Bab 4

1.5K 111 21
                                    

SETELAH seminggu bercuti untuk menenangkan diri, hari ini Najla masuk semula ke pejabat. Usai bersiap dengan pakaian kerjanya, dia turun ke dapur untuk buat sarapan.

Tetapi, sebaik sahaja mata ternampak bungkusan roti di atas meja makan, terus rasa mual mencucuk anak tekak. Mujur ada botol jeruk mangga yang papa belikan dua hari lepas turut berada di situ. Laju dia membuka penutup botol jeruk. Rasa mual membuatkan dia tak selesa.

Sejak kebelakangan ini dia rasa ada perubahan pada dirinya. Pagi-pagi saja tandas menjadi tempat dia bertapa. Mengeluarkan segala isi perutnya di sana. Nafsu makan kadangkala ada, kadangkala tak ada. Tak lalu nak makan.

"Kamu mengandung ke, Lala?"

Najla yang ralit mengemam jeruk mangga terkejut tiba-tiba ditegur mama. Hampir terpelanting tutup botol yang sedang dipegangnya.

"Mama, terkejut Lala." Diurut dada yang berdebar. Dia terlupa yang mama dan papa menginap beberapa hari di rumahnya untuk menemani dia yang kini tinggal bersendirian.

Nadja diam tak beriak. Merenung lama tampang si anak yang seperti orang mengandung.

"Lala, mama rasa awak mengandung." Tekannya serius.

Najla terdiam. Tangan jatuh menyentuh perut yang masih kempis tiada perubahan. Takkanlah!

"Tak mungkinlah, mama."

"Kenapa tak mungkin? Kau orang berdua tak bersama dah lama?"

Soalan tanpa tapisan mama buat Najla rasa tercekik biji buah mangga! Terus kejung dia di situ.

"Er..."

"Er... Er, apa? Ada tak bersama sebelum berpisah?" Sergah Nadja.

"Er... ada bersama." Pipi yang tak gatal digaru serba tak kena. Merah padam mukanya menahan malu.

"La... normal la tu suami isteri. Jadi, sekarang mama yakin kamu mengandung. Jom pergi check-up."

"Nantilah. Lala nak masuk ofis dulu."

"Keras kepala!" Bebel Nadja. Geram dengan Najla yang degil dan mengikut kepala sendiri. Ikut sangat perangai papanya si Ean tu.

"Bukan Lala tak nak pergi. Cuma, hari ni busy. Takkan nak minta cuti lagi." Pujuk dia. Jeruk mangga kembali digigit-gigit.

"Tak elok makan benda berasid macam tu dengan perut kosong, Lala."

"Lala dah lambat la, mama. Lala pergi kerja dulu, ya."

"Tengok tu nak lari!" Marah Nadja bila Najla tarik tangan dia untuk bersalam.

Mencicit Najla lari keluar mendapatkan keretanya.

Dalam diam dia terasa berdebar-debar. Betul ke dia mengandung? Setelah tiga tahun menanti, pada saat mereka telah berpisah pula Allah berikan anugerah ini.

:

:

Enjin kereta dimatikan setelah keretanya selamat terparkir di basement. Bibir tersenyum nipis melihat kereta Chad yang terparkir di sebelah keretanya.

Cepat pula lelaki itu hari ni. Selalu tu susah nak suruh bersiap untuk pergi bekerja. Masih suka bermalasan di atas katil.

Tiga tahun bersama membuatkan dia faham benar dengan perangai Chad yang terlalu sukakan katil. Asal ada waktu terluang di rumah, Chad hanya akan terbaring di atas katil sambil membaca buku.

Betapa introvertnya Chad, sampai susah mahu diajak keluar. Najla perlu merayu-rayu baru Chad nak ikut.

Mengingatkan semua itu, membuatkan rasa rindu kembali mencengkam dada. Tersenyum nipis menahan rasa sebak.

Sedar yang dia dah terlambat, bergegas dia mengambil beg tangan dan keluar dari kereta.

Sempat matanya mengerling buat kali terakhir kereta Chad. Bak kata orang, dapat lihat barang empunya tubuh pun dah boleh buat hilang rindu. Dah buat bibir tersenyum.

