1: Tak Ada Jiwa

727 60 13
                                    

"Cerita kau ni, plot dia okey. Tapi tak ada jiwa, tau tak?"

Amara yang sudah mula memejamkan mata sambil menelungkup di atas sofa mendengus kesal. "Jiwa apa yang tak ada lagi, kak? Ara ni tinggal sakit jiwa je belum, tahu?"

"Akak lagi sakit jiwa baca cerita kau!" Keluh Nurin kesal sambil mengetuk kepala Amara dengan pen stylus di tangannya.

Tatapannya dialihkan kembali pada layar boleh sentuh laptopnya. Laju Nurin menggeser layar itu, membaca ulang secara kasar manuskrip yang ditulis Amara.

Bukanlah teruk sangat manuskrip itu, tetapi sebagai penulis best-seller untuk tiga novel berturut-turut sebelum ini, jangkaan pembaca pada karya Amara seterusnya sangat tinggi.

Bukan sahaja pembaca, dalam proses penulisan sekarang, Nurin sendiri sebagai editor meletakkan expectation yang tinggi pada gadis ini. Tapi itulah, secara teknikalnya memang bagus. Setara dengan novel-novel sebelumnya.

Masalahnya kali ini Amara hendak cuba menulis cerita cinta yang penuh rama-rama, tapi ini lipas pun taknak terbang bila dia baca!

"Ke Ara buat je cerita sedih?"

"Ni la masalah kau! Aku tak faham, kau ni ada fetish suka kena maki ke apa? Suka nak matikan watak utama, bagi sad ending, lepas tu kena carut dekat review, dekat media sosial,"

"Tapi itu la yang best-selling. Orang tak ingat ending yang gembira, orang ingat yang menyakitkan hati je. Macam orang bercerai, mana nak ingat dah momen bahagia, ingat yang sial-sial je,"

Nurin menepuk dahi. Logik apalah yang budak ni pakai?

"Iyalah Ara. Gunalah modus operandi yang sama sampai bila-bila. Pakailah selagi laku. Tak payah kembangkan skil kau, explore benda lain. Selamat bersemayam di takuk lama," ujar Nurin pasrah.

"Alah Kak Nurin, janganlah putus asa dengan Ara," rengek Amara kebudak-budakan.

Selamba sahaja dia melabuhkan kepala ke riba editornya. "Kalau akak putus asa dengan Ara, Ara nak putus asa dengan siapa lagi? Tak cukup ke Ara dah berputus asa dengan diri sendiri?"

Dahi gadis itu dijentik sebelum Nurin tanpa sedar mengelus rambut panjang Amara. "Suka hati kau la nak putus ke nak sambung ke asa tu, tapi selagi tak dapat tulis cerita yang boleh hidupkan rama-rama dalam perut akak, tak payah nak datang tunjuk manuskrip cerita cinta tapi lagi kayu dari meja jati ni eh?"

"Eleh, memang tak nak datang pun. Orang emel je, dia yang suruh datang," bebel Amara, tidak begitu perlahan.

Sekali lagi dahinya jadi lapang sasar jentikan Nurin.

"Sebab aku suruh kau datang la, aku boleh buat macam ni dekat kau. Kau perlu tahu betapa frustnya aku nak habiskan baca ya,"

"Tak best sangat ke Kak Nurin? Ara sampai cari boyfriend demi nak dapat feeling tulis cerita ni. Sanggup Ara letak jawatan sebagai Presiden Kelab SSL dalam fakulti Ara,"

"Hah? Kelab apa tu?"

"Single Sejak Lahir," jawabnya sambil tersenyum lebar.

Sikit lagi Nurin nak angkat tangan jotos pula kepala Amara. Betul la, sabar itu separuh dari iman!

"Kau cari 'balak' ni, sewa ke sampai bunyi macam terpaksa sangat?"

"Balak? Wow Gen Y sungguh vocab akak. Tak ada sesiapa guna perkataan tu dah zaman sekarang."

Amara bangun dari riba Nurin sambil membetulkan rambutnya. "Pasal BF tu tak ada la sampai tahap sewa. Tapi Ara pakai kaut je la siapa yang boleh. Janji nak dapat pengalaman dating."

"So, kau tak suka pun dia?" Soal Nurin terkejut. Mahunya tidak? Tak pernah dibuat orang, bercinta untuk pengalaman. Dia ingat ini latihan industri ke, nak pengalaman?

"Tak ada la tak suka. Tapi biasa-biasa je rasa. Tak ada la rasa nak tersenyum-senyum, angau, rasa rama-rama dalam perut macam baca novel? Jadi dekat sini ada dua kemungkinan. Satu, perasaan tu semua tipu je, tak wujud dekat dunia nyata; dua, Ara yang tak sensitif pada perasaan macam tu,"

"Tiga," Nurin menarik bahu Amara supaya dia boleh tanam sebab paling jelas dalam masalah ini pada kepala penulisnya. "Kau tak cintakan dia. He's not the one,"

Amara berpaling merenung editor merangkap kakak sepupunya itu.

"Macam mana akak tahu apa yang Ara rasa? Ara sendiri tak tahu Ara cintakan dia ke tak,"

"Kau boleh bayangkan masa depan kau dengan dia? Bayangkan kau bertunang, kahwin, ada anak, menua dengan dia?"

Bibirnya digigit tanpa sedar. Memikir.

"Dengan sesiapa pun Ara tak boleh bayangkan Ara buat semua tu," jawabnya perlahan.

"Sebab tu akak cakap, kau tak cintakan dia!"

"Tapi, we've been dating just fine?"

Nurin mengangkat laptopnya di atas meja. "Ni bukti you didn't date just fine. Kosong, tak ada jiwa,"

Ekspresi defensif Amara berubah kendur. Pening hendak memproses hujah yang dihidang Nurin. Bercinta, memang kena rasa ke semua tu?

"Cuba kau cerita, macam mana kau mula bercinta dengan budak Jazlee tu?"

Cari Curi CintaWhere stories live. Discover now