"THUFAIL, sini!" jerit Taliya kuat apabila melihat si bongsu yang terpinga-pinga di luar pintu tadika.
"Thufail!"
Taliya menghembus nafas berat sebelum mematikan enjin motosikal. Perlahan dia berjalan ke arah si kecil itu. Belum sampai separuh perjalanan, Thufail ternampak kelibat Taliya dan membuka langkah meninggalkan kawan-kawannya yang lain.
"Along!" Terus dia berlari terkedek-kedek ke arah Taliya.
"Eh, jangan lari. Kang jatuh, macam mana?" tegur Taliya sebelum mengambil beg sekolah adiknya. Thufail hanya tersengih sebelum menggenggam jemari kakak sulungnya itu.
"Along, hari ni kan, adik kan belajar doa baru." Taliya hanya tersenyum kecil melihat adiknya yang petah berbicara. Jemarinya yang digenggam oleh Thufail turut dihayun perlahan.
Kau memang betul-betul ikut perangai aku ni, dik. Taliya tersenyum kecil.
"Doa apa tu? Cuba adik baca, along nak dengar." Badan Thufail diangkat sebelum diletakkan di atas kerusi motosikal. Kaki kecil itu diletakkan di dalam bakul motor.
"Doa tu macam ni." Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dia mula membaca doa yang dihafalnya tadi. Kedua-dua tangan sudah digenggam dan dirapatkan ke dada.
"Hadis pertama! Sebaik-baik amal!" Kuat suara kecil itu memenuhi ruang parkir tadika. Taliya hanya membalas senyuman yang diberikan oleh orang-orang di situ.
Ini bukan doa dik, ini hadis.
"Innamal a'malu binniyat!" Thufail berhenti seketika dan menelan liurnya.
"Maksudnya, sesungguhnya... Em, apa tu. Amalan itu dinilai dengan niat!" Semakin bersemangat Thufail berkongsi berserta gaya tangannya.
"Takpe, adik ulang balik. Innamal a'malu binniyat. Sesungguhnya amalan itu dinilai dengan niat. Habisss!" kata Thufail sambil tersengih lebar sampai nampak gigi susunya. Taliya menepuk tangan meraikan adiknya.
"Wah, bagusnya adik along dah mula hafal hadis. Hadis ni cerita pasal apa dik?" Saja Taliya menyoal kefahaman adiknya walaupun dia tahu, soalan itu tidak sepatutnya ditanya pada budak berumur 5 tahun.
"Erm, tadi ustazah cakap apa yang kita buat kita kena niat untuk Allah dan Rasul. Kalau kita niat macam tu, kita dapat pahala banyak-banyak." Thufail mendepakan kedua-dua lengan dengan seluasnya untuk menunjukkan nilai banyak itu.
"Betul ke along?" sambung Thufail lagi. Terkebil-kebil mata bundar itu memandang wajah kakaknya.
"Betul! Pandainya Muhammad Thufail! Siapa ajar ni?" Taliya terus mencubit geram kedua-dua pipi tembam adiknya. Ei, rasa nak gigit!
"Ustazah yang ajar." Taliya tersenyum mendengar jawapan Thufail sambil menghidupkan motornya.
"Along, hari ni kita pergi jumpa mak tak?" soal Thufail sambil menoleh ke belakang, melihat kakaknya yang khusyuk membawa motor.
"Pergi. Hari ni kan Jumaat."
"Yeay! Adik nak baca doa tadi pada mak nanti!" ujar Thufail dengan nada yang ceria sambil bertepuk tangan. Dia teruja mahu bertemu dengan emak.
Taliya hanya tersenyum nipis.
"Thufail anak yang baik." Dada adiknya itu diusap lembut daripada belakang.
"BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM..." Taliya terus mengangkat tangan gaya berdoa apabila terdengar suara adiknya yang sedang membaca surah al-Fatihah di hadapan kubur emak mereka. Sesekali Taliya menegur bacaan Thufail yang kadang-kadang tersalah tajwid.
"Aaaamin." Terus tangan kecil itu disapukan pada wajahnya yang bersih dari sebarang cela. Taliya tersenyum kecil melihat gelagat si kecil itu. Masih kecil tapi sudah memahami situasi mereka sekarang.
