27: Diary of a loner
Depan tasik. Tempat yang menjadi kebiasaan aku bila aku tak ada mood. Bukan sebab tasik boleh menenangkan atau menyembuhkan aku. Tapi sebab situ saja tempat yang ada sedikit kesunyian untuk aku bersendiri.
Lagi-lagi jika datang pada waktu yang tak ramai orang kunjungi, kesunyian itu dapat dirasakan lebih, dengan tiadanya gangguan manusia. Yang ada, gangguan perasaan sendiri.
Aku melepaskan keluhan berat. Masih terngiang-ngiang ayat Iman di fikiranku.
"Sebab tu akulah manusia paling bosan dekat sini."
Ayatnya kedengaran biasa. Tapi kesannya luar biasa, untuk jiwa yang sunyi seperti aku.
Pasti Iman berasa bosan berkawan dengan aku, bukan? Tak dapat dinafikan, diri aku memang membosankan. Tiada apa-apa yang menarik tentang aku.
Entah-entah, Iman sebenarnya terpaksa saja berkawan dengan aku. Sebab dia tak ada kawan rapat lain selain aku di sini. Kalau dia ada kawan rapat lain, hilang aku tak beri kesan kepada dia, sama seperti yang dia lakukan ketika di sekolah menengah. Aku masih ingat segala perkara dan kejadian sewaktu sekolah dahulu.
Tingkatan satu. Aku berkawan baik dengan Iman dan dua orang lagi kawan aku, Safa dan Wara. Berkawan berempat, tapi aku selalu rasa tersisih sebab aku selalu jadi yang terakhir dalam apa jua keadaan. Safa selalu dahulukan Iman dan Wara sehingga aku rasa diri aku ni tiada makna dalam persahabatan kami. Kadang-kadang, aku rasa diperguna oleh Safa untuk kebaikan dia.
Tingkatan dua. Safa rapat dengan kawan-kawan lama dia di sekolah rendah dahulu sehingga akhirnya dia tidak lagi berada dalam kalangan aku, Iman dan Wara. Aku gembira bila akhirnya aku tak perlu terasa hati dengan Safa lagi.
Tapi... berkawan bertiga pula jadi masalah. Kadang-kadang, aku terasa hati dengan Iman dan Wara yang rapat. Kadang-kadang, Iman terasa hati dengan aku dan Wara. Dan kadang-kadang, Wara terasa hati dengan aku dan Iman.
Pada akhirnya, aku cuba bersikap matang dan tidak terlalu cepat terasa dan faham dengan keadaan kami yang berkawan bertiga. Aku selalu pastikan Iman dan Wara dilayan sama rata pada masa yang sama. Tetapi apa yang aku lihat selepas itu, aku yang jadi paling tersisih antara kami bertiga.
Demi memastikan kedua-dua mereka tidak terasa hati jika salah seorang daripada mereka berdua rapat dengan aku, aku biarkan saja mereka berdua sentiasa bersama sementara diri aku sentiasa bersendiri. Aku abaikan perasaan yang terluka. Aku pujuk diri sendiri yang sekurang-kurangnya Iman dan Wara tidak cemburu terhadapku, secara tak langsung aku juga tak perlu rasa bersalah dalam berkawan. Aku fikir, biar aku saja yang tanggung perasaan cemburu itu melihat mereka rapat berdua sahaja.
Sehinggalah akhirnya, muncul seorang budak baru di kelasku yang juga merupakan kawan lama aku di sekolah rendah, iaitu Kas. Sayang sekali dia tak ingat aku tapi aku masih teruja nak berkawan dengan dia.
Aku sangka, bila ajak Kas masuk dalam kumpulan aku bagi menggenapkan bilangan, persahabatan kami akan jadi meriah dan tiada lagi yang terpinggir. Tapi aku silap bila Iman dan Kas menjadi terlalu rapat sehingga aku dan Wara tersisih. Kas selalu utamakan Iman.
Aku pernah bergaduh dengan Kas kerana meluahkan apa yang aku rasa dan menegurnya supaya tak berat sebelah. Tapi Kas selalu putar belit ayat dan menganggap diri dia saja yang betul. Aku malas nak bergaduh dengan dia lagi sebab aku tahu suara hati aku tak valid untuk orang yang merasa dirinya selalu sempurna. Jadi, aku pilih untuk berbaik dengan Kas dan anggap tak ada apa-apa yang berlaku tapi hakikatnya hubungan aku dengan dia agak janggal selepas itu.
Iman pula masih tak ada kesedaran yang dia dah lupakan aku dan Wara. Iman nampak lebih gembira bila berkawan dengan Kas dan benda tu buatkan aku sedar yang diri aku mungkin terlalu membosankan.
Dan yang paling aku sakit hati bila persahabatan yang ini juga jadikan aku sebagai pilihan terakhir. Kas sama seperti Safa sebelum ini; dahulukan Iman, kemudian Wara. Aku, sentiasa menjadi pilihan terakhir. Kadang, tak ada dalam pilihan pun.
Akhir sekali, aku menjauhkan diri dan tidak berkawan dengan sesiapa sehinggalah aku tingkatan tiga.
