Bab 6

4 1 0
                                    

"ARE you ready?" Sedari tadi Ilham tunduk memandang skrin laptop. Aku mengangguk. Dia beri isyarat kepala agar aku mengambil alih tempatnya. Sementara dia beralih ke sofa sebelah.

"Assalamualaikum, Ayra. Ini, abah... Yang ini, mak." Seorang lelaki berumur dengan rambut yang dipenuhi uban kelihatan tersenyum di skrin. Di sebelahnya pula kelihatan seorang wanita berumur yang ayu bertudung labuh. Senyuman di bibir mereka nampak begitu indah di mata aku.

"Waalaikummussalam." Kolam mata aku berair. Abah... Mak.

"Ayra..." Emak sudah menangis teresak-esak. Melihat tangisannya, aku turut menangis. Ilham menghulurkan sapu tangan.

Agak lama aku dan emak berendam air mata. Aku lihat abah sedang memeluk dan menggosok bahu emak. Sesekali abah juga menyapu air matanya.

"Ayra..." Setelah agak lama, barulah emak kembali bersuara.

"Mak..."

"Dah lama sangat emak tak dengar Ayra panggil 'mak'. Ayra sihat?"

"Sihat. Mak dan abah sihat?"

"Alhamdulillah. Emak rindu sangat dengan Ayra." Sesekali terdengar emak menarik nafas yang tersangkut.

"Err... Ay... Ra pun." Memang terasa kekok nak bahasakan diri dengan nama Ayra.

"Akhirnya dapat juga khabar dari Ayra. Tiga tahun, emak kehilangan anak mak." Emak menyapu air mata yang kembali mengalir.

Allah... Anak jenis apa aku ni?

"Ayra, tolong jangan tinggalkan keluarga lagi." Emak kembali teresak. Bahunya tersengguk-sengguk. Dia sudah terperosok di belakang abah.

Walaupun aku tak tahu apa yang telah terjadi sebelum ini tapi aku pasti yang aku telah melukakan hati mereka. Sebanyak mana air mata yang tumpah di pipi saat ini, lebih banyak rasa berdosa yang hadir dalam diri.

"Ayra." Kali ini, wajah abah pula mengambil alih skrin laptop. Wajah emak tak kelihatan lagi. Hanya hujung bahunya saja yang kelihatan di skrin.

"Ya, abah."

"Terlalu banyak perkara yang berlaku sejak kamu tinggalkan kami. Tapi, abah nak Ayra ingat. Apa pun yang terjadi, Ayra tetap anak abah dan emak. Abah dan emak sentiasa mahukan yang terbaik untuk Ayra. Kami sentiasa berdoa untuk Ayra."

"Terima kasih, abah." Aku mengangguk. Sebak dan terharu dengan kata-kata abah.

"Abah dapat tahu yang Ayra kehilangan memori. Ayra tentu tak ingat semua perkara yang pernah berlaku dalam hidup Ayra."

Aku mengangguk lagi.

"Tak mengapa, Ayra. Jangan terlalu mendesak untuk ingat semua perkara. Ada sesetengah perkara yang berlalu, lebih baik untuk dilupakan. Ada juga perkara yang berlaku dalam hidup kita, memori itu sangat indah andai dapat dikenang sentiasa."

"Ayra nak tahu apa yang berlaku dalam hidup Ayra." Tiba-tiba sahaja lidah aku menjadi lancar menyebut nama panggilanku.

"Semua kenangan Ayra dari kecil, Insha Allah abah dan emak akan bantu Ayra ingat kembali selepas Ayra balik Malaysia nanti. Cuma memori tiga tahun terakhir ni abah tak dapat nak bantu."

"Ayra akan tinggal dulu di sini untuk dapatkan memori Ayra yang hilang," kataku.

"Ayra dah fikir masak-masak?"

"Emm..." Aku mengangguk.

"Walaupun abah dan mak nak Ayra cepat-cepat balik Malaysia, tapi kalau Ayra dah buat keputusan macam tu, abah tak ada halangan. Lagipun, Ilham ada di sana. Tak adalah abah risau sangat."

"Terima kasih, abah."

"Sama-sama." Abah menangguk.

"Abah, boleh Ayra bercakap dengan Hana?" Keinginan hati begitu menggunung untuk melihat kembarku. Pandangan abah kaku. Lama. Kemudian, dia tertunduk sambil menggenggam kedua-dua tangannya.

"Ayra."

"Ya, bah."

"Susah abah nak terangkan. Apa yang terbaik sekarang, Ayra cari siapa diri Ayra dulu. Bila Ayra dah dapat jawapannya, balik semula ke Malaysia. Hmm?"

"Ada sesuatu yang menimpa Hana?" Tangan melekat di dada. Jantung berubah rentak. Kali ini aku pasti. Memang ada sesuatu yang buruk telah terjadi.

"Ayra, tolong faham permintaan abah tadi. Jangan tanya apa-apa selagi Ayra belum balik Malaysia." Redup mata abah memandang aku. Dengan berat hati aku mengangguk.

"Abah nak pesan sesuatu. Boleh dengar pesanan abah baik-baik?"

Aku mengangguk lagi.

"Boleh ikut semua apa yang abah minta?"

Aku mengangguk lagi.

"Abah nak Ayra percayakan Ilham. Abah nak Ayra dengar cakap dia. Biar apa pun yang terjadi, jangan buat sesuatu tanpa kebenaran dan izin Ilham. Hanya Ilham yang abah percaya." 

Novel Persis Oleh Ema DeesyiaqisWhere stories live. Discover now