Perempuan tak sekuat lelaki.
Lelaki tak setabah wanita.
Berkali-kali telefonnya berdering. Menerima panggilan daripada nombor yang sama. Jujur, Nik tak kuasa untuk menerima panggilan tersebut. Lagipula, dia lagi sibuk menjahit baju yang ditempah pelanggan.
Mungkin bosan bila panggilan tidak dijawab, bertubi-tubi notifikasi naik di skrin telefon.
Telefon dicapai. Tangan menari di dada skrin. Nombor panggilan itu dicari dan diblock. Puas hati!
Hilang nombor tadi, naik satu nombor lagi. Nik tarik nafas. Dunia gila apa yang aku sedang tinggal ni? Tidak dapat tidak, panggilan itu perlu diterima sebelum bumi ini terbalik digegarnya.
"Helo..." Sapa Nik rendah.
"Along!" Suara keras ayah sudah menampar peluput telinga.
"Ya..." Malas-malas sahaja nada suaranya. Biar ayah tahu yang dia tidak suka dihubungi begini.
"Kenapa kau tak angkat panggilan telefon Yasir?"
"Along sibuk menjahit."
"Tak cukup itu, kau block dia? Berani betul kau, ya!" Tempelak Encik Ibrahim keras.
"Kan along cakap along sibuk. Baju ni customer nak ambik pagi esok." Nik membela diri.
"Itulah kau! Aku bagi hidup senang, kau tolak. Kau nak jugak susahkan diri menjahit tu kenapa?" Seperti biasa, ayah memang akan sentiasa memperlekehkan kerjanya yang satu ini. Sedangkan daripada hasil duit menjahitlah dia menyara mereka sekeluarga.
"Terima kasihlah ayah sebab susah-susah fikir pasal along. Tapi jangan risau, along dah biasa hidup susah tanpa bantuan sesiapa. Meneruskan kesusahan yang ada, bukan satu kesusahan pun." Sinis Nik menjawab.
"Kau perli aku? Siapa ajar kau jadi sombong macam ni?" Suara Encik Ibrahim makin tegang.
"Kalau tak ada apa-apa lagi yang ayah nak cakap, along nak sambung kerja." Jari sudah berkira-kira untuk menekan butang merah.
Meluat!
Kenapa baru sekarang sibuk mencarinya? Sewaktu kahwin dengan isteri muda dulu, langsung tak pernah tanya khabar berita. Langsung hilang cerita.
"Nik Kalsum!" Seru ayah kuat.
Pergerakan Nik terhenti. Stok sabarnya masih bersisa.
"Aku suruh kau kahwin dengan Yasir tu. Apa yang susah sangat? Dia boleh bagi kau kesenangan. Kau tak payah nak hidup susah lagi." Entah untuk kali yang keberapa dia perlu mengulang dialog ini. Kenapa sukar benar untuk Nik mengerti?
"Ya ke kesenangan pada along? Bukan pada ayah? Ayah nak along kahwin dengan Yasir boroi yang sebaya dengan ayah tu supaya dapat langsaikan hutang-hutang ayah, kan? Jadi isteri nombor tiga pulak tu. Ayah ingat along ni alat ganti kereta ke?" Intonasi suaranya memang tidak berjaya dikawal. Memang confirm dapat pangkat anak derhaka kejap lagi.
"Apa yang salah kalau jadi isteri nombor tiga pun? Islam sendiri benarkan poligami. Lagipun Yasir mampu. Dan sebab dia sebaya dengan akulah, aku suruh kau kahwin dengan dia. Kalau dia mampus, kau boleh kaut harta dia. Kita juga yang hidup senang, kan? Benda basic macam tu pun nak aku ajar ke?" Tempelak Encik Ibrahim lagi. Makin lama, makin mendidih hatinya bila bercakap dengan Nik.
Ya Allah, sungguh otak Nik rasa nak meletop sekarang. Apa punya pemikiran yang bapak aku ada ni?
"Maaf ayah, nenek memang tak didik saya untuk kaut harta orang." Sengaja ditambah minyak pada api yang sudah mara.
"Itulah masalah kau ni. Entah ajaran apalah yang orang tua tu dah bagi korang telan sampai benak macam ni. Cakap ayah sendiri pun tak nak dengar."
Penumpuk dikepal.
"Ayah boleh cakap apa je. Tapi jangan sesekali kutuk nenek." Suara Nik keras memberi arahan.