Tingkatan empat. Kas di kelas lain. Wara juga di kelas lain. Aku dan Iman di kelas yang sama. Iman cari aku semula. Kami berdua berkawan rapat kembali. Pada masa itu, Iman tidak lagi bergaul rapat dengan Kas kerana dia sudah sedar perangai Kas yang sebenarnya— Kas pentingkan diri sendiri dan suka mengungkit.
Walau bagaimanapun, aku dah lupakan perangai Kas dan hubungan kami jernih saja sebagai rakan kelas sebelah.
Sepanjang tingkatan empat dan lima aku bersama Iman. Persahabatan kali ini baik? Oh, semestinya tidak.
Iman selalu tak datang sekolah berikutan ada hal keluarga yang tak berkesudahan. Aku tak ada masalah dengan itu. Cuma... kadang-kadang rasa sunyi bila dia selalu biarkan aku seorang diri. Dari tingkatan satu lagi Iman selalu tak datang ke sekolah. Dan dari tingkatan satu juga, aku selalu ditinggalkan seorang diri tanpa kawan-kawan kerana masing-masing pasti ada hal.
Aku tak ambil hati sangat. Tapi bila dah selalu kena, hati aku ni macam ada... lohong. Lagi-lagi bila Iman pernah juga tak datang sekolah sebab sengaja. Malah, pernah juga satu hari itu aku tak akan masuk hampir semua kelas kerana terlibat dengan latihan kawad kaki. Oleh itu, Iman tak mahu datang ke sekolah kerana tak mahu bersendirian di dalam kelas tanpa rakan semeja sepanjang hari.
Aku terkesan dengan perbuatan Iman itu sebab aku sudah beritahunya yang lepas habis latihan kawad kaki aku akan masuk semula ke dalam kelas walaupun tinggal satu jam lebih sebelum waktu balik. Jika Iman tak datang, selama satu jam lebih itulah aku perlu bersendiri.
Iman rasa dia lebih teruk perlu seorang diri berjam-jam sementara aku satu jam lebih saja, tapi...
Apalah sangat dia bersendirian berjam-jam, yang sangat jarang terjadi dibandingkan dengan aku yang terlalu banyak kali dibiarkan sendiri pada setiap tahun?
Iman selalu fikirkan diri dia dahulu sehingga dia terlepas pandang akan apa yang aku lalui disebabkannya. Iman lebih pentingkan perasaan dia. Dia tak fikirkan pun perasaan aku yang selama ni kena tinggal.
Banyak lagi perkara yang Iman lakukan sehingga beri kesan yang teruk kepada aku sehingga ke tahap aku ingin menyerah dengan hidup ini. Aku sedar Iman bukan tempat yang sesuai untuk aku bersandar.
Kerana itu, aku terus hilangkan diri lepas habis saja SPM dan ambil keputusan. Tapi aku tak sangka jodoh aku dengan dia panjang, aku jumpa dia di pusat asasi yang sama.
Iman cuma kenal aku waktu itu, maka dia berkawan dengan aku. Dia nampak gembira dapat jumpa aku. Kami menjadi rapat kembali dan aku lupakan segala yang berlaku di sekolah menengah dahulu. Aku cuba mula semula dengan Iman.
Aku dan Iman berkawan sehingga sekarang, di universiti, dengan menyewa rumah sama-sama. Tapi itu tak bermaksud yang aku jalani persahabatan yang baik dengan dia kali ini. Sama saja seperti dahulu. Tiada apa-apa yang berubah. Masih saja Iman sakiti aku tanpa dia sedar.
Nampak kecil, tapi sekecil-kecil benda itulah yang aku hadap selama bertahun-tahun sehingga akhirnya ia membesar dan meninggalkan kesan yang paling parah dalam diriku.
Sebab itu, aku rasa Iman seperti terpaksa berkawan dengan aku. Iman malas nak berkenalan dengan orang lain dan berkawan saja dengan aku yang dia dah kenal lama.
Seperti Iman yang memerlukan aku, aku juga memerlukan Iman. Iman selalu didampingi aku, tapi aku tak selalu didampingi Iman.
Iman tak boleh seorang diri.
Tapi... kenapa dia tinggalkan aku seorang diri sedangkan dia tak boleh sendiri? Kenapa dia tinggalkan aku kalau dia tak boleh ditinggalkan? Kenapa dia buat benda yang dia sendiri tak boleh hadap kalau benda tu berlaku dekat dia?
Kenapa... Iman yang aku sangka boleh jadi tempat selamat untuk aku, seksa aku seperti ibu dan ayah? Kenapa ya? Perasaan dia saja ke yang penting? Perasaan aku...?
Titisan air yang jatuh ke tanganku buatkan aku tersedar yang aku sedang menangis. Ah... aku terlalu jauh mengimbau separuh kenangan pahitku sehingga menjadi terlebih emosional.
Poor Tiya. Crying over shitty things.
"Tiya..."
Aku tersentak. Suara tu...
Shit! Masa aku melayan perasaanlah dia nak muncul.
Bersambung.
YOU ARE READING
The Broken Healer
RomanceTiya si introvert. Mein si antisosial. Dua orang yang 'sakit' menjadi penyembuh antara satu sama lain. *** Cerita ini saya tulis suka-suka untuk ambil mood menulis pada awalnya. Jadi, saya tak titik beratkan penulisan yang sempurna sebab fokus saya...