Hatinya berasa sakit apabila ada yang bercakap buruk tentang Thufail yang menjadi penyebab kematian emaknya lima tahun yang lalu. Dia sangat tidak faham dengan makhluk yang menyibuk sebegini. Kenapa suka mengambil kerja Tuhan untuk menghukum?
Thufail tidak pernah menjadi penyebab kematian emak. Sudah ajalnya pada ketika itu. Manusia mana yang mampu melawan takdir Allah? Anak-anak mana yang mahu kehilangan emak pada usia setahun jagung?
Bagi mereka sekeluarga, Thufail ialah satu rahmat, pengganti kepada gerangan emak. Tidak ada sekelumit pun perasaan benci yang muncul pada kanak-kanak comel itu. Apa pun yang terjadi, Thufail adalah si bongsu mereka sampai bila-bila.
"Mak... Hari ni kan... adik kan... ada belajar doa baru. Pastu tadi adik dah baca kat along..." Suara Thufail mula tenggelam apabila telefon Taliya berbunyi.
Dia menjauhkan diri sedikit untuk memberi ruang kepada budak kecil itu berbual dengan emak. Laju dia menjawab panggilan apa bila nampak nama abah di skrin telefon.
"Helo assalamualaikum, abah." Mata masih melekap pada Thufail yang seronok bercerita di situ.
"Waalaikummussalam, along kat mana? Kenapa tak balik lagi?" Soalan abahnya menyebabkan Taliya mengerutkan dahi.
"Along ada di kubur ni, bawa adik jumpa mak. Kenapa abah? Abah dah balik ke?"
"Oh, kat kubur ke..." Perlahan suara tua itu kedengaran di hujung telinga Taliya.
"Abah dah sampai rumah ke?"
"Ya, abah baru sampai ni. Nak rehat kejap, nanti nak pergi solat jumaat," kata abah sambil menyandarkan badannya ke kepala katil. Mata dipejamkan seketika.
"Abah kalau nak makan, along dah masak tau. Nanti abah petik dulu nasi tu, dah sejuk kot tu sebab along masak pagi tadi," balas Taliya panjang.
"Ya baiklah. Kau ni long, membebel mengalahkan mak kau." Taliya terus ketawa sebelum menutup mulutnya apabila tersedar dia masih berada di kubur. Macam kurang beradab jika dia meneruskan tawanya ketika itu.
Selepas tamat panggilan, Taliya terus melangkah ke arah Thufail. Digosoknya kepala si bongsu itu.
"Adik nak balik dah ke nak tunggu sekejap lagi?"
Adiknya berpaling ke arah Taliya. Bibir kecil itu tersengih sehingga menampakkan giginya. Taliya terus menjungkitkan sebelah kening.
"Apa hal buat muka macam tu?"
"Adik lapar." Perkataan lapar itu dileretkan panjang.
"Ha, jom balik. Hari ni kan, along ada goreng ayam berempah kegemaran adik tau," kata Taliya sambil mencubit pipi tembam adiknya. Ish, geramlah dengan lemak itu!
"Yeay ayam goreng!" Thufail terus memeluk leher kakaknya itu sampai terduduk Taliya dibuatnya.
"Adik! Kotorlah seluar along. Along nak pakai pergi meniaga malam ni tau, aduhai budak ni." Taliya terus bangun dan menepuk belakang seluarnya. Sabar sajalah ada adik manja macam ni.
"Sorry along..." Thufail mula sebik dek terkejut dengan intonasi suara Taliya itu.
"It's okay, along tak ada mood nak marah. Jom kita balik, jom." Tangan adiknya digenggam untuk menuju ke tempat parkir.
"Kejap, adik tak baca lagi doa ibu bapa untuk mak." Tangannya ditarik daripada genggaman Taliya sebelum mula membaca doa untuk emaknya di situ.
"Let's go home!" ajak Taliya sambil menghayun perlahan tangan adiknya.
"Let's go!"
Dah boleh start menabung ye gais👀
YOU ARE READING
Si Bisu Pujaan Hati [TERBIT]
Romance[BAKAL TERBIT] "Awak ni sombonglah. Saya dah cakap terima kasih, cuba awak balas 'sama-sama kasih'. Tenang sikit telinga saya." - TALIYA FARIHA Baru pertama kali berjumpa, Ezrul Istafa sudah dicop sebagai sombong hanya kerana tidak membalas 'sama-sa...