Bab 6

1.5K 105 12
                                    

Selesai urusan check-up dengan doktor kandungan, dia terus menapak ke kafe hospital. Lapar kerana sejak pagi tadi masih belum menjamah makanan.

Kalau dia makan awal pun, pasti nanti rasa mual melanda. Sudahnya segala makanan yang masuk akan keluar semula.

Najla usap perutnya yang mula kelihatan. Tak sangka kandungannya dah nak masuk empat bulan. Kalaulah Chad ada....

Dia tak berkesempatan lagi berjumpa dengan lekaki itu. Chad pun tak masuk pejabat dah lama. Mahu pergi ke rumah keluarga Chad, dia rasa segan. Mahu menghubungi lelaki itu pula dia rasa ego. Patutnya Chad yang cari dia. Tapi nampaknya lelaki itu baik-baik saja tanpa dia.

Sedih. Tapi Najla pura-pura tenang dan kental. Rindu. Tapi segala rasa itu hanya mampu dipendam.

"Yang awak nak beli banyak-banyak ni kenapa? Chad mesti tak makan semua ni."

Najla terkaku sebaik sahaja mendengar nama Chad disebut seseorang. Pantas dia berpaling ke kanan dan di depan kaunter kafe ada pasangan suami isteri sedang bertingkah tentang makanan.

"Ibu? Abah?" Terkelip-kelip mata Najla. Segera dia menyudahkan minumannya dan bingkas bangun mendapatkan bekas mentuanya itu.

"Tapi, Chad dah lama tak makan nasi. Saya risau dia makin sakit."

"Kalau awak sua pun dia tak lalu nak makan. Baik awak belikan bubur saja. Dia kena makan makanan yang lembut."

Semakin hampir dia mendekati pasangan itu, semakin berkerut dahi dia mendengar butir bicara mereka.

Chad sakit apa?

Belum pun sempat dia menegur, pasangan itu terlebih dahulu bergerak meninggalkan kaunter bayaran. Dalam diam Najla mengekori dari belakang sehinggalah dua tubuh itu menghilang ke dalam satu bilik.

Lama dia menunggu di luar wad persendirian itu. Tali beg tangan yang bersilang di tubuh diramas-ramas kegelisahan.

"Kenapa Chad dekat sini? Ya Allah..."

Najla hanya diam berdiri di situ saat ibu dan abah Chad keluar dan pergi ke arah bertentangan.

Dengan langkah teragak-agak dia merapati pintu wad yang tertutup rapat.

Nafas ditarik dalam agar dia bertenang. Meratib dalam hati yang Chad hanya demam biasa.

Tombol pintu ditarik dan dengan pergerakan paling perlahan, daun pintu dikuak.

Najla tergamam. Bergetar bibir dan tangannya ketika itu. Mata mula berbalam-balam menakung air hangat.

"Chad?" Suara Najla terketar menahan sebak seiring dengan deru nafas yang mula berubah kasar menahan rasa sesak di dada setelah melihat keadaan bekas suaminya itu.

Saat mendengar suara Najla, Chad yang sedang terbaring sambil melelapkan mata itu berpaling ke arah pintu.

"Lala." Nada Chad seperti orang kelegaan saat menyeru namanya. Seperti Chad memang menanti dia di situ. Dan hari ini baru dia datang.

Air mata Najla menitis jatuh ke pipi. Tak mampu menahan rasa sebak mendengar suara Chad.

Ya Allah rindunyaaa... Aku rindu dia, Ya Allah.

Najla pegang dada. Nafasnya terasa sempit. Sakit.

Dan seperti biasa... Walau bagaimanapun keadaan lelaki itu, pasti Chad akan tersenyum setiap kali mereka bertentang mata. Cuma kali ini senyuman Chad tak berseri seperti biasa. Senyuman Chad sendu.

Baru tiga bulan mereka terpisah. Tapi, kenapa berbeza benar Chad di depannya ini?

"Chad... " Najla menangis sambil ditepuk-tepuk dada yang sempit.

Takdirku Bukan Denganmu [c]Where stories live. Discover now