Bab 1

42 1 0
                                    

" Kesibukan adalah pengorbanan hidup untuk si sederhana"

     Hamra memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah. Kasutnya ditanggal dan diletakkan elok-elok di atas tempat susun kasut. Jam menunjukkan jam 6.20 minit petang. Dia cepat-cepat meluru kebiliknya dan membersihkan diri serta menunaikan solat Asar memandangkan waktu Maghrib bakal mengetuk senja.

     Selesai menunaikan solat, dia mengeluarkan sejumlah wang bernilai RM700 dan dimasukkan ke dalam sampul surat. Dengan memakai telekung, dia melangkah menuju ke bilik ibunya yang berada selang dua bilik dari biliknya.

     " Assalamualaikum.", Hamra memberi salam. Kedengaran mesin jahit ibunya rancak berbunyi dari luar bilik. Dia menguak pintu bilik ibunya.

     " Waalaikumussalam. Bila kak long balik?", soal makcik Afrah. Badannya yang sedikit bongkok dek kerana terlalu lama menjahit mencuba untuk beralih ke arah Hamra. Hamra santai berjalan.

     " Pukul 6.20 tadi sampai rumah. Asar dah nak habis. Tu kak long solat dulu tadi, tak cari ibu dulu. Ibu buat apa?", Hamra menyoal ibunya pula.

     "Ni, jahit anak patung untuk mesin tu la. Kejap lagi nak sambung jahit baju orang tempah pulak. Lewat sikit ibu tidur malam ni.", Jawab Makcik Afrah sambil bahunya menikmati picitan-picitan dan urutan kecil yang Hamra lakukan.

     "Oh... Ni, bu. Gaji bulan ni.", Hamra mengeluarkan sampul surat berwarna coklat dari dalam poket seluar treknya lalu dihulurkan kepada makcik Afrah. Ibunya menyambut hulurannya perlahan. Kemudian, dia mengira jumlah duit dalam sampul surat tersebut.

     " Banyak ni. Duit belanja untuk bulan ni cukup tak untuk kak long?", Ibunya bersyukur dengan pemberian itu tetapi pada masa yang sama risau jika anak sulungnya tidak cukup belanja pada bulan itu. Sudahlah dirinya memang sudah tidak mampu memberi duit belanja pada anak sulungnya ini setelah Hamra mula bekerja.

    " Inshaallah cukup. Kak long buat OT (over time) banyak bulan ni. Adni dengan Adra nak pakai duit belanja dekat asrama tu. Bekal makanan lagi, biskut-biskut semua. Tu bagi ibu lebih.", kata Hamra sambal berbaring di katil bersaiz queen, bersebelahan mesin jahit ibunya. Dia memeluk adik bongsunya, Firas yang nyenyak tidur di atas katil ibunya.

     Seketika, dia terlena Bersama adiknya, menyertai Firas dalam kembara mimpi.

     " Kak long, oh kak long. Bangun. Masuk tidur dalam bilik. Tidur elok-elok.", kejut makcik Afrah.

     Hamra bangun dengan matanya terpisat-pisat. Badannya terasa lesu dan berat dek kerana terlalu penat. Dia mengerling ke jam dinding di bilik ibunya. Lagi sepuluh minit untuk jam menunjukkan sebelas malam. Seingatnya, dia masih tidak solat Isya' lagi.

     Dia berjalan keluar dari bilik ibunya. Dibuka telekung yang tersarung di kepalanya dan disidainya di bahu sofa. Kakinya melangkah ke bilik air untuk memperbaharui wudu'nya semula.

     Hamra melangkah keluar dari bilik air dan terserempak dengan Hayyan, adiknya yang kedua yang baru balik dari kerjanya. Hayyan bekerja di KFC untuk sementara waktu selepas habis menduduki SPM dan sambil menunggu keputusan SPM keluar.

     " Baru balik Yan?", tanya Hamra sepintas.

     " Ha, long. Macam biasalah. Kena bersih-bersih dulu. Makan dah, long?', Hayyan membalas pertanyaan.

     " Aku ngantuk sangat ni. Makanlah dulu, Yan. Ibu ada tu tinggal lauk kat dapur. Aku nak pergi solat Isya' lepas tu nak terus tidur. Sebulan full buat OT, barai badan. Kau makan dulu, Yan.", kata Hamra sambil menyarungkan kembali telekung ke kepalanya.

     Dengan Hayyan, dia tidak begitu mementingkan pangkatnya sebagai seorang kakak. Dia lebih selesa ber'kau-aku' dengan Hayyan. Lagipula Hayyan anak kedua, lelaki . Ke mana-mana, untuk urusan penting, jika dia tidak seorang, dia akan pergi dengan Hayyan kehulu-kehilir menaiki bas dan LRT. Senangnya banyak dengan Hayyan, susahnya juga banyak dengan Hayyan. Walaupun umurnya 18 tahun, gayanya tidak ubah seperti seorang penjaga kepadanya. Terkadang, dia seperti seorang abang kepada Hamra.

     Hayyan hanya mengangguk dan segera masuk ke biliknya. Mahu membersihkan dirinya sebelum membenarkan mulutnya menjamah makanan.

     Hamra melangkah masuk ke biliknya dan terus menunaikan kewajipannya sebagai seorang Muslim. Dia cuba solat dengan tenang dan tidak tergesa-gesa walaupun kakinya merayu untuk menyerah. Tapak kakinya terlalu sakit kerana seharian dia bekerja berdiri sebagai cashier. Bahu dan seluruh lengannya berasa sengal-sengal kerana terlalu banyak bergerak mengangkat barang-barang untuk di'scan'.

     Dia menyelesaikan wiridnya dengan ringkas. Tidak mahu dipandang sombong oleh Tuhannya kerana selepas solat terus lari tidak memuji-Nya, dia menggagahkan diri berdoa tidak melulu dan dengan tulus.

     Hamra bangun dari duduk dan merebahkan diri di atas katil. Lagi sekali, dia belayar di dunia tidak bertepi bersama jutaan manusia lain yang turut belayar di zona selesa masing-masing.

Mutiara Kata

Kesabaran itu ada dua jenis: sabar atas sesuatu yang tidak kau ingin dan sabar menahan diri dari sesuatu yang kau ingini. – Ali bin Abi Thalib

NADI, SAMBUT CINTAKUWhere stories live. Discover now