23 April 2020
Dia bukan takdir.
Dia hanya sekadar hadir.
Tangan yang sedang ligat menyiram pokok terhenti apabila mendengar deruan enjin kereta. Melihat gadis yang keluar dari kereta dengan air muka yang penuh kemarahan, Qiuzi susun debaran yang menghuni dada.
"Apa semua ni?"
"Kenapa ni?" Suara ditenangkan. Dia tahu soalan dia kali ini pasti mengundang kemarahan berganda. Dia tak pelik kalau Naira tumbuk dia kejap lagi.
"Kenapa awak tanya saya?" Nafas Naira naik turun. Cuba untuk menahan segala kemarahan yang ada.
"Kenapa awak nak putuskan pertunangan kita?"
Jeda.
"Awak tak ada harga diri ke Qiu? Bila orang mintak tunang awak, awak bagi! Habis tu kalau orang mintak isteri awak, awak nak bagi macam tu je ke? Awak tak nak berjuang untuk dia? Awak ingat kasih dia tu murah sangat ke?" Dilemparkan segala kemarahan yang ada. Tangis yang ingin pecah sedaya upaya ditahan.
Tidak mempedulikan amarah Naira, Qiuzi menghilang ke dalam rumah mengambil sesuatu. Borang yang masih belum dihantar itu dihulurkan kepada Naira.
"Saya memang nak berjuang pada asalnya." Nafas ditarik dalam-dalam saat borang itu bertukar tangan.
"Tapi... saya tak boleh berjuang kalau saya sendirian. Awak boleh menipu saya Naira tapi bukan diri awak sendiri. Bukan." Suara Qiuzi makin rendah. Demi Tuhan, dia juga turut menahan rasa yang menggila di dalam dada. Siapa sangka hubungan mereka akan berkesudahan dengan cara begini.
Dokumen yang dihulurkan disambut kasar. Dan sewaktu matanya menjamah satu nama yang tertera di dalam borang pernikahan mereka itu, air matanya tumpah. Tapak tangan naik menutup muka. Ya Allah, kenapa boleh jadi macam ni?
Rupanya...
"Awak tak tegur pun nama pengantin lelaki itu bukan Ahmad Qiuzi tapi Muhammad Amril. Masa tu saya dah sedar, jasad awak bersama saya tapi bukan hati." Walaupun Naira telah menyemak dokumen tersebut, gadis itu masih gagal mengesan nama pengantin lelaki yang tertera.
Teresak-esak Naira menghamburkan tangis.
"Qiu..."
"Saya boleh kehilangan awak sekarang. Tapi bukan selepas kita kahwin nanti. Jadi saya rasa..." Ayatnya terhenti bila Naira lebih laju mencelah.
"Demi Allah! Demi Allah Qiu, saya cukup sayangkan awak."
Qiuzi tersenyum. Senyuman yang tak mampu untuk menutup luka yang ada.
"Ya. Memang awak sayangkan saya tapi awak cintakan Amril. Dari dulu lagi Naira. Hati awak sentiasa untuk dia."
Sayangnya seorang Qiuzi terlalu mengenali Naira Ilyani. Pandangan mata dialihkan. Tak mampu rasanya untuk melihat Naira menangis tika ini. Namun dia juga tidak punya kudrat untuk menyeka air mata itu dari pergi.
"Saya tak boleh lukakan awak, Qiu."
"Saya hidup atas kasih sayang Allah. Bukan kasih sayang awak, Naira. Jadi jangan fikir yang luka saya ini tiada ubatnya. Dia ada. Dia akan ubatkan luka hati saya ni." Pujuk Qiuzi lembut.
Lama Naira memandang wajah Qiuzi.
"Awak nampak tak sedih langsung. Nampak macam kehilangan saya ni tak beri kesan dalam hidup awak." Perlukah dia meragui kasih sayang Qiuzi padanya?
"Naira..." Seru Qiuzi lembut.
"Antara kita memang akan ada yang terluka. Tapi ada juga hati yang berhak merasa bahagia. Saya percaya, Amril boleh bahagiakan awak. Dan saya... ikhlas melepaskan awak untuk dia."
Melepaskan Naira adalah kemahuannya. Lebih baik kehilangan dia daripada dia kehilangan kebahagiaannya. Dia mahu Naira bahagia walau bukan dia bahagia yang Naira tuju.
Namun siapa sangka tangan yang belum mampu digenggam itu ternyata paling sukar untuk dilepaskan daripada kotak memori.
YOU ARE READING
Rumah Tanpa Luka
RomanceKerana mempertahankan Rose Ameena, Nik Kalsum dibuang keluarga. Dalam kehidupannya yang penuh warna kelabu, Nik yang garang dipertemukan dengan Ahmad Qiuzi yang tenang. Lelaki itu tak ubah seperti sebungkus ubat yang menyembuhkan. Tapi sayang kerana...