Seorang wanita berwajah jangkung sedang berdiri di hadapan mereka, pelajar tahun pertama. Semua kelihatan takut dan berdebar-debar melihat wajahnya yang galak. Mereka diarahkan untuk mengikutinya ke ruang kosong yang kecil di tepi dewan yang Harry yakin semua pelajar sedang berada di sana.
"Selamat datang ke Hogwarts. Saya Profesor McGonagall, guru Transfigurasi kamu di Hogwarts." Suaranya jelas dan mantap, memberi kesan mendalam pada setiap pelajar.
"Sebelum kamu ke Dewan Besar, kamu semua akan disisihkan ke empat asrama iaitu Gryffindor, Hufflepuff, Ravenclaw dan Slytherin...." lanjutnya lagi.
"Aku harap aku di Gryffindor. Semua adik-beradik aku di sana, kau tahu." kata Ron yang berada tepat di sisi Harry yang tekun mendengar pengumuman yang disampaikan oleh guru mereka itu.
"Habislah kalau aku berada di Slytherin... mereka akan ketawakan aku." lanjut Ron sambil menundukkan wajahnya murung. Harry yang mendengar perkataan Slytherin langsung memandang Ron.
"Teruk sangat ke berada di Slyherin?" tanya Harry.
"Apa yang aku tahu, semua ahli sihir jahat berada di asrama Slytherin. Aku yakin Malfoy mesti akan dimasukkan ke sana juga. Kau tengok ajelah keluarganya, semua berada di asrama itu. Sombong, berlagak... macam merekalah yang paling bagus dengan status darah murni mereka itu." jawab Ron dengan ketus.
Harry langsung terdiam. Ron nampaknya memang tidak suka apa-apa hal yang berkaitan dengan Slytherin. Harry mula risau, bagaimana kalau dia dimasukkan ke asrama itu? Adakah Ron tidak akan mahu berkawan lagi dengannya?
"... Saya akan tinggalkan kamu sementara di sini dan akan kembali jika kamu sudah sedia. Sila tunggu dan jangan buat bising." kata Profesor Mcgonagall lalu berjalan meninggalkan ruangan.
Harry tahu bukan hanya dia yang berasa gelisah, pelajar-pelajar lain juga begitu. Dia melihat Hermione Granger yang berkumat-kamit mulutnya melafazkan mantera yang Harry sendiri belum pernah mendengarnya. Dia juga memandang Ron yang terlihat cemas sambil cuba meniru Hermione dengan melafazkan beberapa mantera. Lalu, pandangannya teralih ke arah Draco Malfoy. Budak lelaki itu tidak kelihatan sedikitpun gugup di raut wajahnya. Dia hanya bersandar di dinding sambil melipat tangan di depan dada. Mata mereka bertembung, dan Harry merasakan suatu ketegangan yang aneh.
Pada ketika itu, pintu ruangan terbuka luas dan Profesor McGonagall kembali. Harry segera mengalihkan pandangannya, begitu juga Draco.
"Sila berbaris dan ikut saya." arahnya kepada pelajar-pelajar tahun pertama. Mereka berjalan mengikuti guru itu ke Dewan Besar.
Sebuah pintu besar terbuka luas di hadapan mereka, memperlihatkan suasana yang megah. Di dalamnya, terdapat semua pelajar dan guru yang sedang berkumpul. Harry bersama pelajar tahun pertama berjalan memasuki dewan itu. Mereka berjalan ke hadapan lalu menghadap pelajar-pelajar lain yang sedang duduk menatap mereka sementara guru-guru berada di belakang.
Profesor McGonagall meletakkan sebuah topi usang yang buruk di atas sebuah bangku berkaki empat di hadapan dewan. Harry fikir mereka akan menggunakan topi itu untuk membuat silap mata seperti mengeluarkan arnab di dalamnya, namun topi itu mula munculkan robekan seperti mulut dan mula bernyanyi. Selesai selesai, upacara penyisihan pun bermula.
Satu persatu nama dipanggil, Harry mula panik. Di asrama mana dia akan berada? Nama Hermione dipanggil dan dia berada di asrama Gryffindor. Harry melihat Draco yang berjalan ke bangku kosong itu setelah namanya dipanggil. "SLYTHERIN!!" teriak si topi begitu ia menyentuh kepala Draco. Budak lelaki itu terus bergabung di meja Slytherin yang sedang bersorak ke arahnya.
"Aku dah agak, dia pasti berada di asrama tu... sesuai sangatlah." bisik Ron kepada Harry.
"Aku harap kita berdua berada di asrama yang sama." kata Harry kepada Ron yang juga bersetuju dengannya.
YOU ARE READING
Harry Potter (Bayangan Hogwarts)
AdventureBagaimana jika Harry Potter, Ron Weasley, dan Hermione Granger menjadi sahabat dengan Draco Malfoy, seorang ahli sihir berdarah murni? Ikuti petualang Harry Potter bersama tiga rakannya dalam menumpas kuasa jahat, si raja kegelapan. - Semua karakter...