Berita yang didengar tadi amat mengejutkan. Beg telah siap dikemas. Almari pakaiaannya telah dikosongkan kerana esok dia bertolak ke Kuala Lumpur. Pakaian anak-anak juga sudah siap di dalam beg.
Nasi yang separuh jalan ke mulut tidak jadi masuk ke mulut.
Jalan tutup?
Ribut?
Bila?
Abah sedang bercakap dengan seseorang di telefon. Rupanya serius.
"Adik... teman abah ke depan jap."
"Nak pergi mana, bah?"
"Kat jalan depan. Jambatan runtuh. Ada kereta yang tersekat."
"Tak panggil bomba ke bah?"
"Dah panggil, tapi abah nak pergi tengok," kata abah sambil tergopoh-gapah mengambil kunci kereta.
Abah memang bersungguh jika ia melibatkan hal rukun tetangga kampung mereka. Biarpun umur menginjak tua, abah masih lagi bersemangat, mengalahkan orang muda.
"Som! Tolong ambil lampu suluh!"
Terkedek-kedek Hajjah Kalsom datang bersama dengan lampu suluh di tangan. "Hati-hati, bang. Awak tu... bukannya sihat sangat." Hajjah Kalsom berpesan dengan nada bimbang.
Hujan baru sahaja reda sejak hujan lebat petang tadi. Hujan yang disertai dengan angin ribut yang boleh menerbangkan atap rumah, disertai dengan kilat dan petir, sangat menakutkan.
Tidak hairan jika air sungai melimpah. Jambatan pula runtuh.
"Saya pergi dengan adik. Awak tutup pintu ni, saya bawa kunci."
Haji Kamil, biarpun sudah berumur 63 tahun, dia masih lagi aktif dan bersemangat dengan aktiviti penduduk di kampung itu. Apabila terdapat hal kecemasan, dia antara orang pertama yang akan tiba di tempat kejadian.
"Hati-hati bang..." Hajjah Kalsom berpesan lagi. "Adik! Tengok abah tu. Jangan biarkan sangat dia buat itu ini!"
"Don't worry umi. Adik pastikan abah balik dalam keadaan baik."
"Hish, budak ni!" Hajjah Kalsom menepuk lengan anaknya yang selalu sahaja selamba begitu.
"Adik jaga abah, umi pergi tidur," Joe meyakinkan Hajjah Kalsom dengan nada suara yang lebih lembut dan lebih meyakinkan.
Usai menutup pintu, Hajjah Kalsom duduk termenung panjang di meja makan.
"Jambatan mana yang runtuh tu umi?"
"Jambatan mana lagi? Jambatan yang nak ke bandar itulah!"
"Yang tu?" Emily baru tersedar akan sesuatu. "Allah... macam mana nak balik esok?" Dahinya sudah berkerut. Jika dia tak pulang ke Kuala Lumpur esok hari, dia tak akan dapat pulang sehinggalah dibenarkan kelak kerana apabila PKP dilaksanakan, mereka sudah tidak dibenarkan untuk melintas negeri lagi.
"Tak tahulah umi. Kita tunggu abah kamu balik dulu."
Esok, dia perlu pulang ke Kuala Lumpur. Hari keesokannya, akan bermula cara baru bekerja iaitu bekerja dari rumah, atau lebih popular dengan 'work from home' di kalangan penduduk Kuala Lumpur.
Anak-anaknya pula akan memulakan sesi pembelajaran di rumah secara atas talian.
"Tak pernah jadi macam ni..." tutur Hajjah Kalsom perlahan. "Jambatan tu, hujan ke... ribut ke... tak pernah patah atau runtuh. Mungkin angin kuat sangat petang tadi..."
"Umi... biar Em yang kemas. Umi nak rehat dulu, rehatlah."
"Baiklah. Umi risau kat abah kamu tu."
"InshaAllah tak ada apa-apa kut... Joe ada," kata Emily, sengaja ingin menyedapkan hati ibu mentuanya.
Jujur cakap, dia pun tidak tahu sama ada Joe dapat diharapkan untuk menjaga ayah mentuanya atau tidak. Tapi sekarang ini, hanya Joe harapan mereka.
YOU ARE READING
LOCKDOWN WITH BAD BOY
Storie d'amoreJoe Aryan yang bekerja di New York pulang untuk bercuti di kampung telah tersekat di rumahnya apabila PKP diumumkan. Tanpa disangka, Emily juga berada di kampung. Emily, bekas kakak iparnya itu, bukan sekadar kakak ipar. Ada cerita pedih yang mengha...