BAB 1

621 45 2
                                    

MR. K

Sebaris nama itu, tidak mungkin akan terlucut dalam sekeping hati milikku. Walaupun sudah banyak kali dia telah melukakan aku, aku tetap berdiri teguh di sampingnya. Memayungi dirinya dari segala duka dan sengsara.

Namun, aku tersedar satu perkara.

Seutuh mana pun aku menjadi payung kepadanya... selamanya aku akan menjadi pelindung yang merobek hati lelakinya tanpa aku sedari.

Aku rasa diri aku sangat teruk. Tak mampu lahirkan zuriat untuk dia. Sudah Tuhan takdirkan rahimku ini tidak mampu menampung malaikat kecil kami, apa kudratku sebagai seorang manusia yang lemah ini untuk melawan takdir yang telah diaturkan oleh Tuhan?

Walau ditadah beberapa tempayan tangisan air mata dan darah, jika Allah tidak izinkan kami dikurniakan rezeki cahaya mata... kami sepatutnya belajar untuk reda.

Seperti biasa, cuma aku seorang sahaja yang cuba untuk berdamai dengan takdir. Sedangkan dia, terus-menerus meletakkan segala salah ke atas pundak ini.

Seakan dia yang mengandungkan zuriat kami.

Seakan dia menahan perit di saat doktor mencuci janin yang sudah tidak bernyawa di dalam rahim.

Seakan dia yang merasai kesedihan berpantang tanpa bayi di sisi.

Seakan... dia seorang sahaja yang merasai segala rasa getir ini.

Mengapa dia langsung tidak kisahkan perasaan aku?

Katakanlah, ibu mana yang tidak bersedih jika mereka disahkan keguguran. Aku pun, tidak terkecuali...

Oh, aku terlupa. Aku hanya seorang wanita. Memang segala benda harus aku tempuhi seorang diri. Lelaki tidak pernah salah. Semuanya, salah aku di matanya.

Rahim aku yang menumpangkan tempat buat zuriat kami. Bukan rahim milik dia. Jadi wajarlah aku yang dipersalahkan.

Aku lelah. Terlalu... lelah.

Kadang, aku rasa nak lepaskan diri daripada segala dugaan ini. Tapi aku sedar, ke mana lagi aku dapat larikan diri. Aku tidak mahu menjadi isteri derhaka kepada dia. Aku mahu cium bau syurga. Aku sedar, aku bukan wanita yang baik. Mungkin, dengan cara aku menjadi isteri yang terbaik buatnya, Allah akan sediakan mahligai di syurga buat diri ini nanti. Hanya doa mampu dipanjatkan kepada Illahi.

Buat para wanita yang bakal membaca tulisanku ini, aku harap kamu tetap tabah menjalani hari-hari yang mendatang. Jika dikurniakan suami yang tidak faham dengan keadaan diri kita, jangan pernah salahkan Tuhan atas ujian yang terlalu indah ini.

Kita insan yang hebat. Sebab tu, Allah uji kita.

Bila dirundung rasa sedih, ingatlah bahawa si kecil itu akan menunggu kita di pintu syurga kelak. Dunia ini sememangnya tempat untuk kita bersedih dan berduka. Di negeri abadi sana, insha-Allah kita akan tersenyum bahagia.

Dengan izin-Nya.

Sekian,

Wanita Yang Tidak Mampu Mengandung.



Skrin laptop yang masih menyala, dipandang sepi. Akhirnya, dapat juga aku menulis luahan hati kecilku di dalam laman web IIUM Confession. Aku sudah tiada tempat untuk meluah. Hanya laman itulah menjadi diari kecilku sejak kebelakangan ini.

Hujung ruas mata diterpa rasa hangat. Hati dicengkam rasa sebak yang erat. Tepuk dada berulang kali, sedaya upaya aku cuba pujuk hati supaya tidak terus menerus hanyut dalam arus kesedihan.

Terakhir (OG)Where stories live. Discover now