6

149 16 0
                                    


Luka ini... aku kira tak ada siapa yang mampu ubatkan.

AKU terus menelan rasa sakit dan perih luka di hati hinggalah aku tamat sekolah.

Hari keputusan Sijil Pelajaran Malaysia keluar. Punyalah aku gembira.

Aku berlari anak balik ke rumah. Mahu beritahu ayah dan mak yang aku dapat keputusan terbaik di sekolah. Ya, budak lembab macam aku ni boleh dapat straight A. Itupun atas usaha Abang Aydin yang tak jemu ajar aku.

Beberapa tahun lalu Abang Aydin pulang semula ke kampung dan usahakan tanah dan ladang arwah ibu bapanya.

Begitulah, yang hidup pasti akan pergi akhirnya. Mak Jah meninggal dunia dan tinggalkan Abang Aydin sendirian. Bapa Abang Aydin sudah lama meninggal dunia.

Sebelum ini, pada Mak Jahlah aku banyak mengadu rasa. Bila Mak Jah tak ada, aku hilang arah. Aku dah tak ada kawan. Mujurlah tak lama selepas itu, Abang Aydin balik kampung dan dia kembali menjadi satu-satunya insan yang menyayangi aku tanpa syarat.

Sampai di depan pintu rumah. Aku nampak kasut Kak Long. Lagi hati aku berbunga ceria. Kak Long balik!

"Kak Long..."

Pang! Aku dengar bunyi tamparan dari dapur.

"Aku tak izinkan kau kahwin dengan budak tu. Kalau kau kahwin. Siapa nak bagi duit dekat aku lagi?" Suara tempikan emak bergempita.

Cepat aku berlari ke arah dapur. Kak Long sedang terduduk ke lantai sambil menyentuh pipinya yang kemerahan.

"Mak memang fikirkan duit saja kan? Mak tak pernah fikir apa yang Kak Long nak. Kak Long nak kahwin dengan Aydin mak. Dia dah lama tunggu Kak Long. Adik-adik semua dah besar. Apa lagi mak nak dari Kak Long?" Kak Long pandang emak tajam. Di pipi Kak Long berjujuran air mata.

"Si Aydin kerja apa? Bela lembu kambing? Tanam sayur? Kalau kau nak berlaki pun. Carilah yang boleh sara kau, bukannya lelaki yang ajak kau hidup susah dengan dia!" Mak bercekak pinggang memarahi Kak Long.

Aku gamam seketika apabila nama Abang Aydin yang menjadi sebutan mak dan Kak Long. Minda aku masih mencerna apa yang sedang berlaku.

"Aydin seorang yang berusaha keras mak. Dia satu-satunya lelaki yang Kak Long percaya. Kak Long janji Kak Long takkan culas bagi duit pada mak. Kak Long cuma nak kahwin dengan dia. Kak Long takkan susahkan mak..." Kak Long tersedu-sedan sambil berdiri mendapatkan mak.

Lutut aku terasa lembik tidak berasa. Dada aku jadi berdebar kuat. Kak Long nak kahwin dengan Abang Aydin?

"Kak... Kak Long nak kahwin dengan Abang Aydin?" Terlepas soalan itu dari celahan bibirku.

Kak Long menoleh pada aku. Air matanya dikesat dengan hujung baju.

"Ya, dik. Adik setuju kan? Adik tahu kan Abang Aydin tu baik? Kami janji kami akan sekolahkan adik sampai universiti. Adik jangan risau tau." Bersungguh Kak Long meminta persetujuan aku pula.

Aku pandang mak yang sedang menghempas duduk di kerusi makan.

"Kau tak payah nak risaukan adik kau tu! Yang kau patut risaukan aku ni. Dahlah bapak kau tu tinggal masa nak mati. Kalau si Aydin tu nak sangat kat kau. Aku nak hantaran 30 ribu! Kalau tak, jangan harap dia boleh kahwin dengan kau."

"Mak!" Terbeliak anak mata Kak Long apabila emak buat keputusan begitu.

Setapak demi setapak aku mengundur langkah. Segalanya bagaikan satu mimpi ngeri bagi aku.

