PROLOG

59 4 2
                                    


JIKA sebatang jarum jatuh ketika itu, nescaya bunyi dentingannya memenuhi segenap ruang. Deru nafas pun tidak kedengaran di celahan tubuh-tubuh kaku yang merenung tanpa kedip ke arah barang yang bersalut baldu merah. Barang itu dibawa ke atas pentas peraga oleh seorang wanita yang berpakaian merah saga, sangat mencolok mata.

Pelelong mendekati barang itu dan menyambutnya daripada pembantu wanita dengan gerak-geri dramatik. Dia mula bermukadimah. Bersungguh-sungguh menceritakan informasi item kemuncak tersebut, sekali gus penutup acara berprestij ini. Acara yang saban masa meniti di bibir para pengumpul tegar di pasaran gelap.

Sebuah manuskrip dianggarkan usianya antara kurun ke-12 dan ke-13 yang berasal dari negeri di sebelah utara. Lebih tepat, berkait dengan asal usul pembentukan negeri Kedah. Desas-desus mengatakan manuskrip ini merupakan cebisan kisah legenda kerajaan beraja, pemerintah yang membuka penempatan di situ.

Lelaki bertopi putih dan berkot labuh kelabu kusam tidak turut serta membida dalam pusingan kemuncak. Seperti yang lain, akur akan kemampuan aliran kewangan masing-masing. Cukuplah melabur satu, dua barang bidaan yang tidak seberapa kerana harganya masih mampu milik. Proses membida untuk kategori itu dilakukan secara sulit. Identiti masing-masing dimasukkan dengan harga tawar bida ke dalam peti berkunci bagi setiap item yang dipamerkan. Petugas akan terus menghubungi mereka setelah tamat tempoh bidaan secara kod rahsia melalui telefon pintar masing-masing. Serta-merta pembayaran dilunaskan dalam talian.

Sedari tadi, lelaki bertopi putih tekun memerhatikan para pembida menandingi satu sama lain dalam suasana terkawal. Kenapa terkawal? Ini acara bida berprestij yang hanya dihadiri elitis atas jemputan penganjur. Tidak dihebohkan secara terbuka, jauh sekali diuar-uarkan di mana-mana laman media sosial.

Suasana gamat berganti sunyi. Bida pemula untuk sebuah manuskrip langka yang terlalu usang kondisinya mengambil tempat. Memang tidak masuk akal harga bida pemula, tapi itu bukanlah persoalannya. Semakin rancak bidaan dinaikkan dari satu takuk ke satu takuk, kian ramai yang akur untuk berundur.

Sebuah senyuman sinis terukir di bibir lelaki tadi. Dia hanya membida beberapa kali. Di tangannya kini terletak satu-satunya item yang sah menjadi miliknya. Selebihnya, dia memilih untuk menjadi pemerhati. Pun begitu, tindak-tanduknya tidaklah menarik perhatian sesiapa. Kerakusan mereka yang berada di situ didorong untuk mendapatkan setiap buku langka selagi mampu, secara tidak langsung menjadi hiburan sementara lelaki itu.

Peringkat awal sesi bidaan buat kali penghabisan disertai tujuh pembida disahut dengan bunyi-bunyi keluhan sebaik sahaja pelelong mengumumkan harga pemula. Dari tujuh, jatuh lima, kemudian empat pesaing bida dan suasana yang gamat beransur sepi. Masing-masing menggeleng kepala apabila taruhan harga sudah melampaui. Namun, dua pembida ini masih terus-menerus tidak mahu tewas di tangan pihak lawan.

Peluh merenik di dahi pelelong seraya suasana kembali sunyi. Pembida botak dan bertubuh katik sudah memerah mukanya. Lawannya ialah seorang lelaki segak berjambang dan berkening tebal. Dia melebarkan senyuman dan menjongket kening berulang kali ke arah pembida botak yang memaut tongkat emas rapat ke dada.

Suara pelelong mengulang harga bidaan untuk kali pertama sengaja ditekankan. Lelaki botak berbisik pada lelaki di sebelahnya, barangkali pembantunya. Mereka menggeleng dengan wajah tegang. Pelelong mengulang buat kali kedua harga bida si pihak lawan. Muram yang terpamer pada wajah lelaki botak cuba diselindung dengan menundukkan kepala. Hanya pembantunya yang menggeleng ke arah pelelong, cukup menjadikan ia satu isyarat yang difahami.

Pelelong mengangguk lantas mengulang harga mati lelaki berjambang lalu disusuli satu pengumuman muktamad. Manuskrip langka yang sangat lusuh itu, kini bertuan baharu.

BIBLIOMANIAWhere stories live. Discover now