Ketika mahu masuk ke dalam lif, hampir saja dia terlanggar seseorang. Mujur si jejaka terlebih dahulu bergerak ke tepi mengelak daripada bertembung dengannya.

"Sorry." Gumam Najla seraya mengurut dada. Dengan riak kosong dia berdiri di samping lelaki yang hampir dilanggarnya tadi. Masih terkejut kerana kakinya boleh pulak terpeleot di depan orang. Malunya.

"Awak selalu careless."

Eh! Najla berpaling melihat ke sisi. Terbeliak mata dia.

"Chad!"

Nada terkejut Najla membuatkan Chad tersenyum nipis. Macam dah lama pula mereka tak jumpa.

Najla terpanar. Chad nampak ceria pagi ini walaupun tubuh itu nampak sedikit susut. Najla kembali merenung pintu lif yang tertutup rapat. Tidak mahu terus menatap wajah yang sentiasa mengisi ruang hatinya.

Sia-sia saja dia bercuti selama seminggu. Kononnya mahu menenangkan diri, sudahnya baru hari pertama bekerja dah jumpa orang yang memporak-perandakan hati.

"Lama awak cuti," tegur Chad dengan gaya santai. Siap tangan berpeluk tubuh sambil memerhati nombor lif yang bertukar.

Najla hanya diam. Berkerut dahi dia memikirkan perubahan Chad. Dulu beku amat. Sekarang nak jadi ramah-tamah pula?

"Sejak bila banyak cakap ni?" Sinis Najla menyoal. Rasa geram kerana Chad nampak bahagia tanpa dia. Kenapa ketika dia ada di sisi Chad, lelaki itu tidak melayannya seperti ini. Kalaulah dari dulu Chad begini, pasti mereka berdua bahagia bersama.

Chad ketawa kecil. Menyeringai sambil menggaru pelipis yang tak gatal.

"Awak bahagia kan tanpa saya?" Deram Najla sebal. Chad siap boleh ketawa! Oh, Tuhan.

"Ehem!" Chad berdeham kecil membetulkan suara.

"Chad, saya ingat perpisahan itu dah terlalu menyakitkan. Tapi, melihat awak bahagia tanpa saya di sisi awak lebih sakit rupanya. Nampak sangat awak tak cintakan saya! Awak bahagia kan saya dah tak ganggu awak lagi? Saya ni annoying bagi awak." Marah Najla.

Ting! Pintu lif terbuka. Laju saja Najla mahu berlalu keluar dari situ. Mata mula bergenang mahu menangis. Terkilan kerana bukan dia yang mampu membahagiakan Chad.

"Lala!"

Najla berhenti melangkah, berpaling memandang Chad yang sedang menahan lif dari tertutup.

"Girl, I'm sorry if I made you feel I didn't love you. And I'm terribly sorry I'm not good enough." Ucap Chad perlahan dengan riak bersalah.

Setitik air mata yang jatuh ke pipi dikesat Najla kasar.

"Awak tak cintakan saya, Chad." Najla pegang dadanya yang sakit mahu mengakui kenyataan itu. Selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan. Dia yang beria-ia mahukan Chad. Air mata yang tadinya hanya setitik sudah banjir menuruni pipi.

Chad raup wajahnya kasar. Lain yang dia niatkan lain pula yang jadi. Sesungguhnya dia memang selalu gagal mahu meluahkan perasaannya.

"Lala... bukan saya tak cinta. Kalau tak cinta kita tak kahwin," pujuk Chad lembut. Tangisan Najla buat dia rasa teramat bersalah. Apatah lagi ramai staf yang mula memandang pelik mereka berdua ketika itu.

"Awak ceraikan saya dengan mudah. Awak biarkan saya pergi." Tersedu-sedan Najla bersuara. Dia dah tak peduli rupanya jadi macam mana pun. Dia dah tak peduli pada pandangan rakan sekerja kerana hatinya dah terlalu sakit untuk terus memendam.

"Perpisahan bukan bererti berhenti mencintai. tetapi berhenti menyakiti. Saya lepaskan awak untuk awak bahagia."

"And I'm not happy." Tekan Najla tegas sebelum berpaling pergi dari situ. Tidak sanggup lagi terus memandang Chad.

Takdirku Bukan Denganmu [c]Where stories live. Discover now