BAB 8

44 6 0
                                    

Matahari belum lagi memunculkan diri. Suasana persekitaran masih lagi kegelapan. Bayu pagi yang sejuk mencengkam tulang tidak menghalang dua bayang daripada bergerak menjalani aktiviti paginya.

Hiyak! Hiyak! Shing! Shing!

Pekikan garang seorang lelaki berserta hayunan pedang bertemu pedang menghiasi keheningan pagi itu. Hayunan demi hayunan, tendangan berselang seli dengan tumbukan disatukan untuk menjatuhkan musuh. Namun ternyata musuh amat berpengalaman dalam pertarungan, mengelak serangan satu per satu.

Wajah Fahad Awadullah dipenuhi titis-titis peluh. Nafasnya tercungap namun masih teguh berdiri menghadapi musuhnya. Dia harus merencanakan sesuatu untuk menjatuhkan musuh atau dia sendiri akan kalah dalam pertarungan ini.

“Mengaku kalah?” soal musuh Fahad. Hampir kedengaran sinis soalan tersebut.

Fahad membalas soalan itu dengan hayunan pedang ke arah kiri. Kelebihan yang dia punya sekarang adalah kekuatan fizikal. Dia menambah kekuatan ke tahap yang maksimum sebelum dapat menepis pedang musuh. Terpelanting pedang si lawan ke tanah. Peluang digunakan sebaiknya oleh Fahad dengan melancarkan serangan bertubi-tubi tanpa henti.

Serangan tersebut membuahkan hasil apabila musuh tersadung sedikit menyebabkan pergerakannya sedikit terbatas. Merasai kemenangan yang semakin hampir, dengan kekuatan terakhir, Fahad menghunus pedangnya ke arah dada lawan. Di kala berada dalam posisi tidak stabil, si lawan bisa mengelak tusukan pantas Fahad lalu mengunci pergerakan Fahad dengan menumbuk tepat di ulu hati. Fahad terjelepok ke tanah. Pedih yang dirasai bukan kepalang. Dia berasa lemah untuk bangun.

Checkmate!

Fahad sudah kalah. Bagaimanapun dia sudah tidak mampu untuk berdiri tegak selepas menerima penumbuk maut tersebut. Nasib baik musuh hanya menggunakan kekuatan sederhana. Kalau tidak, pasti dia sudah ke syurga.

“Baik sajakah, Fahad?”

“Saya rasa Tuan Hadi boleh beri peluang untuk saya menang kali ni. Tetapi nampaknya itu kekal menjadi angan-angan.” Fahad tersengih dalam kepedihan.

Tuan Hadi menghulurkan bantuan kepada Fahad. Tuan Hadi Izahar merupakan bekas komander angkatan tentera diraja. Meskipun sudah menginjak umur senja, badannya masih lagi tegap dan kekuatan mengalahkan tentera muda. Oleh sebab itu, Fahad meminta bantuan Tuan Hadi untuk menjadi sparring partner untuk hari ini. Sebelum subuh sudah terpacak Fahad di hadapan rumah Tuan Hadi.

“Mana boleh saya senang-senang beri peluang. Lawan saya adalah bodyguard tuan puteri. Semestinya saya kena bertarung betul-betul.” Tuan Hadi ketawa. Sekali-sekala bertarung sememangnya bakal membuat badannya sakit di sana sini. Namun, ini merupakan senaman yang paling dia gemari.

“Turunkan tips dekat saya tuan. Bagaimana hendak bertarung secekap tuan. Saya yang muda pun kalah teruk dengan tuan.”

“Jadi kamu nak kata saya tua?”

“Emm. Siapa makan cili dia rasa pedas la tuan.” seloroh Fahad menyebabkan Tuan Hadi menjegil. Fahad ketawa dengan kuat melihat gelagat bekas komander itu.

Setelah membuat beberapa gerakan penyejuk badan, Fahad dan Tuan Hadi mengambil tempat berdekatan sungai untuk berehat. Pagi ini mereka berlatih berdekatan air terjun di bahagian selatan negara Terra. Kawasan ini merupakan kawasan latihan rahsia milik Tuan Hadi dan kini telah menjadi tempat Fahad pula.

“Bila hukuman kamu akan berakhir?” soal Tuan Hadi.

“In shaa Allah, dua minggu saya kembali menjalankan tugas.”

“Kali ni kena hati-hati. Jangan ulangi perbuatan yang sama.”

“Kalau puteri tak buat pasal. Entahlah. Mungkin akan terjadi lagi perkara seperti ini.” keluh Fahad.

Brave Heart Where stories live. Discover now