HIDUNG Aziz terbau sesuatu yang sedap datangnya dari arah dapur. Dia yang baru saja bangun daripada tidur cepat-cepat menuruni anak tangga. Laju saja kakinya masuk ke situ.
"Wow! Nasi lemak! Memang kegemaran Aziz ni!" Aziz muncul dengan rambut serabut.
"Mak Eton masak sambal kerang kegemaran hang. Hang kan suka makan nasi lemak dengan sambal kerang, kan?" Mak Eton tersengih seraya mengangkat pinggan yang berisi ikan bilis yang sudah siap digoreng di atas meja dapur.
Datin Ida yang sedang mengupas kulit telur hanya mampu menggeleng kepala melihat anak terunanya itu. Dengan seluar pendek dan singlet putih, Aziz selamba saja masuk ke ruang dapur.
"Good morning, mummy!" tegur Aziz. Dia tarik kerusi dan terus duduk di sebelah Datin Ida.
"Ni dah basuh muka ka belum? Gigi tu confirm tak gosok lagi, kan! Eee... Hang ni tak senonoh betui! Mandi la dulu sebelum makan. Orang tengok hang, terus tak ada selera nak makan." Datin Ida mula membebel.
"Amboi... Amboi... Mummy ni, cakap ikut sedap mulut. Mummy, duk rumah ja pun. Nak melawa buat apa? Ini bukan first time Aziz macam ni. Mak Eton dengan Azhar dah bertahun-tahun tengok Aziz macam ni. Separuh bogel pun depa pernah tengok. Depa tak kesah pun. Betul tak, Azhar?"
Azhar yang sedang siapkan minuman hanya ketawa kecil.
"Eee... Hang ni! Masalah sekarang ni ada anak dara dalam rumah ni! Agak-agak la nak pakai macam ni depan Diana. Malu tahu tak?"
"Ada Aziz kesah!" jawab Aziz.
Datin Ida mengetap bibir. Boleh naik darah bila bercakap dengan Aziz seorang ini. Air muka Datin Ida berubah apabila Diana masuk ke ruang dapur. Dimaniskan wajahnya.
"Diana dah nak keluar ke?" tanya Datin Ida.
"Ya. Dah janji dengan Puan Sri Zaiton pukul 9 pagi, auntie," balas Diana. Dia memakai T-shirt Polo dan seluar panjang untuk main golf dengan Puan Sri Zaiton hari ini.
Aziz buat muka menyampah melihat Diana bercakap dengan ibunya.
"Kak Diana. Jus Kak Diana dah siap," ucap Azhar. Dia berjalan mendekati Diana sambil membawa gelas air berwarna merah itu. Minuman kegemaran Diana setiap pagi.
Aziz cepat-cepat bangun dan rampas gelas tersebut. Diteguk dengan rakus. Sebaik saja telan, muka Aziz terus berubah dengan dahi berkerut.
"Air apa ni? Ini bukan jus tembikai. Rasa tak sedap langsung," tanya Aziz. Dipandang ke arah Azhar. Meremang tekaknya sekarang ini. Tak tahu macam mana nak gambarkan rasanya.
"Jus paprika!" jawab Azhar.
"Apa?!" Nada suara Aziz terus tinggi.
Datin Ida dan Mak Eton terus ketawa terbahak-bahak.
"Yang Abang Aziz ambil buat apa? Jus ni untuk Kak Diana la." Azhar bersuara.
Aziz terus berjalan ke singki dan segera berkumur. Dengan harapan rasa itu hilang. Memang tak sedap langsung. Mati-mati dia ingat tadi jus tembikai.Kalaulah dia tahu jus paprika, jangan haraplah dia nak minum.
"Itu la balasan orang kata, nak sangat ambil minuman orang. Rasakan!" kata Datin Ida seraya tak henti ketawa.
Wajah Aziz masam. Dia renung ke arah Diana yang wajahnya masih bersahaja. Tak tunjuk apa-apa reaksi pun. Muka macam tu la buat dia rasa annoying.
"Sat na Kak Diana. Aziz blender lain jus paprika tu," kata Azhar.
"It's okay, Azhar. Kak Diana dah nak kena gerak. Esok aje blend lain," jawab Diana. Dia melihat semula ke arah Datin Ida dan Mak Eton.
YOU ARE READING
PA Aku Ratu Sejuk Beku
Humor"Aura dinginnya mampu menggoncang jiwa!" KERANA impiannya sendiri, Aziz sanggup memungkiri perjanjian antara ibunya, Datin Ida. Bertahun-tahun Aziz melancong ke serata dunia. Suatu hari, Aziz pulang ke Malaysia tanpa pengetahuan sesiapa. Niatnya kal...