Bab 1

1K 36 0
                                    

AZIZ berjalan menyusuri jalan kecil yang berhampiran dengan laut. Kini dia tiba di Telaga Emas yang merupakan salah satu destinasi pelancongan di Pulau Aman yang wajib disinggahi. Tangannya sibuk mengambil gambar di sekitar Telaga Emas. Setelah puas mengambil gambar, strap tali kamera Canon EOS 250D disangkut di leher. Dia membaca sejarah Telaga Emas yang ada di situ.

Sebagai travel blogger, inilah kali pertama Aziz jejakkan kaki di sini. Segenap pelosok dunia dia sudah lawati namun tempat menarik di negara sendiri banyak dia tak lawati lagi. Dia buat keputusan untuk melawat Pulau Aman selepas mendengar cerita pak cik yang dia baru kenal semasa minum kopi di warung makan di Teluk Intan. Terdetik hatinya untuk mengenali pulau yang terletak kira-kira 16 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai. Pulau Aman dihubungkan dengan jalan laut melalui jeti Batu Musang dengan menaiki bot tambang yang mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan.

Telefon pintar miliknya tiba-tiba berbunyi. Wajah Aziz berubah apabila melihat nama yang terpampang di skrin telefon. Cepat-cepat Aziz matikan telefon pintarnya.

Aziz menarik nafas lega.

Langkah diatur meninggalkan Telaga Emas itu.Dia ingin ke Masjid Ar-Rahman pula. Dalam masa yang sama, dia boleh singgah dan menunaikan solat zohor.

Jalan konkrit untuk pejalan kaki menjadi penghubung utama di pulau itu. Di sini penduduk hanya berjalan kaki, berbasikal dan menaiki motosikal. Rata-rata penghuni di Pulau Aman ini peramah dan baik. Aziz tersenyum melihat kanak-kanak di situ yang sedang bermain basikal. Dia mengambil kesempatan mengambil gambar mereka seraya ketawa melihat gelagat kanak-kanak itu berposing sakan apabila disuruh.

Kedengaran azan zohor berkumandang, Aziz bergegas ke Masjid Ar-Rahman. Penduduk kampung di Pulau Aman mula memasuki masjid itu. Aziz begitu peramah menyapa penduduk di situ.

Usai sembahyang zohor, perut Aziz berbunyi. Dia terus memegang perutnya. Mujurlah ada kedai makan berdekatan masjid itu. Maklumlah, pagi tadi dia hanya makan roti saja di chalet. Petang semalam, dia tiba lewat di Pulau Aman. Nasib baik tak terlepas bot di jeti Batu Musang. Tiba saja di chalet Pulau Aman, dia terus tertidur. Penat punya pasal. Pagi ini baru dia mulakan aktivitinya melawat tempat-tempat yang menarik di sekitar Pulau Aman.

Semasa berjalan menuju ke kedai makan, Aziz dapat rasakan seperti ada orang mengekorinya. Bila ditoleh ke belakang, tiada sesiapa pun. Namun gerak hatinya tak pernah salah. Dia singgah di kedai makan itu dan memesan mi udang kuah yang famous di Pulau Aman. Sebaik saja dia duduk, ada seorang lelaki berpakaian serba hitam dan spek hitam turut sama duduk berdekatan dengan mejanya. Apabila Aziz pandang ke arah lelaki itu, lelaki itu pandang ke arah lain. Aziz mula tak sedap hati. Wajah mula pucat. Siapa pula lelaki itu? Seingatnya, dia tak pernah jumpa lelaki itu. Lepas makan, Aziz buat keputusan untuk balik ke chalet. Itu tempat paling selamat.

Selepas saja membuat pembayaran, Aziz bergegas pulang ke chalet. Sesekali dia menoleh ke belakang tapi lelaki itu tetap mengekorinya. Aziz terus buat keputusan untuk berlari ke chalet.

Masuk saja ke dalam chalet, Aziz segera mengunci pintu. Dia takut. Nafas mula tercungap-cungap. Dikesat peluh yang mula membasahi dahinya. Dah lama dia tak lari macam tadi.

"Siapa lelaki tu? Seingat aku, aku tak pernah cari pasal dengan sesiapa pun. Aku kena call Pak Cik Mat." Aziz bercakap seorang diri. Dia ingin meminta tolong daripada pemilik chalet itu.

Telefon pintar segera dikeluarkan dari poket seluar. Tiba-tiba Aziz merasakan seolah-olah ada orang di belakangnya. Badannya terus kaku. Dia ingin berpaling ke belakang tetapi ada sesuatu di kepalanya.

"Don't move or I shoot you."

Bulat terus mata Aziz apabila mendengar suara itu. Badannya menggeletar apabila pistol diacukan di kepalanya.

PA Aku Ratu Sejuk BekuWhere stories live. Discover now