DARI jendela aku dapat melihat Ilham yang berada di halaman. Ke hulu, ke hilir langkah dibawanya dengan telefon melekap di telinga.
Hati gelisah memikirkan Ilham dan apa tujuannya datang ke mari. Apatah lagi kedatangannya hanya dengan dua keping gambar. Dalam masa yang sama juga, aku berfikir bahawa menerima Ilham adalah satu peluang baik untuk aku mencari siapa diri aku yang sebenarnya. Jika tidak, aku hanya akan terus terperangkap bersama Doktor Ferhad dan Tante Ruby. Tapi aku kena berhati-hati.
Trust no one, Clemira!
Tirai ditutup. Aku merenung gambar yang diberikan oleh Ilham tadi. Foto Ilham bersama aku dan kembarku menjadi fokus saat ini. Di belakang foto itu tertulis tiga nama, Cle, Ayra dan Ilham bersama tandatangan dan emoji lucu di hujung setiap tandatangan.
"Hai sayangku... Hari ini aku syantik... Syantik bagai bidadari... Bidadari di hatimu."
Perhatian aku beralih apabila telefon yang dihadiahkan oleh Doktor Ferhad dan kakitangan hospital berbunyi, menyanyikan sebuah lagu dangdut. Baru pagi tadi aku tergerak hati untuk aktifkan telefon dan cas baterinya.
"Dangdut? Euuww..."
Aku mencapai telefon yang ada di atas meja tepi. Nama Doktor Ferhad tertera di skrin. Terus kata-kata Tante Ruby tentang hubungan aku dengan Doktor Ferhad berlegar di fikiran. Sungguh, aku masih tak boleh terima dan hadam perkara itu. Patutlah layanannya terasa istimewa.
Aku menyimpan telefon di dalam laci. Langsung tak ada keinginan untuk menjawab panggilan itu. Aku bergerak turun dan mencari Tante Ruby di tingkat bawah.
"Tante." Aku mendekati Tante Ruby yang sibuk menyiang ikan di singki.
"Eh, non. Ngapain lagi di sini? Non lapar ya?"
Eh... Tante Ruby ni pun satu. Asal aku cari dia aje, mesti dia ingat aku lapar.
"Kenapa tante tak pernah beritahu saya apa yang tante beritahu Ilham tadi?" Peti sejuk aku buka lalu mencapai sebotol air putih. Aku menuang air ke dalam gelas lalu menyimpan semula botol itu di dalam peti ais.
"Agaknya, kalau Ilham tak datang, saya takkan tahu apa-apa." Aku duduk di meja kecil yang ada di ruang dapur itu.
"Kan tante udah bilang. Doktor Ferhad..."
"Sebab dia teman lelaki saya?" Aku potong kata Tante Ruby.
"Ya... Tapi, bukan itu aja, non. Karna dia juga adalah doktor yang merawat non." Tante Ruby meninggalkan kerjanya lalu menarik kerusi dan duduk di sebelah aku.
"Sampai hati tante rahsiakan daripada saya."
"Doktor Ferhad..."
"Ya...ya. Saya faham. Tapi apa yang saya tak faham, kenapa tante ikut sangat arahan Doktor Ferhad? Siapa majikan tante? Saya atau Doktor Ferhad?"
Dia tertunduk.
"Tante kenal dengan Ilham?"
Dia menggeleng.
"Tante! Kalau tante tak kenal dia, macam mana tante boleh percayakan dia?" Aku menepuk dahi. Kalau dibuatnya Ilham tu orang jahat, apa yang patut aku buat? Sudahlah aku tak ingat apa pun.
"Begini non, tante memang ngak kenal sama Pak Ilham. Tapi sewaktu non masih koma, pak polisi datang bersama polisi dari Malaysia dan wakil daripada kedutaan Malaysia. Pak Ilham juga ada bersama. Karna itu tante percayakan Pak Ilham," jelasnya.
Kalau macam tu, tentu saja keluarga aku di Malaysia telah mendapat berita tentang kemalangan yang menimpa aku. Kemudian, dia orang hantar Ilham untuk melihat aku di hospital. Sekarang ni pula, dia orang hantar Ilham untuk bawa aku balik Malaysia. Tapi, kenapa tunggu sampai dua bulan? Lama kut!
"Kalau balik Malaysia nanti, tentu saya akan ingat semua memori saya." Aku menongkat dagu. Tante Ruby tersenyum kelat.
"Kenapa? Tante tak suka saya sembuh?" Aku melirik dia dengan ekor mata.
"Bukan gitu, non."
"Habis tu? Tante macam tak suka aje."
"Tentu ajalah tante suka kalau non bisa sembuh lagi. Cuma... Kasihan sama Doktor Ferhad. Tante takut kalo non pulang ke Malaysia nanti, non ngak mahu datang ke sini lagi. Bagaimana dengan Doktor Ferhad? Pasti dia kecewa."
Kalau terfikirkan hubungan aku dengan Doktor Ferhad, lagilah aku terasa nak cepat balik Malaysia.
"Saya dan Doktor Ferhad memang saling mencintai?" soalku. Sikit pun aku tak dapat rasakan sesuatu yang bisa menggetarkan jiwa apabila bersama dengan dia. Berlainan pula dengan Ilham. Hanya dengan sekali pandang, ada getaran yang terasa. Opss... Takkanlah aku terjatuh cinta pada pandangan pertama? No way!
"Iya. Non itu sangat mencintai Doktor Ferhad. Doktor Ferhad sudah terlalu banyak berkorban selama non di sini. Dia yang selalu menjaga dan melindungi non. Non selalu bahagia di samping Doktor Ferhad," balas Tante Ruby. Aku nampak ketulusan di matanya.
"Macam mana saya dan Doktor Ferhad berkenalan?"
"Doktor Ferhad ngak benarkan tante bilang sama non." Tante Ruby tertunduk.
Setiap kali Tante Ruby berkata begitu, rasa curiga semakin bertambah pada Doktor Ferhad. Apatah lagi setelah mengetahui hubungan sebenar aku dengan dia. Kalau benar kami saling mencintai, tentu dia akan berusaha untuk pastikan aku ingat kembali. Ini tidak. Dia seakan mahu aku lupakan masa lampau.
Mungkin apa yang Doktor Ferhad cuba rahsiakan ada kaitan dengan bekas luka di bawah perut ini? Laju tangan aku menyentuh bawah perut. Jantung berdebar. Tenang, Clemira. Siapa pun kau yang dulu, kau tetap ada peluang untuk perbaiki diri. Everybody deserve a second chance.
"Kalau tante terus berahsia, sampai bila-bila pun ingatan saya takkan pulih. Macam mana kalau memori saya hilang terus? Saya akan melupakan Doktor Ferhad. Tante mahu saya tinggalkan Doktor Ferhad?"
"Ngak!" Laju dia menggeleng.
"Ayra." Pandangan aku dan Tante Ruby beralih.
YOU ARE READING
Novel Persis Oleh Ema Deesyiaqis
Mystery / ThrillerSedar sahaja dari koma, dia berada di Bandung, Indonesia. Hidup bersendiri tanpa keluarga dan kawan-kawan membuatkan dia sering tertanya-tanya kehidupan jenis apa yang pernah dilalui sebelum ini. Tiba-tiba muncul Ilham yang datang dari Malaysia. Nam...