BAB DUA

18 0 0
                                    

"KENAPA tak telefon mama dulu sebelum nak balik rumah ni? Mujur mama tak jadi keluar dengan Aunty Ida."

Siti Suhaila lantas memeluk Boon yang tersengih-sengih mendapatkannya. Pada pandangan matanya, anak keduanya ini tampak cengkung. Sewaktu memeluknya pun terasa badannya susut sedikit.

"Ini spontan saja, mama," balas Boon teragak-agak.

Ditatapnya wajah kesayangan itu. Acap kali melihat wajah ayu Siti Suhaila, hatinya pasti tenang. Setiap masalah akan merundum tika mendengar suara lunak lagi lembut yang keluar dari bibir yang jarang lekang dengan senyuman manis. Walau dibebel sekali pun, tidak pernah Boon makan hati dengan buah hati nombor satunya itu.

"Boon mesti kena balik selalu. Boon bukannya sibuk mana pun." Siti Suhaila menarik lengan anaknya yang masih tersengih-sengih, lalu berjalan seiringan menuju ke dapur.

"Makan malam di sini, ya? Mama minta bibik tambah lauk." Siti Suhaila membuka peti ais dan mengeluarkan bekas simpanan makanan sejuk beku.

Boon mengangguk.

"Okeylah, mama. Boon mandi dulu. Berlengas badan."

"Masa makan, mama nak cakap sikit dengan Boon." Riak wajah Siti Suhaila tampak tegas.

Tiba-tiba Boon terasa getar di dadanya. Baru sahaja hendak melangkah menaiki tangga, sekali lagi lengannya ditarik oleh ibu.

"Nak berapa?"

Siti Suhaila mengeluarkan buku cek bersama sebatang pen dari laci almari bersebelahan kabinet dapur. Seisi keluarga maklum bahawa Siti Suhaila selesa bekerja di dapur luar dengan sebahagian barang kelengkapannya disimpan di situ.

Bagi mengisi masa lapang, dia berkongsi niaga dengan rakan baiknya. Kepulangan Boon, sudah dijangka anaknya itu memerlukan bantuan wang. Kerap juga dia rasa bersalah memikirkan apa mungkin dia terlalu memanjakan anaknya itu. Namun, sejak suaminya tiada di sisi, Boonlah yang menjaga kebajikan dirinya berbanding si sulung dan si bongsu yang menetap jauh.

"Errr, mama tak ada cash? Boon nak pinjam beberapa ratus saja." Boon sudah lama menasihatkan ibunya untuk memuat naik sahaja aplikasi bagi urusan yang membabitkan wang ke dalam telefon pintarnya. Alasan keengganan ibunya ialah dia rabun dan kurang percaya dalam sesetengah perkara yang bergantung pada teknologi pintar.

"Cash tak ada sekarang. Mama bagi kad, Boon keluarkanlah berapa-berapa yang Boon perlu. Ambil sajalah, Boon. Mama faham sangat perkataan pinjam yang Boon cakap pada mama maksudnya belum tentu Boon ganti duit mama. Selama ini berapa kali Boon ganti duit mama? Macam tak ada saja." Buku cek disimpan. Sekeping kad sudah berada pada kepilan jari lalu disua pada anaknya.

Memerah wajah Boon menahan malu sejurus menyambut kad debit Visa yang dihulurkan.

Siti Suhaila menggeleng berulang kali.

"Malam ni, kita berbual-bual panjang."

Boon memanjatkan rasa kesyukuran kerana mempunyai seorang ibu yang baik hati hingga adakalanya dia merasa tidak layak menerima layanan sebegitu.

Sejam kemudian, Boon menghantar satu mesej WhatsApp kepada Mel.

Mel, aku dah transfer ke akaun kau. Gunalah duit tu bawa kereta kau keluar. Tak payah bayar balik. Aku pun ada hutang dengan kau, kan? Aku tak ingat berapa.

Hidangan pada malam itu ala kadar, namun masih beraneka lauk kegemaran Boon. Tunduk tekun Boon menyuap nasi ke mulut mengharapkan Siti Suhaila terlupa hendak berbual panjang. Dia buat-buat tidak nampak mata galak si ibu memandangnya dari semasa ke semasa.

BIBLIOMANIAWhere stories live. Discover now