*dah kasi 2 bab malam ni, jangan lupa vote and komen okiess ;)*
Haider bercekak pinggang sambil meraupkan rambut yang terjuntai sehingga mencium dahinya. Saat ini dia cuba untuk menenangkan hati yang sedang hangat. Siapa lagi yang seringkali mencabar kesabarannya dalam rumah ini? Tidak mungkin anaknya yang baru saja berumur enam tahun.
“Fathiya.” Keras nadanya.
Fathiya yang sedang bersila di hadapan meja kopi memekakkan telinga. Sengaja tidak mahu membalas panggilan suaminya. Sudahlah dia sedang menyelesaikan slaid untuk pembentangan bersama barisan ketua jabatan pada hari esok. Jika dia menyahut panggilan Haider, sudah pasti pergaduhan bakal tercetus dan kerjanya tidak akan siap dengan sempurna.
“Cahaya Fathiya…” Haider cuba menahan amarahnya. Sudahlah Faril sedang baring di sofa bersebelahan dengan Fathiya. Dia seboleh-bolehnya cuba untuk tidak menunjukkan hubungan dinginnya bersama Fathiya di hadapan anak mereka.
“Cahaya Fathiya, tiga kali I panggil you. You memang suka dengar I marah you, kan?” Kali ini kaki Haider mula menapak ke arah isterinya. Hanya sofa yang membataskan jurang antara mereka sementelah Haider hanya berdiri di belakang sofa manakala Fathiya bersila di hadapan sofa baldu tersebut.
“You nak apa, Haider? Tak nampak ke I tengah buat kerja? Kalau tak siap, siapa nak jawab dekat bos I? You?” Suara Fathiya makin lama makin meninggi. Namun jauh sekali dia ingin menoleh memandang wajah suaminya di belakang.
Haider mengerling seketika ke arah anaknya yang ralit menonton kartun di televisyen terpampang luas itu. Nafas ditarik dan dihela berkali-kali agar tidak sesekali meninggikan suara terhadap Fathiya.
“Setakat nak pergi jumpa Azwan tu, I tak kisah langsung. Nak suruh dia pecat you pun I boleh buat. You lupa ke you bercakap dengan siapa sekarang ni?” Haider menggeleng kepala. Gaya Fathiya bercakap seolah-olah dia tidak mengenali pemilik syarikat tempat isterinya bekerja.
“Jangan mulakan isu tu, Haider. You tahu I tak suka you cakap pasal tu!” Fathiya membentak sehingga tidak sedar dia menghempas fail yang agak tebal di tangannya.
Faril yang sedang menonton televisyen terkejut dengan bunyi yang agak kuat itu. Haider hampir berganjak ke belakang apabila Faril berlari ke arahnya dengan ketakutan.
“Cahaya Fathiya! You memang dah melampau, kan? You ingat you dah hebat sangat ke hentak-hentak barang macam tu? Depan anak, Fathiya! Depan anak you hempas fail! Apa masalah you ni?”
Jika beberapa minit yang lalu, Haider mungkin mampu mengawal nada bicaranya. Namun di saat Faril merangkul lehernya erat dengan badan yang menggigil seperti ketakutan, terbang segala tembok-tembok kesabaran yang dibina.
Fathiya bangkit daripada bersila. Ketika itu juga dia menentang berani sepasang mata suaminya yang begitu jelas sedang merenung tajam ke arahnya. Tidak peduli Faril yang sedang mendakap Haider.
“Faril, pergi masuk bilik! Tidur! Esok nak pergi tadika, kan?” Suara Fathiya masih meninggi sehingga membuatkan Haider menggeleng kepala.
“You are too much. Dengan anak pun nak tengking!” Tangan Haider mengusap belakang tubuh anaknya demi meredakan ketakutan yang menyelubungi si kecil itu. Dia sempat mengucup berkali-kali tepi dahi Faril sebelum membisikkan sesuatu kepada anaknya.
YOU ARE READING
Sisa Waktu
Short Story"Takkan pernah ada sisa waktu bersamamu..." Cahaya Fathiya × Nik Haider