"Aku telefon bukan nak cakap pasal orang tua tu. Aku nak kau kahwin dengan Yasir tu jugak. Kau ingat kalau kau tak kahwin dengan Yasir tu, ada ke orang yang nak dekat kau? Selagi Rose bersama kau, nasib malang dan sial tu akan sentiasa mengekori kau!"
Nik gigit bibir. Sedari dahulu dia dimomokkan dengan nasib malang yang lahir bersama Rose dalam hidup mereka.
"Buat pengetahuan ayah, Rose tak bawak malang atau sial pada sesiapa pun. Orang yang percaya Rose ni bawak malang adalah orang yang tak ada akal. Tak ada iman. Tak ada hati perut." Barangkali ayatnya terdengar kasar. Tapi makin dia diam, makin menjadi-jadi pulak perangai ayahnya.
"Patutnya dari kecil lagi aku cili mulut biadap kau tu. Orang tua tu ajar kau supaya jadi anak derhaka dengan ayah sendiri ke?"
Ada senyuman sinis menyelimut wajah Nik. Tepat sangkaannya tadi. Memang murah benar label anak derhaka tu dari mulut ayah.
"Maaflah ayah, along ada banyak kerja nak kena buat. Selamat malam. Assalamualaikum." Panggilan diputuskan tanpa berfikir lagi. Sebelum telefonnya kembali memekak, cepat-cepat dia matikan.
Dahi dilabuhkan ke meja menjahit. Entah apa yang perlu dibesarkan tika ini. Balang sabar mahupun balang kekuatan. Yang pasti stok sabar dan kekuatannya makin menyusut. Hampir kering-kontang dibuatnya.
Belum lagi Nik reda menyusun emosi sendiri, telinganya menangkap bunyi kereta di luar rumah. Kaki terus bergerak ke tingkap. Sekadar mengintai daripada jendela.
Nampak susuk tubuh seorang lelaki yang membuka pintu buat adiknya. Tangan lelaki itu juga ligat mencubit pipi Dahlia. Depan kawasan rumah pun nak bermanja begini?
Bila melihat tubuh Dahlia yang merapati pintu rumah, Nik menjarakkan diri. Bila pintu gril rumah terbuka dari luar, terpancul wajah Dahlia.
"Kau dari mana?" Tegur Nik mendatar. Dia dah tak ada kudrat untuk bergaduh dengan sesiapa pun.
"Whoaa tak sangka kau buat kerja part time jadi pak guard sekarang? Hidup kau terlalu lapang ke sekarang?" Ditutup rasa terkejut yang ada. Sangkanya, Nik telah tidur.
"Keluar waktu pagi. Malam hari baru reti nak balik. Kau ke mana je lepas habis kelas? Kau tu perempuan. Jagalah maruah diri tu sikit. Nanti apa jiran-jiran fikir?" Nik tak berniat nak membebel. Tapi entah untuk keberapa kali dia perlu mengulang dialog yang sama.
Dahlia mendengus.
"Banyak lagi kerja aku daripada nak fikir pasal jiran tetangga ni. Kalau dia orang nak fikir aku perempuan murah pun, peduli apa aku!"
Penumbuk dikepal. "Cubalah sesekali dengar cakap orang sikit Lia."
"Bisinglah! Kalau tak nak aku balik malam, esok aku tak balik terus. Biar aku bermalam kat mana-mana. Orang balik rumah untuk tenangkan diri, tapi rumah aku pulak bertukar neraka dapat kakak yang suka membebel macam kau ni."
Bum!
Dahlia menghilang di balik pintu dengan dentuman yang kuat.
"Ya Allah, kenapa semuanya tak pernah terlihat mudah?" Berulang kali Nik menarik nafas. Cuba menenangkan diri. Dia tak boleh jatuh. Dia tak boleh patah. Dia tak boleh sakit. Dia masih punya Rose dengan nenek untuk dijaga.
Tangan kanan naik menyentuh bahu sendiri.
Nik, tetap kuat ya.
Kau dah biasa kuat. Kau hanya perlu kuat sikit je lagi.
YOU ARE READING
Rumah Tanpa Luka
RomanceKerana mempertahankan Rose Ameena, Nik Kalsum dibuang keluarga. Dalam kehidupannya yang penuh warna kelabu, Nik yang garang dipertemukan dengan Ahmad Qiuzi yang tenang. Lelaki itu tak ubah seperti sebungkus ubat yang menyembuhkan. Tapi sayang kerana...