Aku capai basikal dan kayuh laju menuju ke ladang cili milik Abang Aydin. Aku tahu waktu begini dia akan berada di sana.

Sampai di ladang cili itu, aku tongkat basikal aku dengan tergesa-gesa. Kelibat Abang Aydin aku cari.

Nampak saja dia, aku berlari anak mendapatkan lelaki yang kini sudah berusia 29 tahun itu. Abang Aydin sebaya dengan Kak Long. Umur mereka memang selayaknya untuk membina keluarga.

Langkah aku menjadi perlahan. Susuk tegap Abang Aydin aku tatap dari belakang. Dari jauh tangan aku naik mengukur belakangnya. Dari dulu, belakang tubuh itulah menjadi saksi air mata aku yang gugur. Belakang tubuh itu juga ibarat naungan penyelamat aku.

Kenapa dada aku tersakit dan nyali? Kenapa aku rasa seperti ada benda tajam mencucuk hati aku. Sakitnya lebih sakit dari aku dipukul mak. Lebih perih dari ayat-ayat bisa mak.

Kenapa aku tak tahu yang Abang Aydin rupanya menyulam kasih dengan Kak Long?

Kenapa aku merasakan aku dikhianati mereka? Begitu banyak persoalan yang muncul di fikiran aku hingga aku rasakan nafasku bagi mahu terputus.

"Tini?" Suara Abang Aydin menyapaku. Dari kabur mataku yang basah, aku nampak Abang Aydin melangkah mendekati aku.

Lekas aku jatuhkan tangan dan mengelap air jernih yang entah bila jatuh dari kelopak mataku. Aku tak mengerti apa yang aku rasa sekarang... Kenapa aku rasa macam ni?

"Kartini?"

Mendengar suara garau dan maskulin Abang Aydin makin membuat hatiku dirobek-robek sakit.

Aku menarik nafas. Apapun, aku perlukan kepastian.

"Be... Betul ke abang nak kahwin dengan Kak Long?" Jelas lontaran suara aku bergetar pedih. Bagaikan ada batu yang melekat dicelah kerongkong. Perit sekali.

Aku tatap wajah kacak Abang Aydin. Walaupun pakaiannya lusuh dan seluarnya kotor berkesan tanah, wajahnya tetap maskulin dihiasi jambang nipis dan kemas.

Riak Abang Aydin berubah. Topi kebunnya diturunkan ke bawah.

"Siapa beritahu Tini?"

"Jawablah soalan Tini... Betul ke abang nak kahwin dengan Kak Long?" Aku tatap dalam bening mata Abang Aydin yang kelihatan bersinar dek cahaya matahari. Panas rasanya remang mataku saat ini.

Dia mengeluh kecil sebelum mengoyak senyuman nipis.

"Tini tak suka abang jadi abang ipar Tini?" Dia menyoal kembali.

Aku kelu. Aku tak tahu jawapan apa yang harus aku beri.

"Abang rasa dah sampai masa Kak Long bahagiakan dirinya pula. Izinkan abang bahagiakan Kak Long. Dia dah lama menderita. Abang janji Kak Long akan bahagia dengan abang." Sambung dia menyatakan janji seorang lelaki.

'Tini pun derita! Kenapa abang tak nak bahagiakan Tini?'

Entah kenapa laungan itu yang bergema dalam hati aku.

"Tini dengar mak nak minta 30 ribu kalau abang nak kahwin dengan Kak Long. Abang ada duit ke?" Aku sengaja menduga Abang Aydin.

Dia tersenyum tenang.

"InsyaAllah, abang usahakan."

Cukup, aku tak perlu lebih lanjut. Jawapan Abang Aydin sudah cukup menjelaskan segalanya. Mereka memang sudah nekad bersama-sama.

"Tahniah." Aku ucap sepatah sebelum berpatah balik ke arah basikalku.

"Eh, Tini. Tini tak bagitahu abang lagi result SPM Tini!"

Aku dengar suara laungan Abang Aydin. Apa gunanya dia ambil tahu tentang aku? Tak ada faedah pun buat dia!

Aku kayuh sekuat hati pedal basikal. Seiring dengan air mata aku yang jatuh laju tanpa di pinta...

MEMORI KARTINI (EBOOK)Where stories live. Discover now