10 missed call from Mel
BOON melentok-lentokkan leher, tidak mengendahkan notifikasi itu selepas membacanya sepintas lalu. Jari menenyeh mata. Sesekali, dia menguap. Kantuk yang bersisa dengan perut yang minta diisi memang kurang selesa. Kaki diseretnya ke bilik air.
Pancuran air suam yang mengenai badan mengejutkan sel-sel tubuh. Sabun dihidunya dalam-dalam. Ah, nikmatnya! Segera dia menyental tubuh dengan sabun itu. Dia mahu wangi selepas semalaman diselaputi asap rokok dan bau-bauan yang memualkan.
Baru menggosok sabun pada dadanya yang bidang, cuping telinga menangkap bunyi loceng utama. Boon memulas tombol dan serta-merta pancuran air terhenti. Tiada bunyi apa-apa.
'Ah, mungkin tersalah dengar.'
Apabila mahu memulas tombol semula, kedengaran lagi bunyi loceng pintu disusuli ketukan pintu. Boon menghela nafas panjang dan mendongkol dalam hati.
'Nak menyabun pun ada saja yang ganggu!'
Tuala yang bersangkut pada dinding direntapnya kasar lalu dibalut tubuh dari paras pinggang hingga lutut. Air daripada tubuh menitik pada lantai sepanjang langkahnya ke pintu.
"Tak boleh tunggu esok-esok ke nak datang?" jerkahnya dengan wajah bengis.
Mel yang menerkam masuk tidak mengendahkan nada jengkel Boon kerana hatinya sendiri sudah menggelegak.
"Kenapa tak angkat call? Aku ingat kau pengsan atau ada benda tak baik jadi pada kau. Itu sebab aku terus datang sini!"
"Hisy! Mulut kau ni! Aku okeylah. Hah, duduklah. Buat macam rumah sendiri."
Habis berkata-kata, Boon berpaling. Dia mahu ke bilik air menyambung nikmat menyabun yang terbantut. Mel yang baru perasan Boon hanya bertuala, cepat-cepat mengalih pandangan.
"Pergilah cepat pakai baju!"
"Kau yang datang masa aku mandi, nak menyabun pun terbantut," balas Boon baru terperasan ada tompokan air.
Kain lap dicampak ke lantai. Lantai yang licin dek titisan-titisan air kembali kering setelah kaki kiri Boon menonyoh kain itu seraya berhati-hati melangkah. Goyangan tubuh Boon ke kiri dan ke kanan membuatkan pandangan Mel terganggu.
"Encik Boon, dah tengah hari tahu. Tidur matilah tu. Kau ke mana malam tadi sampai tak terbangun pagi ni?" Mel sengaja menempelak, cuba menutup rasa gugup.
Boon membiarkan soalan Mel tidak berjawab. Berlama-lama dia dalam bilik air sebelum tercongok di hadapan Mel yang sudah tertidur di sofa. Dia menggeleng.
'Cakap orang, dia pun serupa. Boleh pula kau nyenyak waktu macam ni.'
"Mel, bangunlah!"
Boon menyentuh lembut bahu Mel, tapi dia pula yang tersentak kerana tiba-tiba Mel melonjak bangun. Bebola mata Mel kemerah-merahan dan jemarinya laju menekup mulut yang menguap. Boon melarikan pandangan tatkala Mel membeliakkan mata bundarnya tepat ke anak mata Boon.
"Eh, aku terlelap! Siap mimpi ngeri. Kau lama sangat bersiap, mengalahkan aku bersiap."
Boon malas hendak melayan bebelan Mel. Kunci kereta di atas meja bersebelahan sofa dicapainya. Sebelah tangan lagi menarik lengan Mel yang masih terpisat-pisat.
"Jom! Kita pergi makan. Aku lapar. Kau pun belum makan, kan?"
Mel mengangguk dan bingkas bangun, mengekori Boon ke pintu.
YOU ARE READING
BIBLIOMANIA
Mystery / ThrillerBoon Helmi, seorang Pempengaruh Media Sosial sedang mengalami kemorosotan populariti. Boon tercari-cari topik yang boleh mengembalikan zaman kegemilangannya. Dia tidak mahu menjadi penghibur klise yang mencetuskan kontroversi. Keberuntungan menyebel...