Dewan Sultan Sulaiman pagi itu bersinar di bawah matahari pagi yang terik ketika Amir tiba untuk pertemuan tersebut. Suasana tegang terasa di udara ketika dia mula melangkah ke dalam ruang dewan.
Terdengar riuh bicara antara para tamu yang hadir. Kebanyakannya memakai baju Melayu bersampin dan bersongkok. Sebahagian berkemeja kemas menampilkan ketrampilan masing-masing.
Rata-ratanya kelihatan serius.Amir Hamzah.
Pemuda Melayu kurus tinggi.
Tetapi rona mukanya lembut.
Bagi yang melihatnya akan mudah terasa mesra.
Tetapi sinar matanya memancarkan karisma. Pendidikannya tidak begitu tinggi tetapi mempunyai pendapat dan idea yang dikagumi.Pidatonya menarik khalayak. Dengan lontaran suara dalam yang memukau. Hujahannya dekat di hati rakyat.
Tidak hairanlah ramai menyokongnya.
Gerakan penentangannya menarik perhatian ramai termasuk pemerintah British dan juga pertubuhan-pertubuhan utama.
Pagi itu dia juga berbaju Melayu lengkap berwarna hijau muda.Amir melirik sekeliling mengangkat tangan pada mereka yang dikenalinya. Beberapa ahli persatuannya ada hadir. Dia kembali berjalan tenang dan melihat beberapa orang yang dia kenali juga duduk di meja panjang yang terletak di tengah dewan. Dia mengenali beberapa wajah, termasuk wakil presiden parti kebangsaan melayu, Dr. Ibrahim Saidi, Engku Fuad ketua pemuda parti kebangsaan melayu negeri, Haji Kasan Ahmad wakil Pertubuhan Agama Islam dan beberapa lagi pemimpin beberapa persatuan dan pertubuhan. Ada juga yang dia tidak kenal. Pandangannya jatuh ke arah Khatijah Usman, setiausaha Angkatan Pemudi Sedar (APIS) yang menyokong kuat gagasan perjuangannya. Senyumannya berbalas senyuman manis dari gadis itu.
Amir menyapa para tamu yang sudah duduk di sana.
"Assalamualaikum. Selamat pagi, saudara-saudara," ucapnya. "Maaf saya terlambat."
Dia menghulurkan tangan berjabat mesra."Sudah-sudah, Amir. Kau datang pada waktunya," sahut Dr. Ibrahim. Sinar matanya lembut menyapa dengan segaris senyuman mesra. Baju Melayu biru yang kemas dengan songkok tinggi yang dipakai condong di kepala menambahkan ketrampilan diri. Dr Ibrahim benar-benar menunjukkan kewibawaan sebagai seorang pejuang bangsa.
"Mari duduk dan kita mulai," Engku Fuad lantas bersuara. Asap tembakau dari paip bengkoknya keluar dari celahan bibirnya yang menghitam. Kot hitamnya ditarik-tarik mencari kedudukan yang selesa. Anak bangsawan yang mendapat pendidikan barat, Engku Fuad masih cakna dengan perjuangan bangsa. Baginya kemerdekaan sangat penting agar khazanah negara ini dijaga oleh anak watan dan bukannya orang Inggeris.
"Haha, tak sabar-sabar darah muda," sapa Haji Kasan ramah. Kopiah putih di kepalanya dibetulkan. Wataknya sekilas hanya seumpama imam kampung yang sederhana tetapi jangan tertipu dengan rupa. Dia mendapat pendidikan sarjana dari universiti ternama di timur tengah. Penulisannya tajam di akhbar dan majalah.
Amir duduk di antara mereka dan menarik nafas dalam-dalam. Dia tahu bahwa pertemuan ini akan sangat penting bagi masa depan bangsanya.
"Kau orang penting, sengaja mahu kami menunggu-nunggu kamu," terdengar satu suara nyaring.
Mata Amir mencari-cari orang yang berbicara.
Hampir di hujung meja seorang pemuda tersengih lebar.
Bergurau.Amir mengangkat tangan mesra, menyapa Kamal Alauddin, antara penggerak utama Persatuan Pemuda Insaf (PPI), persatuan yang dia menjadi ketua. Persahabatan mereka terjalin lama sehinggalah bersama-sama menggerakkan persatuan ini untuk memberi kesedaran kepada anak Melayu untuk bangkit mempertahankan nasib di tanah air mereka.
Kamal dari segi peribadinya ialah seorang yang baik dan mudah mesra. Tetapi sikapnya yang amat berterus terang kadangkala tidak disukai oleh sesetengah pihak.Beberapa orang pelayan mula menuangkan air kopi dan mempersilakan makan juadah kuih-kuih.
"Makanlah ada juadah ringan, tetapi kalau perbincangan kita berlarutan mungkin perlu hidang nasi pula," seloroh Haji Kasan yang memang mesra orangnya sambil tertawa.
YOU ARE READING
Kumpulan Cerita Pendek PRASASTI DIRI
Short StoryHimpunan cerita-cerita pendek eksperimentasi.