BAB 2

402 32 8
                                    

PAGI ni, semangat aku untuk ke sekolah automatik jatuh menjunam disebabkan kejadian pagi tadi. Sebelum turun dari kereta, sedaya upaya aku memastikan bahawa segala kesan bengkak pada mata ini berjaya ditutup dengan menggunakan mekap. Aku tak mahu orang lain tahu mengenai kemelut yang melanda rumah tangga aku sejak akhir-akhir ini.

Tambahan lagi, perkara ini merupakan aib bagi aku dan Khalif. Berdosa besar sekiranya aku menceritakan perkara ini kepada orang lain.

Tarik nafas, aku cuba pujuk hati untuk kekal tenang. tinggalkan segala masalah di rumah. Di sekolah ini, aku hanya mahu fokus kepada kerjaku sahaja untuk mengajar anak bangsa.

Masuk sahaja ke dalam bilik guru, aku perasan ada banyak mata-mata yang memerhati tingkah aku dari hujung mata. Seperti terserempak dengan penjenayah pun ada.

Letak beg atas meja, aku lihat banyak buku latihan dan fail-fail menanti untuk disemak. Tambahan, selepas ini aku akan sibuk dengan persiapan acara sukan sekolah yang akan diadakan tidak lama lagi.

"Kau kata dia cuti bersalin, tapi kenapa aku tengok muka dia muram je?"

"Entahlah. Patutnya orang dapat baby happy je."

"Samalah macam kes sebelum ni. Kata cuti bersalin. Rupanya gugur."

"Entahlah... aku rasa kali ni pun sama kot..."

Aku hanya mampu memekakkan telinga mendengar suara sumbang yang berceloteh tentang aku pada ketika ini. Malas mahu membalas apa-apa. Meskipun selalu sahaja kata-kata tidak enak menerobos gegendang telinga aku ini saban hari, aku buat-buat tak dengar sahaja dan teruskan kerja seperti biasa.

"Puan Ajla, selamat menyambut anak sulung ya. Ini saya ada belikan hamper ni untuk bayi puan. Saya tanya dengan Kak Yati, katanya Ajla bakal dapat anak lelaki."

Sapaan daripada Tuan Zabani dari tepi kubikel membuatkan fail dalam peganganku terlepas. Melihat sebuah hamper yang sarat dengan barangan bayi berwarna biru muda di tangannya itu, membuatkan hati aku terusik.

Semerta, hujung ruas mataku menjadi hangat. Imej wajah Tuan Zabani dalam bingkai pandanganku, kian retak.

"Puan Ajla? Puan, tak apa-apa ke ni?" Wajah Tuan Zabani kini disaluti riak cemas. Mungkin dia terkejut apabila melihat kolam mataku berkaca pada saat ini.

"Maafkan saya, Tuan Zabani. Saya lupa nak maklumkan. Sebenarnya, anak saya dah tak ada. Dia meninggal sewaktu saya hendak bersalinkan dia. Dia lemas dalam perut. Tak sempat nak melihat dunia." Dengan satu nafas, aku terangkan kejadian yang menimpa aku.

"Maafkan saya, Puan Ajla. Saya memang tak tahu. Saya... minta maaf sangat-sangat." Riak simpati terpamer pada wajahnya yang berkumis rapi itu. Hamper di tangannya juga, terus diselindungkan di sebalik tubuh gempalnya.

"Tak apa, Tuan Zabani. Ini bahagian saya, Dah memang Allah sayangkan anak saya. Saya sebagai seorang ibu, sepatutnya perlu reda dan menerima kenyataan ini dengan lapang dada. Sekali lagi, maafkan saya ya..."

Suasana di dalam bilik guru itu yang tadinya agak riuh, kini terdiam seribu bahasa. Guru-guru yang lain turut bersimpati dengan nasib yang menimpa aku.

Tidak lama kemudian, Kak Salmah, rakan sebelah kubikelku mampir memeluk. Terus tubuh genitku ditarik laju ke dalam dakapan tuanya. Tanpa kata, belakang tubuhku digosok lembut berulang kali.

"Ajla, Allah sangat sayangku kamu. Allah tak uji seseorang makhluk itu sesuai dengan kesanggupannya. Sabar ya, sayang. Insha-Allah, anak-anak awak akan tunggu awak dekat pintu syurga. Doa banyak-banyak dengan Allah, ya? Jangan putus harapan kepada Dia."

Mendengar kata-kata itu, automatik air mataku meluruh lebat. Pelukan Kak Salmah aku balas erat-erat.

"Kak... hina ke kalau kita tak dapat jadi seorang ibu? Ajla nak sangat jadi seorang ibu, kak. Ajla nak sangat kucup muka anak Ajla. Ajla nak sangat susukan dia. Ajla nak sangat rasa kehangatan tubuh dia, kak. Ajla sedih, bila rasa badan dia sejuk je bila Ajla dukung dia waktu tu. Ajla nak sangat dengar dia menangis dalam pangkuan Ajla. Tapi... kenapa dia diam je kak? Kenapa dia tak menangis macam bayi lain?" soalku bertalu-talu. Tersedu-sedan aku menahan tangis.

Terakhir (OG)Where stories live. Discover now