Bab 3

5 1 0
                                    


ARIA GRAHA, Soekarno Hatta, Bandung adalah kompleks perumah mewah. Di daerah inilah aku sedang menetap.

Anak orang kayakah aku? Atau, aku seorang usahawan berjaya sehingga aku mampu menginap di sini? Hmm... Orang kaya jenis apa aku jika hanya mampu menggaji seorang pembantu rumah dan hidup dalam kekosongan begini?

Aku mengintai halaman melalui jendela bilik. Di halaman rumah aku juga kosong. Tiada sebuah kereta atau motosikal pun yang terparkir di kawasan halaman.

Ting!

"Kereta?" Mata aku terbeliak. Bergegas aku turun dari bilik yang berada di tingkat tiga lalu menuju ke tingkat satu.

"Tante! Tante!" Langkah terus diatur ke ruang dapur. Tante Ruby tiada di situ. Aku menuju pula ke ruang depan. Juga tiada. Aku beralih ke ruangan yang lain. Ah... rumah ini terlalu besar. Terlalu banyak ruang dan bilik.

Dari lapan buah bilik yang ada di tingkat dua dan tiga, hanya ada dua bilik sahaja yang tidak berkunci. Bilik tidur aku dan sebuah lagi bilik yang lebih tepat jika aku katakan, sebuah studio lukisan. Banyak perkakas untuk melukis yang terdapat di dalam bilik itu. Tapi sayangnya, tiada satu pun lukisan yang ada di situ.

Apabila aku bertanya pada Tante Ruby berkenaan kunci bilik-bilik yang lain, dia hanya mengangkat bahu dan beritahu yang dia tak tahu apa-apa. Katanya, semua kunci di rumah itu, aku yang simpan. Dan aku pula, walaupun sudah puas mencari kunci-kunci itu di setiap sudut rumah, tapi aku tetap tak jumpa.

"Tante! Tante!" Aku terus menerus memanggil nama Tante Ruby.

"Iya, non!" Baru aku terdengar suaranya menyahut. Kemudian, terlihatlah kelibat dia yang terkocoh-kocoh mendekati aku.

"Tante ke mana?"

"Ngak ke mana-mana, non. Tante lagi nyiram pokok di luar. Ada apa, non? Non lapar ya? Mahu makan?"

Aku memerhati Tante Ruby. Tangannya tidak basah dan pakaiannya tiada tanda percikan air. Malah, dia sedang memegang telefon. Mencurigakan!

"Tak, bukan. Saya tak nak makan. Saya cuma nak tanya pasal kereta," jelasku.

"Kereta?" Dahi Tante Ruby berkerut. Mata hitamnya naik ke atas.

"Ya, kereta!"

"Apa ya maksud non? Tante ngak ngerti kok." Tante Ruby menggaru tepi telinga. Aku menepuk dahi.

"Err... Maksud saya, mobil. Saya kemalangan. Mobil saya terlanggar... Err... tabrak pokok tumbang, kan?" Lintang-pukang bahasa yang aku gunakan.

"Oh... iyaaa. Benar!" Tangan kanan Tante Ruby menumbuk tapak tangan kiri apabila dia sudah mengerti maksud aku.

"Mana mobil saya, tante?"

"Mobil? Err... Aduh non, tante ngak tahu." Dia mula gelabah.

"Tak tahu?" Aku menghela nafas panjang. Tiba-tiba aje terasa angin marah naik di kepala. "Asal saya tanya aje, tak tahu, tak tahu, tak tahu! Semuanya tante tak tahu. Kalau betul tante dah lama bekerja dengan saya, tentu tante tahu banyak perkara!"

"Ampun, non. Tante memang ngak tahu. Tante cuma tahu apabila pak polisi bilang sama tante yang non kecelakaan." Dia tertunduk.

Aku terduduk di sofa. Dua tangan sudah memegang kepala sambil tertunduk memandang lantai. Kalau Tante Ruby pun tak boleh nak tolong aku, siapa yang dapat tolong aku sekarang ni? Ya Allah... Tolonglah hantar seseorang yang dapat membantu aku.

Novel Persis Oleh Ema DeesyiaqisWhere stories live. Discover now