Hutan itu luas. Penuh dengan pepohon hijau yang menyejukkan mata. Unggas berterbangan menghasilkan bunyian yang menjadi halwa telinga. Indah dipandang, indah juga memusnahkannya.
Bagaimana dia tahu?
Kerana dia adalah si pemusnah. Dia datang membawa jentolak. Mengaut, menebang dan menghancurkan segala flora. Dia di sini kerana satu tawaran iaitu gaji yang lumayan.
Jika kau menentang pekerjaannya, maka dia akan menebas kau juga laksana tumbuhan di sini. Dia tidak berperasaan. Dia tidak punya akal fikiran. Itulah bisik-bisik manusia tipikal di luar sana.
Manusia tipikal. Hidup bagai ditatang minyak yang penuh, kemudian lancang mulutnya menghina pekerjaan ini. Inilah pekerjaan yang menghidupkan anak isterinya. Pekerjaan yang memberikan dia sesuap nasi bersama lauk untuk dimakan bersama keluarga.
Dia tidak miskin, dia tidak mewah. Dia hanya hidup secukupnya. Berbekalkan gaji daripada pekerjaan ini. Mungkin sekali sekala dia bersama keluarga pergi melancong di Amerika. Tetapi itu hanya sekali setahun.
Kerana tempat yang dia lebih gemari ialah Costa Rica. Baginya Amerika terlalu moden, hijau-hijauan yang ada hanyalah plastik. Costa Rica lebih menarik dengan hutannya yang luas, udara yang segar dan yang paling utama habitat haiwan di Costa Rica masih tidak terganggu.
Dia masih boleh melihat monyet bergayutan, mendengar burung berkicauan dan menghirup nyamannya udara hutan.
Kalau kau tanya tentang hutan, tentang haiwan, dia akan katakan bahawa dia sayang mereka. Pekerjaannyalah yang memaksa dia menghancurkan kesayangannya.
Jika ditanya sewaktu dia mula bekerja, dia akan menghuraikan betapa tangannya menggigil semasa memegang stereng untuk memandu kenderaan pemusnah itu. Dia juga akan menyelitkan tentang gear yang tidak mahu disentuhnya agar hutan sentiasa terjamin.
Tetapi, satu yang dia sentiasa ulang berkali-kali, keluarganya perlukan makanan, keluarganya perlukan wang, keluarganya perlukan itu dan ini. Mungkinkah keluarganya juga perlu pergi ke Amerika disebabkan melakukan pembedahan? Atau hal negara yang amat penting di Costa Rica? Jangan kau mencurigainya kerana dia memang sayangkan hutan.
Kau sudah tahu, dia adalah si pemusnah. Tetapi tahukah hutan? Tahukah hutan bahawa di dunia ini ada seorang manusia yang menyayanginya dan dalam masa yang sama memusnahkannya? Sehipokrit apakah kata-katanya? Sungguh bertentangan sekali apa yang keluar dari mulutnya berbanding apa yang tangannya kerjakan.
Sayang macam apakah itu? Jika pilihan diberikan kepada kau, antara hutan dan keluarga, yang mana satukah akan menjadi pilihanmu.
Pertanyaan ini tidak perlu direnung, kerana aku sendiri sudah tahu jawapannya. Malah hutan lebih maklum juga. Manusia tidak pernah memilih hutan. Pertanyaan ini cukup dijawab dengan pekerjaan si dia yang bernama pembalak.
Pembalak hutan.
YOU ARE READING
Koleksi Tulisan Ringkas
CasualeIni hanya benda yang tidak difikirkan dahulu sebelum ditulis. Ada banyak genre. Jika terjumpa sebarang kepelikan harap berdiam diri sahaja ataupun tidur. Sila vote mana yang anda suka sahaja.