"DENGAR khabar, Inspektor Zayyad dah sedarkan diri dari koma. Iya?" Seorang pengarah berpangkat Komisioner Polis menyertai meja makan yang diduduki beberapa pegawai polis bawahan.
"Ya, Tuan Athif. Dia baru sedar beberapa hari yang lalu."
Kafeteria pejabat polis mula dipenuhi para pegawai seusai mesyuarat unit pada pagi itu. Unit narkotik adalah antara unit yang sentiasa hangat. Kes-kes jenayah berkaitan penyalahgunaan dan pengedaran dadah acap kali tumbuh hilang berganti.
"Tapi khabar angin mengatakan yang dia hilang ingatan," seorang koperal polis menambah ayat rakannya.
Athif menghela nafas halus. Zayyad ialah orang kuatnya dalam unit siasatan khas. Siasatan terakhir Zayyad sebelum tewas di lapangan ialah mengenai sebuah kumpulan tanpa nama. Zayyad menggelarkannya sebagai 'kumpulan X'. "Mesyuarat tadi ada juga utarakan untuk teruskan siasatan Inspektor Zayyad tapi... Agak mustahil andai Zayyad sendiri dah hilang ingatan tentang semua ni."
"Bukan ke kes siasatan Tuan Zayyad dah ditutup dengan tangkapan beberapa orang suspek utama. Salah seorang suspek ialah... Kawan baik Tuan Zayyad sendiri," Mirza mencelah. Karipap pusing di meja tidak berusik sesiapa kerana isu Zayyad hampir setahun menyepi dan didiamkan. Pagi ini, pejabat polis dihidangkan dengan berita tentang Yusuf Zayyad yang telah sedarkan diri.
Athif mengangguk sekali. Menjadi ketua unit ini, setiap ahli adalah di bawah tanggungjawabnya. Entah bagaimana Zayyad boleh diperangkap begitu mudah untuk ke markas musuh.
Teruk tubuh inspektor muda itu tatkala pasukan polis tiba di lokasi kebakaran. Wajah Zayyad berlumuran darah. Hidungnya patah, bibirnya terkoyak. Lengan kanan lelaki itu juga terbakar. Mereka hampir kehilangan Zayyad di dalam ambulans. Paru-parunya tidak berfungsi dek dicemari asap yang begitu banyak.
Athif tahu unit siasatan khas tidak akan melupakan hari hitam tersebut. Nyawa ketua mereka di hujung tanduk. Bahkan Athif sendiri yang memberikan bantuan pernafasan sebaik sahaja tubuh Zayyad dibawa keluar jauh daripada lokasi kebakaran. Zayyad tidak bernafas sewaktu dia menjumpainya.
Yakin ini angkara 'kumpulan X' yang menyasarkan Zayyad dari mula. Segala bukti berjaya menyabitkan Wan Lutfi, rakan baik kepada Inspektor Yusuf Zayyad.
"Kawan baik dia yang doktor pakar tu?"
"Ya, Doktor Lutfi," jawab Athif. Hatinya jadi berat.
Mirza bagaikan dapat meneka perasaan ketuanya, Athif. "Kami semua tak tahu nak beritahu macam mana dekat Tuan Zayyad pasal perkara ni... Dengan keadaan dia yang baru bangun dari koma, hilang ingatan... Kawan rapat dia yang dia anggap macam adik beradik disabitkan dengan kesalahan dadah."
"Hay wired." Athif tersenyum hambar. Dia sendiri masih belum menziarahi Zayyad kerana bimbang Zayyad masih trauma dengan segala yang telah berlaku.
"Tuan Athif, nanti kalau Zayyad dah keluar hospital, kita melawat dia di rumah. Kita buat makan-makan macam yang selalu unit kita buat." Seorang pegawai memberikan cadangan.
Masing-masing bersetuju sebulat suara. Mereka harus berikan kekuatan pada Zayyad. Jika sudah sepakat, seeloknya topik Zayyad dinokhtahkan bagi memberi laluan kepada minum pagi. Barulah secangkir teh dahlia dapat dinikmati tenang.
"Setahun rumah dia kena tinggal. Macam mana la agaknya rupa rumah tu."
"Eh, kau tak tahu ke yang Tuan Zayyad dah kahwin? Isteri dia yang jaga rumah tu selama ni."
"Ha? Mamat beku tu dah kahwin?!" Mirza terkejut beruk. Matanya tidak berkelip. Lantang suaranya dapat didengari polis-polis lain di meja sebelah.
"Bukan main bergosip. Lelaki kalau bergosip mengalahkan perempuan ya!" Sempat seorang pegawai polis wanita menyindir Mirza. Kebetulan dia lalu di sebelah kumpulan mereka. Nama 'Zayyad' tidak henti-henti menerpa pendengarannya.
YOU ARE READING
TUAN ZAYYAD ✓ (new story)
Misterio / SuspensoBismillah "Something is off..." -Yusuf Zayyad- "Kita dah kahwin sejak tahun lepas, Yusuf Zayyad " -Adkayra- Ketidak sefahaman demi ketidak sefahaman terbit sejak Zayyad mencelikkan mata dari komanya. Tetapi dia tidak dapat menemukan apa yang kurang...