BAB 1

652 64 7
                                    

MUNGKIN tiada yang mengingati apa yang telah berlaku.

Mungkin ada yang tahu tetapi dipaksa untuk mengunci bicara.

Sedang lelaki itu tidak berkelip melihat segenap ruang udara. Suasana hospital menjengah mata. Permandangannya yang kabur tadi telah pun menjelas. Bagaikan cendana di dalam sepersalinan pesakit. Terbaring di situ tidak bermaya walau untuk mengangkat tangan sendiri.

Di kiri dan kanannya berdiri utuh seorang doktor lelaki dan dua orang jururawat perempuan.

Dia menarik nafas dan menghembuskan perlahan-lahan seperti yang disuruh. Mata dikerdipkan sekali dua. Begitu kering tekak dirasai. Sedar, setiap pasang mata sedang memandangnya. Dia jadi sedikit keliru.

"Yusuf Zayyad," panggil doktor bertali leher. Pagi ini mereka dikejutkan dengan kesedaran pesakit koma di bilik 24. Pesakit itu ialah seorang anggota polis lelaki yang terlibat dengan sebuah tragedi kebakaran. Di bilik kelas pertama ini, maklum juga bahawa yang terlantar ialah anak orang kenamaan tanpa limit pembayaran kos perubatan. Pendek kata, semahal apa prosedur yang hendak dijalankan tidak mendatangkan masalah daripada segi kewangan.

Yusuf Zayyad bin Dato' Malik.

"Yusuf Zayyad," panggil doktor sekali lagi dengan mesra. Pemeriksaan telah dilakukan dan pesakitnya berada di tahap yang stabil.

Zayyad mengangkat kelopak matanya dan mula memberikan sebuah pandangan kosong. Tidak pasti apakah yang dipanggil itu namanya. Terasa begitu dekat apabila patah perkataan 'Yusuf Zayyad' menyapa corong telinga.

Yusuf.

Zayyad.

Mana mungkin dia berasa asing pada nama yang telah dimiliki sejak lahir di muka bumi.

"Tuan Zayyad, boleh dengar suara saya?"

"Siapa Yusuf Zayyad?" Untuk kepastian, Zayyad bertanya kembali. Suaranya kedengaran perlahan saja. Hampir tidak berputik bait perkataan. Dia benar-benar berasa tidak larat dengan batas kudrat tersisa.

"Nama tuan, Yusuf Zayyad. Saya doktor Luqman... Doktor yang uruskan tuan selama tuan berada di hospital ni," terang doktor Luqman.

"Tuan Zayyad ingat tahun ni tahun apa?" sambungnya lagi.

"Tak pasti."

"Tuan kenal Adkayra?" Tangan doktor itu mempelawa salah seorang jururawat perempuan bertudung untuk tampil selangkah dekat.

Mata Zayyad menatap wajah gadis itu lama. Daripada bundar matanya, turun ke lekukan bibir yang beroles lipstick merah delima. Seakan pernah berkenalan di suatu ketika tetapi tidaklah dia merasakan begitu kuat perasaannya. Mungkin dia mengenali gadis bernama Adkayra ini.

"Tak," kata Zayyad. Kepalanya bertambah sakit apabila cuba menganalisa lebih lagi. Terpejam sebelah mata kiri menahan rasa itu.

"Tuan tahu pekerjaan tuan sebagai apa?" Doktor Luqman tidak sedar akan tindakannya yang melulu. Malah, jika dibenarkan dia mahu menanyakan seribu satu soalan yang berkaitan dengan tragedi tahun lalu. Terlampau banyak tanda soal yang dinokhtahkan sejak Inspektor Zayyad tewas di lapangan.

"Tak." Dada Zayyad mula beralun kencang.
Taluan soalan menyesakkan jiwanya untuk memproses segala bicara dalam waktu yang singkat. Sakit di kepala menyengat dan menyeri. Langsung kedua-dua belah kelopak mata dipejamkan tuk seketika.

Jawapan tersebut menghampakan doktor Luqman. "Maaf, saya bertanya banyak sangat soalan. Saya cuma nak pastikan tuan tak hilang ingatan. Sebab-"

"Doktor, kita beredar dulu. Pesakit nak berehat," potong jururawat yang bernama Adkayra. Sejak tadi Adkayra memerhati tidak enak. Risau keterlanjuran doktor muda itu akan memudaratkan keadaan pesakit walhal Yusuf Zayyad baru sahaja mencelikkan mata setelah 12 purnama lamanya.

TUAN ZAYYAD ✓ (new story)Where stories live. Discover now