BAB 2

450 65 5
                                    

ZAYYAD cuba untuk mengalihkan kaki kanannya.

Selimut putih sudah hilang entah ke mana. Habis dicampakkan bersama-sama bantal ke lantai sesaat yang lalu.

Tempat asing ini meresahkan jiwa dalam lautan keliru.

Dia meringis kesakitan.

Kakinya tidak mampu dibengkokkan pada mana-mana darjah. Kekal lurus dan memberat bak batu sahaja. Niat asal hendak turun daripada katil terbantut.

"Kenapa ni?!" bengangnya pada kaki sendiri. Pandangan meliar ke sekitar tanpa arah tujuan. Sekejap retina biru itu melihat pintu, kemudian dilihat tingkap yang tidak jauh dari katil.

Ini bukan tempatnya.

Zayyad menggenggam penumbuk kanan serta mencabut branula pada kekura tangan dengan sekali tarikan. Darah merah pekat pun menitis.

Kedegilannya untuk lari dari tempat itu makin membuak. Bilik asing seluas beberapa kaki ini, perkara pertama yang dilihatnya apabila mencelikkan mata tadi.

Lalu Zayyad memaksa diri mengalihkan kedua-dua batang kakinya turun ke bahu katil. Baru sahaja menapak langkah pertama, langsung badan lelaki itu jatuh mencium lantai bilik hospital. Berdetum bunyi hantukan kepala pada jubin marmar. Tempurung lututnya tidak kejap bagi menyokong apa-apa pergerakan pun.

Raungan kesakitan Zayyad memecah keheningan pagi.

Kaki kanannnya benar-benar sakit.

"Zayyad!" Adkayra segera mendapatkan tubuh pesakit di atas lantai itu. Bahu Zayyad dialihkan menghadapnya. Betapa rancak jantung berdegup. Mata hitam gadis itu terhenti pada ruas dahi yang telah lebam kemerahan.

"Kenapa tak tekan butang kalau nak pergi mana-mana?" Dia sedikit geram melihat keadaan Zayyad sebegini. Bercampur dengan kerisauan, Adkayra melaungkan nama seorang jururawat yang seingatnya berada tidak jauh dari bilik 24 ini.

"Lepaslah," marah Zayyad. Badan Adkayra ditolaknya menjauh tidak semena-mena.

"Jangan sentuh aku," kata Zayyad lagi. Cerlungan mata birunya menikam pandangan terkejut Adkayra.

Adkayra tersentak pada tindak balas Zayyad pagi itu. "Zayyad, ni saya... Adkayra."

"I dont know you."

Balasan lelaki berkenaan yang melayannya seperti orang asing mengelukan lidah. Adkayra tidak tahu mahu memberi respons apa sedangkan mereka baru sahaja makan malam bersama-sama. Mood Zayyad yang gembira menikmati hirisan roti dan sup ayam lenyap serta-merta. Hari ini Zayyad seakan-akan melihatnya buat kali pertama.

"Zayyad..."

Tidak lama kemudian, seorang jururawat lelaki muncul ke suasana kekok antara mereka berdua. "Kenapa ni?"

Gadis itu bangkit perlahan-lahan. "Pesakit jatuh. Suddenly jadi uncooperative padahal semalam okay je... Hm, Doktor Luqman ada ke hari ni?"

"Dia akan ward round jam 10 pagi. Kayra, pergi panggil lagi seorang nurse lelaki." Ryan merendahkan diri ke aras yang sama dengan Zayyad. Melihat pada tubuh badan tegap pesakit itu, dia tidak mampu untuk memapahnya seorang diri. Apatah lagi Zayyad sudah hilang kemampuan untuk berjalan buat sementara waktu.

Adkayra akur dan segera bergegas ke kaunter jururawat di sayap koridor tingkat empat.

"Apa semua ni?" soal Zayyad. "Aku dekat mana?"

"Tuan Zayyad, kita ada di hospital. Tuan baru sedar dari koma semalam. Jom kita naik ke katil balik, okay?" Ryan sedang kebimbangan andai kata kes pesakit jatuh ini sampai ke pihak atasan. Seluruh petugas tingkat empat bakal dipersoalkan bahkan digantung kerja. Nak-nak lagi Yusuf Zayyad ialah anak orang kenamaan.

TUAN ZAYYAD ✓ (new story)Where stories live. Discover now