Bab 1

568 12 0
                                    

Hari ini Ajan minta lagi dia keluarkan duit untuk pembelian barang dapur. Sakit hati tak usah cakap, sudah dikata berkali-kali duit yang ada hendak disimpan untuk digunakan ketika kecemasan tetapi, Ajan tetap mendesak.

"Kau keluarkan dulu duit belanja untuk minggu ni. Duit aku dah habis bagi kat mak aku."

Bukan sekali dua. Malah berkali-kali Ajan mahu dia dahulukan duit belanja rumah. Kalau sekali dua, Niya masih boleh bertolak ansur tetapi perkara ini sudah berlarutan semenjak mereka berkahwin lagi.

"Orang mana ada duit lagi dah bang. Semalam mama minta duit nak bagi kat Ija."

Kalau diganti semula, Niya boleh tutup mata beri sahaja tetapi Ajan tidak mungkin akan mengganti semula wangnya.

"Habis duit jual tudung tu di mana? Ke kau bela jantan belakang aku? Mustahil tak ada duit lebih!"

Ajan mempersoalkan pula jualannya. Walhal bukan Ajan tidak tahu, perbelanjaan keluarganya dia tanggung seorang. Belum kira lelaki itu yang suka meminjam tanpa membayar semula.

"Mama minta. Habis dahlah duit tu. Yang tinggal pun, Orang nak simpan untuk kecemasan."

Bang!
Ajan tumbuk meja berserta dengusan kasar.

"Keluarkan duit simpanan kau dulu. Dapat gaji nanti, aku bayar balik."

"Mana boleh. Duit tu Orang tak nak kacau."

Janji Ajan tidak mungkin tertunai. Lagipun, jika dikira-kira hutang Ajan kepadanya mungkin sudah berpuluh ribu.

"Kedekutlah kau ni! Kau jangan sampai aku buat benda yang kau tak suka Niya. Kau memang suka tengok aku ni teruk di mata family kau kan? Teruk sampai keperluan bini pun tak mampu sediakan."

Niya hembus nafas lemah. Sakit hati apabila Ajan mula berkata kasar.

"Tanggungjawab abang kan..."

Perlahan saja suaranya membalas namun, Ajan sudah menyinga.

Bang!
Bang!

Dua kali meja ditumbuk Ajan, kuat.

"Hoi, benda senang kut. Kau nak aku cakap bahasa apa nak bagi kau faham hah? Aku cuma minta kau dulukan duit sendiri untuk belanja dapur minggu ni. Takkan itu pun susah sangat nak faham?"

Herdikan kuat Ajan disambut dengan mata yang terpejam. Dia sudah imun sejak dulu. Sudah tiada ketakutan yang beraja dalam hatinya saat ini. Nanti apabila amarah suaminya itu hilang, maka baiklah hubungan mereka juga.

"Maaf, Orang tetap nak simpan duit tu."

Niya keraskan hati. Kali ini dirinya tidak akan menurut kata-kata suami sendiri. Dia sudah lelah menjadi pak turut. Bahkan hampir tiga tahun perkahwinan mereka dan selama itulah dia dilayan seperti 'hamba'.

"Baik. Kalau betul kau tak nak ikut cakap aku. Kau tunggu, Niya! Kau tunggu dan lihat aku akan buat apa!"

Bang!

Kali ini, meja sudah terbalik. Bahana amarah Ajan.

"Kau jangan cari aku sehari dua ni! Kau nak terlingkup ke apa ke? Ikut kau Niya! Tapi selama aku tak ada ni aku haramkan kau keluar dari rumah ni!"

Bang!

Sempat ditumbuk pintu sebelum kelibat lelaki itu hilang di sebalik pintu.

Melihat tiada sudah bayang Ajan, Niya hembus nafas lega. Biarlah suaminya itu tidak ada di rumah buat masa ini, bolehlah dia mengutip semangat yang mulai hilang bahana perlakuan kasar lelaki itu.

Sehari dua ini, dia juga mahu bekukan kiriman tudung pada pelanggan. Terpaksa menurut walaupun ada beberapa perkara yang perlu dia selesaikan termasuk mengambil stok tudung dengan pembekal.

ISTERI TIDAK BERTAKHTAWhere stories live. Discover now