Hampir pukul 12 malam, abah dan Joe sampai ke rumah. Dari tingkap biliknya Emily dapat melihat lampu kereta. Emily berlari turun ke tingkat bawah untuk mendapatkan maklumat terkini.
Pulangnya abah dengan baju yang lembab. Dia kelihatan penat, tapi bersemangat. Bayang Joe tidak kelihatan.
"Macam mana, abah? Dah boleh lalu ke?" Emily menerjah abah dengan soalan yang satu itu.
Abah menggeleng.
Maknanya, esok, dia tak dapat pulang ke Kuala Lumpur?
"Teruk jambatan tu. Tak boleh dibaiki dah, dah hanyut air. Kena buat baru. Tadi pun ada kereta yang hampir jatuh ke dalam sungai."
"Ya Allah! Selamat ke dia?"
"Hah, itulah. Nasib baik kami datang awal. Bolehlah tolong tarik kereta tu sebelum bomba sampai."
"Kenapa lambat sangat bomba sampai?"
"Jem teruk katanya. Ada pokok jatuh yang menghalang jalan." Abah menggeleng-geleng. "Teruk ribut tadi. Hujan pun lebat."
Umi sudah sampai ke pintu, terus mendapatkan abah.
"Som... tolong bawakan saya tuala."
Tidak lama kemudian Hajjah Kalsom muncul di pintu, tangan penuh dengan tuala dan kain. Sehelai tuala berwarna biru dan sehelai kain pelikat dihulurkan kepada Haji Kamil.
"Abang buat apa kat sana? Lencun dah ni?"
"Hujan sekejap tadi."
"Tak perasan pula hujan. Lebat ke?"
"Takla lebat. Hujan hambat orang tua je... tapi dah bercampur dengan peluh ni." Haji Kamil telah menanggalkan baju Melayu Johor yang dipakai."Mana adik? Dia tak balik lagi ke?"
"Apa dia umi?" Tiba-tiba suara yang garau berbunyi di dalam gelap.
Eh, dia dah ada kat situ sejak tadi ke? Emily tak sedar langsung! Kebetulan lampu porch mati pula malam ini, tinggal lampu-lampu yang kecil yang berada di pagar sahaja yang menyala. Tiba-tiba sahaja.
Dalam kesamaran, Emily nampak Joe yang sudah tidak berbaju, sedang berdiri beberapa kaki dari mereka. Mungkin bajunya pun sudah basah. Dia hanya berseluar jeans biru gelap, yang melekat di pinggulnya dengan seksi.
"Nah, tuala. Cepat naik! Mandi, tukar baju!"
Umi mengarah Joe seperti mengarah anak kecil sahaja. Joe masih lagi seorang 'adik' kepada umi dan abah biarpun dia sudah besar panjang dan sepatutnya sudah berkeluarga.
Tuala yang berwarna putih bersih dihulur kepada Joe. Baju-T berwarna putih yang bergumpal di tangan diletak di atas anjung vila. Dalam selamba, Joe menukar seluarnya yang basah di hadapan Emily. Emily berpura-pura tidak melihat.
Dalam beberapa saat sahaja Joe sudah bertuala di pinggang. Ah, sama ada bertuala di pinggang atau berseluar jeans, lelaki itu tetap mengiurkan. Emily pusing kepala ke arah umi, berbual-bual kosong dengan mentuanya. Segan untuk memandang dada Joe yang seksi dengan lekuk-lekuk yang pejal lama-lama.
"Abah cakap jambatan runtuh. Jadi... kamu tak jadi balik KL esok?"
Pertanyaan umi itu buat Emily menoleh ke arah Joe. Dia langsung tak tahu yang Joe juga merancang untuk tinggalkan kampung pada esok hari. Tapi, dia memang dah agak, Joe tak akan betah untuk tinggal lama di kampung.
Manalah dia larat nak tengok kerbau dan sawah padi setiap hari. Malam yang hening tanpa manusia berjoget? Tak ada perawan yang kuku panjang bercat dan pakai baju tak cukup kain? Yang ada, makcik-makcik dengan baju kurung Kedah dan tudung sarung. Anak gadis yang polos rupa parasnya yang senyum malu-malu kucing.
"Nak balik macam mana umi? Mana ada jalan lain lagi?"
"Elok jugalah kamu ada kat sini. Duduk sorang-sorang kat KL tu pun, bukan kamu boleh buat apa pun..."
"Adik kerja umi." Joe mengingatkan umi bahawa dia juga bekerja. Ada kerja. Bukan hidup berpoya-poya sahaja.
"Alah... kerja kamu kan, boleh buat dari sini?" Umi berkata. "Kamu bukan ada anak bini pun kat sana."
Joe tidak menjawab bebelan umi. Jika dijawab, akan bertambah panjang. Joe sudah memanjat tangga, lalu berhenti di anjung. Dia nyalakan puntung rokok. Termenung panjang, memandang di kejauhan sambil menyedut rokok
YOU ARE READING
LOCKDOWN WITH BAD BOY
RomanceJoe Aryan yang bekerja di New York pulang untuk bercuti di kampung telah tersekat di rumahnya apabila PKP diumumkan. Tanpa disangka, Emily juga berada di kampung. Emily, bekas kakak iparnya itu, bukan sekadar kakak ipar. Ada cerita pedih yang mengha...