"ACIK! Kau kenapa baru bagitahu along!" Terjerit kecil Taliya apabila mendengar apa yang disampaikan oleh Thaqif dalam panggilan itu. Dapur gas dipadamkan apinya lalu dia melangkah ke arah bilik tidur.
"Acik minta maaf, along. Tak jangka pula tiket tak tersisa langsung untuk acik." Terdengar suara adiknya itu mengendur di hujung talian.
"Kau baru tengok ke tiket tu?" soal Taliya dengan ton suara yang sudah direndahkan. Mula timbul rasa kasihan pada adik lelakinya itu.
"Ya, salah acik."
"Tiket bas pun dah check?"
"Dah tapi tetap tak ada, dah habis."
Taliya mengeluh perlahan sebelum menarik nafas panjang, pening memikirkan adik lelakinya yang seorang itu.
"Lain kali beli tiket awal-awal acik, dalam Malaysia ni bukan kau sorang aje yang nak naik public transport."
Thaqif hanya mampu menggaru kepala yang tidak gatal apabila mendengar bebelan kakak sulungnya itu. Kalau boleh, dia tidak mahu memaklumkan kakaknya tentang hal ini tetapi dia tiada pilihan lain apabila semua tiket pengangkutan awam sudah habis dibeli orang lain.
"Sorry, along." Tulus dia mengucapkan rasa bersalah itu.
"Kau balik bila ni, acik?" tanya Taliya lagi.
"Esok." Dalam pipi digigit. Thaqif dapat merasakan bahawa gunung berapi itu akan meletus dalam masa tiga saat dari sekarang.
"ESOK? Pastu kau baru nak bagitahu aku hari ni? Kenapa tak call aku esok aje, Muhammad Thaqif?" Baru saja marahnya mahu reda, adiknya telah menyimbah minyak ke bara api yang tersisa.
"Maaf along." Hanya itu yang mampu meniti bibirnya sejak tadi. Memang salah dia jadi dia hanya mampu menadah telinga walaupun tak rela.
"Maaf, maaf. Pastu nanti buat lagi. Kalau kau ada depan aku sekarang ni acik, aku lempang-lempang muka kau sampai jadi lempeng," bebel Taliya macam mak-mak.
Thaqif hanya mampu mengemam bibir menahan tawa dari terlepas apabila mendengar bebelan Taliya. Kalau tergelak, mahu mampus dirinya dibelasah oleh kakaknya itu nanti.
"Acik janji tak buat lagi lepas ni."
"Ya ke? Kau buat macam along ni baru kenal kau tiga hari eh, acik? Dah 17 tahun tau aku jaga kau. Kau jangan reti nak berjanji aje tapi bila nak laksanakan, hm hampeh! Janji dicapati!" Sinis kedengaran suara Taliya membalas percakapan adiknya tadi.
Thaqif sudah biasa dengan keadaan begitu jadi dia hanya mendiamkan diri sambil menggaru dahi. Tidak mahu membalas, risau amarah Taliya akan semakin membara disebabkan kesalahannya sendiri.
Peraturan hidup yang kedua, diam apabila dimarahi. Salah atau betul, lebih baik berdiam diri dan tunggu sehingga orang itu sejuk terlebih dahulu untuk mengelakkan masalah berpanjangan.
Keadaan menjadi hening seketika tanpa suara Taliya mahupun Thaqif.
"Esok along dengan adik pergi ambil kau." Kata-kata itu menyebabkan Thaqif membeliakkan matanya. Biar betul apa yang dia dengar tadi?
"Along ni biar betul nak datang ambil acik kat maktab?" soal Thaqif ragu-ragu.
"Dah tu kau nak suruh aku ambil kau kat rumah anak yatim ke? Apa punya soalanlah kau ni, acik."
Hanya satu soalan tapi tetap dia disembur lagi oleh Taliya. Beginilah hidup sebagai adik lelaki seorang Taliya. Boleh berdarah telinga tapi dia hadap sajalah sebab dia tahu, along sayangkan dirinya. Cuma mulut gadis itu saja seperti bontot ayam. Bising tak habis-habis.
"Acik tanya aje sebab risaukan along." Thaqif berkata jujur.
"Tak perlu risaukan alonglah, kau fikirkan diri kau tu aje." Potong Taliya laju.
"Along drive ke nanti?" soal Thaqif dengan nada lembut.
"Ya, kau nak aku merangkak?" Sekali lagi, kakaknya itu menjawab soalannya dengan jawapan sinis. Thaqif mula reda.
"Tapi along kan tak ada lesen, kalau kena saman macam mana?"
"Aku koreklah duit tabung kau, apa susah," balas Taliya bersahaja. Dia tergelak kecil apabila mendengar dengusan suara Thaqif. Tahu takut.
"Jangan risaulah, acik. Doakan aje yang baik-baik. Esok pagi along bertolak dengan adik. Kau tu, pack barang elok-elok. Kalau tertinggal, aku memang tak akan patah balik dah," pesan Taliya sebelum bersandar di dinding bilik.
Fuh, hilang segala lenguh. Dari tadi dia tidak sempat duduk dek berita mengejut daripada Muhammad Thaqif itu.
"Terima kasih along, sorry acik dah susahkan along," kata Thaqif sambil tersenyum lebar. Tak sabar nak balik!
"Kalau kau tak susahkan along, kau nak susahkan siapa acik? Lebih baik kau susahkan aku sampai bila-bila. Along rela, acik. Hidup aku ni memang dah dibaktikan untuk keluarga kita, jadi jangan rasa bersalah. Tapi jangan kau tak ada rasa bersalah langsung pula dalam diri tu, karang dipijaknya pula kepala aku yang cantik ni." Seloroh Taliya dalam nasihatnya.
Jujur, dia tidak mahu adik-beradiknya menyusahkan orang lain. Mereka masih ada dia, kakak yang akan buat apa saja. Dia tak mahu orang berkata buruk tentang keluarga mereka. Biar dia yang susah, janji adik-adiknya senang selamanya.
"Along," panggil Thaqif setelah mereka berdua berdiam diri.
"Hm?"
"Acik sayang along," luah Thaqif secara tiba-tiba mencetus senyuman kecil di bibir Taliya. Remaja lelaki itu sangat jarang menunjukkan perasaannya. Jadi apabila sekali sekala Thaqif seperti ini, hati Taliya terasa berbunga-bunga.
"Kalau sayang along, tolong jaga diri baik-baik ya acik," pesan Taliya lagi.
Taliya pun cantik, sumpah!
YOU ARE READING
Si Bisu Pujaan Hati [TERBIT]
Romance[BAKAL TERBIT] "Awak ni sombonglah. Saya dah cakap terima kasih, cuba awak balas 'sama-sama kasih'. Tenang sikit telinga saya." - TALIYA FARIHA Baru pertama kali berjumpa, Ezrul Istafa sudah dicop sebagai sombong hanya kerana tidak membalas 'sama-sa...