BAB 6

57 5 0
                                    

Puteri Nia berjalan-jalan di pusat bandar Terra dengan gembiranya. Dia hanya dibenarkan untuk berada di luar perkarangan istana sekali-sekala sahaja. Alang-alang sudah mendapat kebenaran keluar, Puteri Nia hendak menggunakan peluang ini untuk melihat semua perkara yang berlaku di sini selain menikmati semua keistimewaan negara Terra seperti makanan, aksesori, pakaian dan sebagainya. Di samping itu, dia telah diamanahkan oleh Putera Aidan untuk menggantikannya sepanjang ketiadaan kekandanya itu.

Keramahan Putera Aidan telah membuatkan Raja Haq memberi tugasan khas kepada putera ketiganya itu untuk terlibat dalam perhubungan awam dengan rakyat jelata. Tujuan misi tersebut supaya Raja Haq tahu segala perkara yang berlaku di negara Terra. Meskipun terdapat pegawai yang memberi laporan mingguan kepada Raja Haq tentang apa yang terjadi di negara Terra, laporan Putera Aidan juga diambil kira jikalau terdapat perkara lain yang berlaku dan pegawai-pegawai tidak mendapat berita tersebut.

“Tuanku, patik harap tuanku bertenang seketika. Keadaan tuanku ketika ini tak lebih daripada seorang kanak-kanak yang sedang bergembira kerana mendapat gula-gula.” tegur Fahad.  Dayang Maya di sebelah ketawa kecil kerana itu juga apa yang sedang difikirkan sekarang. Puteri Nia mengembungkan pipi tanda merajuk.

“Benar tuanku. Jika berterusan begini, penyamaran tuanku akan terdedah dengan cepat.” tambah Dayang Maya.

“Tahulah beta.” jawab Puteri Nia acuh tak acuh.

“Jika misi hari ini gagal kerana tuanku, patik tak ada masalah untuk memberitahu tuanku Raja betapa Puteri Nia tidak sesuai untuk menjalankan misi kelas A.” kata-kata Fahad membuatkan Puteri Nia sedikit kecut. Kebebasan yang dia rasakan bakal terhalang jika Fahad buka mulut tentang kelakuannya. Menyampah dengan ujaran Fahad tetapi Puteri Nia mengambil keputusan untuk mendengar supaya dia boleh melanjutkan misi ini.

“Diktator betul.” gumam Puteri Nia.

“Dengan tuanku, saya terpaksa bertegas.” Selamba Fahad menjawab.

“Kenapa kamu perlu ikut? Rasanya beta dan Dayang Maya boleh selesaikan misi ini berdua. Lagipun misi ini dalam kawasan pusat bandar Terra yang dikelilingi oleh pengawal di setiap penjuru. Apa yang boleh berlaku?”

“Kenaifan tuanku sangat membimbangkan. Mungkin kerana tuanku sudah lama berada di sebalik dinding.” perli Fahad.

“Fahad!!” nada Puteri Nia sudah bertukar namun sedikit pun Fahad tak berasa takut.

“Sabar tuanku. Fahad cuma bimbangkan tuanku. Kata-katanya memang kasar tetapi percayalah dia hanya mahu tuanku selamat.” Dayang Maya meredakan keadaan. Dia menyenggol siku Fahad supaya menyokong kenyataannya atau paling kurang angguk bersetuju. Fahad buat-buat tak faham.

“Huh! Malas beta nak cakap dengan lelaki kurang emosi ni. Dayang Maya, jom ke kedai tu. Beta nak borong semuanya.”

“Eh…tapi…” belum sempat Dayang Maya menghabiskan ayat, Puteri Nia menarik tangannya lalu masuk ke salah sebuah kedai. Fahad menggeleng. Inilah nasib apabila terpaksa menjaga seorang puteri bongsu. Semua kehendak puteri harus ditunaikan.

Fahad mengambil keputusan untuk berdiri di luar kedai. Dia memerhati semua aktiviti yang berjalan dalam lingkungan pandangan matanya. Keadaan pasar pada pagi itu sedikit sibuk. Pasti kerana beberapa kapal yang baru berlabuh di negara Terra semalam. Aktiviti menjual beli rancak dijalankan di sana sini. Kain satin, kapas, manik dan emas adalah anatra barang terbaik yang dihasilkan oleh Terra dan mendapat perhatian negara-negara lain untuk mendapatkan barangan tersebut.

Manakala Puteri Nia dan Dayang Maya sedang menjalankan salah satu aktiviti kesukaan kaum Hawa, membeli-belah. Rambang mata Puteri Nia melihat pelbagai aksesori wanita yang cantik seperti gelang, rantai, cincin, kerongsang dan sebagainya. Dia sedikit kagum dengan aksesori ini kerana cantik tetapi murah. Puteri Nia jarang membeli barang keperluan dan kehendak sendiri kerana semuanya telah disediakan. Malah, barang-barang tersebut juga dia peroleh melalui hantaran dari kawan-kawan sebagai hadiah.

Brave Heart Where stories live. Discover now