dinafikan, memang dia sangat gembira.
YOU ARE READING
Stuck With You | COMPLETE
Historia Corta𝐀𝐌𝐈𝐑 𝐋𝐔𝐓𝐇𝐅𝐀𝐍 ✦ 𝐀𝐑𝐀 𝐀𝐃𝐄𝐋𝐈𝐀 Amir Luthfan. Ara Adelia. Daripada kecil sehingga ke besar, mereka tak pernah berpisah lama-lama. Hubungan persahabatan yang telah terbina selama 18 tahun itu tanpa sedar membuahkan perasaan suka di dala...